SAYAU KADAYAN
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Sayau Kedayan atau lebih dikenali dengan nama Sayau Moginum adalah sebuah tarian tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat etnik Dusun Tatana di daerah Kuala Penyu. Secara tradisional, tarian ini berasal daripada adat ritual Moginum iaitu upacara khusus untuk memanggil roh nenek moyang atau kaum keluarga yang meninggal dunia untuk menghadiri sesebuah majlis yang diraikan. Namun begitu, seawal tahun 1961 dalam sambutan Pesta Kaamatan, tarian ini mulai dipersembahkan pada khalayak umum sebagai sebuah apresiasi bentuk persembahan yang menonjolkan budaya etnik Dusun Tatana.

Fungsi dan Peranan

Secara tradisional, fungsi asal Tarian Sayau Kadayan atau Sayau Moginum ini hanya ditarikan ketika upacara adat ataupun ritual Moginum. Terdapat beberapa jenis ritual Moginum bagi etnik Dusun Tatana iaitu;


1. Moginum Kahwin – iaitu proses ritual dalam majlis perkahwinan adat yang khusus untuk anak perempuan. 

2. Moginum Kaul – iaitu upacara ritual perubatan tradisional untuk mengubati orang sakit.
3. Moginum Loyob – iaitu upacara ritual memperingati roh seseorang yang telah meninggal dunia. 
Menurut kepercayaan mereka, peranan tarian ini dalam ketiga-tiga upacara adat Moginum tersebut adalah sebagai tanda untuk menjemput dan memujuk roh nenek moyang atau kaum keluarga yang telah tiada untuk hadir pada majlis yang diraikan. 

Namun kini, persembahan tarian Sayau Kadayan telah mengalami transformasi dan berfungsi sebagai sebuah tarian untuk majlis keramaian, hiburan rakyat dan menjadi salah satu ikon budaya masyarakat etnik Dusun Tatana dalam perayaan tradisional khususnya Pesta Kaamatan dan Festival Odou Bakanjar. Walaupun begitu, fungsi dan peranan tarian ini dalam konteks upacara ritual adat masih diamalkan sehingga kini.

Busana/ Aksesori

Penari wanita akan memakai persalinan busana yang diberi nama ‘Sira Lambung’ yang mempunyai hiasan manik untuk membentuk corak bunga pada bahagian dada pakaian. Potongan Baju Sira Lambung adalah seakan-akan baju kebaya, namun mempunyai belahan pada bahagian lengan dan disisipkan dengan kain berjalur yang dikenali sebagai ‘Piwaris’. 


Pada bahagian pinggang penari wanita akan dipakaikan kain sarung yang diikat secara menyendeng berbentik ‘V’ dan diketatkan menggunakan ‘Botungkat’ iaitu tali pinggang perak sebagai aksesori tambahan. Aksesori barang hiasan pula pada kebiasaanya akan mengunakan dokoh berwarna perak dipadankan dengan gelang tangan yang diperbuat daripada kepingan perak atau tembaga. Hiasan kepala pula, hanya menggunakan bunga-bungaan kecil untuk menutupi sanggul kepala penari tersebut.


Bagi penari lelaki,  busana yang dipakai dikenali dengan nama ‘Sira Dambia’. Busana ini mempunyai poket pada bahagian baju yang disisipkan dengan kemasan sapu tangan. Sira Dambia lazimnya akan dipadankan dengan ‘Sandai’ iaitu selendang panjang yang pasangkan secara bersilang pada bahu dan dililit pada tubuh penari lelaki. Sementara itu, aksesori lelaki hanya pada pada bahagian kepala sahaja, iaitu pemakaian ‘Sigar’ ataupun tengkolok dengan ikatan berekor pada bahagian belakangnya.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Alat muzik yang digunakan untuk mengiringi tarian ini adalah terdiri daripada Kulintangan, Gong dan Gendang. Lazimnya, pemuzik yang mengiringi tarian ini terdiri daripada kaum lelaki dan telah ditetapkan seramai tujuh orang yang terdiri daripada lima orang pemain gong, seorang orang pemain Kulintangan dan seorang lagi akan memainkan gendang. 

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Sebelum memulai persembahan, penari lelaki akan melakukan simbolik adat Moginum, iaitu perbuatan meminum ’Singgarung’ (air tapai beras) dan melakukan sedutan ’Sigup’ (rokok daun). Setelah melaksanakan simbolik tersebut, dua penari lelaki akan memasuki ruang persembahan dan mulai menarikan tarian Sayau diikuti oleh semua penari wanita.


Formasi tarian ini secara khusus dilakukan dalam bentuk bulatan, di mana penari lelaki berada pada tengah bulatan penari wanita. Lazimnya, hanya seorang penari lelaki sahaja yang akan melakukan gerak tari bersama penari wanita. Manakala, seorang lagi penari lelaki akan berlegar- legar akan mengelilingi bulatan tersebut dengan membawa Singgarung dan Sigup untuk diberikan kepada penari lelaki ketika sedang menari. 

Tokoh dan Pencapaian

Pn. Patricia Jipoh. Akademik Seni dan Teknologi Kreatif, Universiti Malaysia Sabah, 88400 Kota Kinabalu, Sabah. 3 November 2024.


Dr. Monih Epin. Persatuan Kebudayaan Tatana Sabah.  Peti Surat 71, Kg. Bundu Batu 4, 89747 Kuala Penyu, Sabah.


En. Roland Raymond. Kumpulan Penari Limbai Karamaian. Kampung Kelampun. Jalan Beaufort - Menumbok, 89740 Kuala Penyu, Sabah.


Pn. Jainah Ngoai. Kumpulan Penari Limbai Karamaian. Kampung Kelampun. Jalan Beaufort - Menumbok, 89740 Kuala Penyu, Sabah.


Sumber Rujukan

(n.d.). Etnik Tatana: Kepercayaan & Amalan (pp. 1–7) [Review of Etnik Tatana: Kepercayaan & Amalan]. Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah. Retrieved November 11 C.E., from https://culture.sabah.gov.my/sites/default/files/uploads/products/files/2023-02/e-book%20Etnik%20Tatana.pdf


Kitingan, J., P. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjamahan & Buku Malaysia. Kuala Lumpur


Pusing, M. (2001). Upacara moginum dan bobolian: upacara perubatan traditional masyarakat Dusun-Tatana di daerah Kuala Penyu, Sabah. (Doctoral dissertation, Jabatan Sosio-Budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 2000/2001.).


Shafiia, A. H., Ishakb, S., Hassanc, H., Ghouse, M., & Beguma, M. (2016). Babalian and community rituals of Dusun Tatana Ethnic in Sabah, Malaysia: A preliminary study. In International Soft Science Conference.


Sri Ningsih Sukirman, & Patricia Jipoh. (2023). Elemen Penyokong Persembahan Tarian Sayau Moginum, Dusun Tatana, Kuala Penyu, Sabah : Supporting Elements Of Sayau Moginum Dance Performance, Dusun Tatana, Kuala Penyu, Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA), 12(2). https://doi.org/10.51200/ga.v12i2.4286



Lokasi