ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM MELAYU: ADAT PERKAHWINAN DI SARAWAK
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Keunikan adat perkahwinan dalam masyarakat Melayu di Sarawak ternyata mempunyai banyak persamaan dengan adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia. Namun begitu, istilah yang digunakan bagi memperjelaskan setiap adat tersebut adalah berbeza, selain mendukung konsep yang tersendiri. Hal ini merangkumi amalan adat merasi, merisik, dan perlaksanaan majlis perkahwinan.

Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

-

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Keunikan adat perkahwinan dalam masyarakat Melayu di Sarawak ternyata mempunyai banyak persamaan dengan adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia. Namun begitu, istilah yang digunakan bagi memperjelaskan setiap adat tersebut adalah berbeza, selain mendukung konsep yang tersendiri. Hal ini merangkumi amalan adat merasi, merisik, dan perlaksanaan majlis perkahwinan.


SEBELUM PERKAHWINAN

Langkah awal sebelum sesebuah majlis perkahwinan diadakan, usaha pencarian dan penentuan jodoh merupakan langkah pertama yang perlu dilakukan. Dalam masyarakat Melayu tradisi, langkah pencarian dan penentuan ini dilakukan oleh pihak lelaki yang disebut merasi.


MERASI

Apabila seseorang pemuda berhasrat untuk mendirikan rumah tangga, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menyatakan dengan jelas akan hasrat tersebut kepada ibu bapanya.  Dengan itu, pemuda akan meminta ibu bapanya untuk mencari pasangan yang sesuai untuknya. Bagi mencari dan menentukan calon isteri yang sesuai dengan anak lelaki mereka, ibu bapa pemuda seterusnya menyerahkan tugas tersebut kepada pencari jodoh untuk mendapatkan calon yang sesuai. 


Pencari jodoh adalah dalam kalangan orang yang mempunyai pengalaman dan dihormati dalam masyarakat. Sering kali ketua kampung, imam, guru agama malah orang yang berpendidikan seperti guru sekolah akan diminta untuk menjadi pencari jodoh ini. Oleh itu, tugas pencari jodoh ini adalah menentukan calon gadis yang sesuai dan diyakini serasi untuk dijodohkan dengan pemuda yang ingin berkahwin itu. Setelah gadis yang sesuai dikenal pasti, pencari jodoh yang menjadi perantara bagi keluarga lelaki akan memberikan pandangan dan pendapatnya tentang kesesuaian gadis itu kepada keluarga pemuda.


NGANGIN

Selepas usaha mencari dan menentukan gadis yang serasi berjaya, dengan persetujuan bersama antara keluarga pihak lelaki dan keluarga perempuan, wakil daripada pihak lelaki akan membuat pertanyaan dan pengesahan secara rasmi yang dipanggil kerisik kerimun, kepada keluarga pihak perempuan. Perkara yang menjadi tumpuan adalah berkenaan dengan status gadis yang ingin dijodohkan dengan pemuda dari keluarga lelaki. Biasanya pihak perempuan meminta tempoh untuk membuat pengesahan dan keputusan.


BERTEKUL (MERISIK)

Adat seterusnya ialah bertekul iaitu adat merisik dan diikuti adat meminang oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Bertekul adalah sebagai tanda dan pengesahan bahawa gadis tersebut telah bersetuju untuk bertunang dan melangsungkan perkahwinan dengan pemuda pilihan. Namun begitu, keputusan untuk bertunang atau sebaliknya adalah bergantung kepada kesediaan seseorang gadis untuk ditunangkan. Dalam perbincangan wakil pihak lelaki dan perempuan semasa merisik dan bertekul ini biasanya keputusan berkaitan jumlah mas kahwin dan hantaran akan dibuat. Tempoh untuk bertunang juga akan diputuskan diikuti dengan tarikh melangsungkan majlis pernikahan. Sebagai tanda setuju, barang tanda atau tekul berbentuk wang hantaran dan barang kemas serta bahan berharga lain seperti cincin emas, berlian malah keris warisan akan diberi kepada keluarga perempuan. Malah calon pengantin perempuan akan disarungkan cincin emas di jari manisnya sebagai tanda tekul dan pinangan diterima oleh pihak perempuan. 


MEMINANG DAN BERTUNANG

Setelah tekul diserahkan oleh pihak lelaki dan setuju diterima oleh pihak perempuan, upacara berikutnya sebelum bernikah ialah meminang dan bertunang. Keluarga pihak lelaki akan menghantar rombongan meminang pada tarikh yang dipersetujui semasa menghantar tekul sebelum ini. Biasanya pihak lelaki akan menghantar wakil yang terdiri daripada ahli keluarga untuk datang meminang calon pengantin perempuan.  Rombongan lelaki membawa barang hantaran untuk diserahkan kepada keluarga perempuan. Barangan terbut terdiri daripada wang tunai, cincin pertunangan, persalinan berupa pakaian atau kain yang bermutu tinggi, kasut, beg tangan dan perhiasan wanita yg lain.  Pihak perempuan akan membalas hantaran tersebut dengan barang kelengkapan lelaki seperti pakaian dan kain baju Melayu, kelengkapan solat seperti sejadah, serta kasut dan kelengkapan lain. Biasanya hantaran daripada pihak perempuan lebih banyak jumlah dan nilainya berbanding hantaran daripada pihak lelaki.

