Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN ZAPIN LENGA
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
13
Video
ada
Pelawat Hari ini
40
Jumlah Pelawat
887
Pengenalan dan sejarah
Zapin merupakan salah satu bentuk tarian tradisional Melayu yang mempunyai
akar sejarah panjang serta dipengaruhi oleh unsur-unsur budaya Arab dan Islam
yang diperkenalkan oleh para pendakwah dan pedagang Timur Tengah sekitar 500
tahun yang lalu. Di Johor, zapin telah berkembang menjadi identiti budaya yang
tersendiri, diperkaya dengan adaptasi tempatan dan diwarisi secara turun-temurun
dalam masyarakat. Zapin tidak sekadar berfungsi sebagai hiburan semata-mata,
tetapi turut memainkan peranan sebagai medium dakwah, pendidikan kerohanian,
serta pengukuh hubungan sosial dalam kalangan komuniti Melayu Johor.
Salah satu cabang zapin yang terpenting ialah Zapin Lenga, yang berasal dari
Kampung Lenga Batu 28, Muar, Johor. Tarian ini merupakan antara bentuk zapin
yang paling tua di negeri Johor dan mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi
dalam perkembangan seni tari zapin di Malaysia. Zapin Lenga juga dikenal pasti
sebagai antara 20 jenis zapin tradisional yang direkodkan di Johor, dan sering
dianggap sebagai prototaip kepada gaya persembahan Zapin Melayu Johor yang
dikenali hari ini.
Menurut sejarahnya, Zapin Lenga diasaskan oleh Allahyarham Rabu bin Harom,
atau lebih dikenali sebagai Wak Rabu iaitu seorang tokoh seni tradisional yang
dihormati di kawasan Muar. Warisan ini kemudiannya diteruskan oleh Haji Sukur
bin Basir, dan kini sedang dikembangkan oleh pewaris budaya setempat iaitu
Encik Majid bin Rawino. Pada asalnya, tarian ini hanya dipersembahkan oleh
penari lelaki, terutamanya dalam majlis-majlis keramaian seperti kenduri, khatam
al-Quran, cukur jambul, dan perayaan kampung. Namun, selaras dengan
perubahan zaman dan penerimaan masyarakat, Zapin Lenga kini turut
dipersembahkan oleh penari wanita, khususnya untuk menyerlahkan kelembutan,
keayuan, dan kehalusan gerak tari yang menjadi ciri khas zapin ini.
Dari segi estetika, Zapin Lenga menekankan nilai-nilai murni yang berteraskan
adab dan sopan santun Melayu. Gerak tariannya diolah secara simbolik bagi
mencerminkan kesantunan dan ketertiban budaya masyarakat tempatan.
Walaupun berdepan dengan cabaran modenisasi dan perubahan gaya hidup,
usaha-usaha aktif pemuliharaan dan pewarisan telah membolehkan Zapin Lenga
terus berkembang sebagai warisan seni persembahan yang hidup, yang relevan
kepada generasi muda dan terus dipelihara dalam program kesenian, pendidikan
budaya, serta festival warisan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Zapin Lenga bukan sekadar sebuah bentuk tarian tradisional, malah merupakan
wahana penting dalam kehidupan sosial dan budaya masyarakat Melayu Johor,
khususnya di Kampung Lenga, Muar. Pada asasnya, fungsi utama tarian ini adalah
sebagai hiburan rakyat, khususnya dalam majlis-majlis keramaian seperti kenduri
kampung, perkahwinan, cukur jambul, dan khatam al-Quran. Dalam konteks ini,
Zapin Lenga berperanan sebagai pengikat sosial yang mempertemukan komuniti
dalam suasana gembira, menggalakkan interaksi mesra serta memperkukuh
semangat muhibah dalam kalangan penduduk. Persembahan zapin ini juga
berfungsi sebagai lambang penghormatan kepada tetamu yang hadir, sesuai dengan budaya Melayu yang menekankan nilai kesantunan dan adab menerima
kunjungan.
Selain daripada fungsi hiburan, Zapin Lenga turut memainkan peranan penting
sebagai medium pendidikan rohani dan moral. Ini dapat dilihat melalui lirik-lirik lagu
zapin yang sering kali mengandungi elemen nasihat, sindiran halus, dan ajaran
Islam. Dengan cara ini, tarian ini menyampaikan mesej etika secara tidak langsung
kepada penonton dan penari, menjadikan ia satu bentuk dakwah yang berkesan
dalam masyarakat tradisional. Gerak tari yang penuh tertib dan sopan juga
mencerminkan nilai-nilai murni yang menjadi tunjang dalam budaya Melayu.
Justeru, tarian ini menjadi alat pembentukan jati diri dan pengukuhan nilai budaya,
terutamanya dalam kalangan generasi muda yang terlibat dalam latihan dan
persembahan zapin.
Akhir sekali, peranan Zapin Lenga turut merentasi sempadan tempatan apabila ia
dibawa ke pentas-pentas kebangsaan dan antarabangsa sebagai representasi
warisan budaya Johor. Ia menjadi sebahagian daripada diplomasi budaya negara,
memperkenalkan keindahan seni Melayu kepada pelancong asing dan generasi
muda di luar kawasan asalnya. Tarian ini sering dipersembahkan dalam festival
seni, pertandingan kebudayaan, serta program-program promosi pelancongan.
Maka jelaslah bahawa Zapin Lenga tidak hanya berfungsi sebagai hiburan rakyat,
tetapi juga sebagai alat pemeliharaan warisan, pembangunan sahsiah, serta
instrumen diplomasi budaya yang signifikan dalam landskap seni persembahan
tradisional Malaysia.
Busana yang dikenakan oleh penari Zapin Lenga mencerminkan kehalusan
budaya dan estetika masyarakat Melayu Johor. Penari lelaki lazimnya memakai
Baju Melayu Teluk Belanga, yang dicirikan oleh leher bulat tanpa kolar dan jahitan
halus yang dikenali sebagai tulang belut. Baju ini dipadankan dengan seluar
panjang dan kain samping yang diperbuat daripada kain tenun atau songket, yang
diikat di bahagian pinggang. Sebagai pelengkap, mereka mengenakan songkok
berwarna gelap yang dihiasi dengan kerongsang atau dokoh kecil, serta bengkung
yang disematkan dengan pending sebagai simbol status dan keanggunan .
Penari wanita pula mengenakan