Sekiranya perempuan yang dipinang mempunyai kakak yang belum berkahwin, pihak lelaki perlu menyediakan pemberian dalam bentuk cincin emas atau persalinan kepada kakak bakal pengantin tersebut. Keadaan ini disebut sebagai langkah batang.

 

PERKAHWINAN


1. NIKAH

(a) Persediaan

Persediaan majlis perkahwinan biasanya melibatkan banyak kerja yang rumit dan mengambil masa yang lama. Urusan tersebut termasuk menempah kad undangan, menempah Mak Andam, menempah tempat majlis dan penyediaan menu hidangan sehinggalah persiapan pakaian dan pelamin pengantin serta jemputan tetamu khas. Mak Andam adalah antara yang penting dalam menghias pengantin dan menyediakan pelamin.


Bagi kaum Melayu, majlis perkahwinan diadakan dengan berpandukan kehendak agama Islam yang dianuti oleh mereka selain diselitkan dengan kepercayaan dan adat tradisi. Maka upacara keagamaan terserlah dalam acara akad nikah, walaupun terdapat kepercayaan lain dalam acara berlulut, menepung tawar, acara bersanding dan makan nasi temuan. Majlis akad nikah biasanya diadakan sehari sebelum bersanding. Pengantin perempuan sah menjadi isteri kepada pengantin lelaki apabila akad nikah telah disempurnakan.


Acara keraian bergendang secara terbuka dan diraikan bersama oleh penduduk kampung secara beramai-ramai. Keraian ini diadakan beberapa malam sebelum majlis pernikahan dilangsungkan sehingga beberapa malam setelah majlis berlangsung malah sehingga selama tujuh hari tujuh malam.


(b) Jenis-Jenis Nikah: Nikah Benar, Nikah Salah, Nyerah Diri Dan Ngekot

Nikah Benar ialah perkahwinan yang dilangsunhgkan dalam masyarakat Melayu dengan disandarkan kepada ajaran agama Islam dan pada masa yang sama memenuhi nilai dan norma serta adat Melayu. Upacara penting bermula daripada merisik dan bertunang dan direstui kedua-dua pihak. 


Sementara itu, Nikah Salah akan berlangsung apabila pasangan bujang didapati berkelakuan sumbang dan mereka dipaksa untuk berkahwin. Majlis perkahwinan adalah ringkas dan sederhana. Perkahwinan jenis ini sedikit sebanyak memberi imej negatif kepada kedua-dua keluarga pasangan tersebut, namun perkahwinan adalah jalan penyelesaian dan penutup untuk menghentikan perlakuan sumbang yang mereka telah lakukan.


Nikah Nyerah Diri berlaku apabila lelaki menyerah diri kepada keluarga perempuan kerana kurang kewangan untuk menanggung perbelanjaan perkahwinan. Situasi dan perlakuan seperti ini terjadi apabila melibatkan perempuan yang ingin dinikahi adalah daripada golongan berada sementara keluarga dan pasangan lelaki tidak berkemampuan. Perkahwinan akan dijalankan dan pasangan dinikahkan tetapi dalam keraian yang amat sederhana. Kaedah dan majlis perkahwinan Nyerah Diri ini dilihat boleh menjatuhkan maruah dan memalukan pihak keluarga perempuan.


Sementara itu, Ngekot terjadi apabila seseorang perempuan mengikut seorang lelaki pulang ke rumahnya.  Perempuan tersebut akan tinggal bermalam beberapa hari dengan tujuan dan menyerahkan dirinya kepada keluarga lelaki dan berharap mereka akan dikahwinkan. Perlakuan Ngekot ini tidak berlaku disebabkan oleh masalah kewangan. Sebaliknya lebih berpunca kepada keluarga perempuan yang tidak menerima lelaki pilihan anak mereka dan enggan merestui perkahwinan tersebut.



2. MAJLIS PERKAHWINAN DAN PERSANDINGAN

Upacara menepung tawar atau berlulut pengantin biasanya diadakan pada waktu malam sehari sebelum majlis persandingan. Semasa upacara berlulut juga sering diadakan upacara berpacar atau berinai. Dalam acara ini pengantin perempuan selalunya akan dimandikan oleh Mak Andam dalam upacara yang disebut mandi perantan yang sudahi dengan pengantin perempuan mengambil wudhu. Sepanjang upacara berlangsung, majlis biasanya dimeriahkan dengan persembahan pencak silat, gendang Melayu dan tarian andai-andai serta bertandak.


Pada hari pernikahan, pengantin perempuan akan didandan dan dihias rapi oleh Mak Andam yang telah ditentukan lebih awal. Biasanya Mak Andam akan diberi hadiah atau bayaran atas perkhidmatannya kepada pengantin.  Sepanjang proses mengandam, pengantin perempuan akan diingatkan akan hal yang amat penting dan perlu diambil perhatian sepanjang masa. Pengantin perempuan semasa upacara mengandam berlangsung, dilarang sama sekali daripada melihat dirinya di dalam cermin. Hal ini kerana dipercayai dan dikhuatiri pengantin perempuan akan hilang seri sepanjang majlis perkahwinan terutama semasa bersanding bersama pengantin lelaki di pelamin nanti. 


Menjadi kebiasaan masyarakat Melayu Sarawak untuk memilih pakaian persandingan pengantin perempuan yang terdiri daripada kebaya songket, gaun pengantin diperbuat daripada kain sutera bertekat benang emas, dan Gajah Oleng iaitu busana persandingan tradisi kaum Melayu Sarawak. Sementara bagi pengantin lelaki pula biasanya mengenakan persalinan seperti pahlawan dan pendekar atau pakaian semasa menunaikan ibadah haji iaitu berjubah putih atau hitam serta berserban.


Sebelum rombongan pengantin lelaki mula berarak ke rumah pengantin perempuan, mereka perlu menunggu pihak pengantin perempuan menghantar tikar mengkuang yang disebut tikar ngambik pengantin ke rumah pengantin lelaki. Tikar ini dibalut dengan tudung keringkam atau selayah yang bersulam benang emas. Penghantaran tikar ini menandakan bahawa pihak pengantin perempuan sudah bersedia untuk menerima kedatangan rombongan pihak pengantin lelaki. 


Perarakan rombongan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan akan dimulai dengan bacaan selawat Nabi sebanyak tiga kali oleh ahli rombongan dan disambut dengan alunan paluan kompang hadrah. Pengantin lelaki selalunya diarak menggunakan kereta atau jong yang dihias indah. Setibanya di rumah pengantin perempuan, rombongan pengantin lelaki disambut dengan acara pencak silat kapak sebagai pembuka pintu. Pengantin lelaki dibawa dan dipersilakan masuk ke rumah dan duduk di samping pengantin perempuan yang sudah sedia berada di atas pelamin. 


Semasa majlis persandingan berlangsung, upacara berjembak yang memerlukan pengantin lelaki menyentuh dahi pengantin perempuan dengan ibu jarinya bersama-sama dengan jejambak, iaitu lipatan tuala kecil berbentuk bunga dan berbau wangi. Upacara ini adalah simbolik kepada adat membatalkan air sembahyang antara kedua-dua pengantin. Setelah itu, doa selamat dan selawat Nabi akan dibaca oleh hadirin untuk mendoakan kedua-dua mempelai. Acara bertepung tawar dilakukan oleh tetamu jemputan dan ahli keluarga kedua-dua pihak lelaki dan perempuan dengan diiringi paluan kompang oleh kumpulan hadrah. Acara terakhir ialah upacara turun naik tangga rumah oleh pengantin sebanyak tujuh kali dengan dipimpin oleh pengapit masing-masing.


Pada sebelah petang atau biasa juga pada malam hari upacara makan nasi temuan diadakan. Upacara ini bertujuan membiasakan pengantin dengan kehidupan berkeluarga selain untuk menghilangkan rasa segan dan kekok antara mereka berdua. Oleh itu, majlis makan ini diadakan bersama-sama dengan ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai pengantin.


SELEPAS PERKAHWINAN

Kebiasaannya adat berziarah rumah mentua oleh pengantin perempuan dilakukan selepas tujuh hari majlis perkahwinan. Adat ini juga dikenali sebagai mengundang menantu. Dalam majlis ini ibu mentua menghadiahkan lapit kaki iaitu alas kaki atau hadiah perkahwinan lain berupa rantai emas juga berlian. Pemberian ini merupakan manifestasi kepada kegembiraan dala penerimaan terhadap kehadiran ahli keluarga tambahan iaitu menantu perempuan yang baharu.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

i. Bahan Bacaan

Abang Yusuf Puteh. (2008). Adat perkahwinan orang Melayu Sarawak. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abang Yusuf Puteh. (1959). Beberapa segi adat perkahwinan orang2 Melayu Sarawak teristimewa di-Kuching. Universiti Malaya. Disertasi Ijazah Sarjana Muda.

Azman Ismail, Salmiyah Ahmad & Intan Yoshida Sharuddin. (2012). Malaysian weddings. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Khati Galis. (1990). Adat perkahwinan masyarakat Bisaya Sarawak. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Hasbie Sulaiman. (2004). Adat resam masyarakat Melayu Sarawak. Jabatan Perpaduan Negara.


Lokasi
Leaflet | © OpenStreetMap contributors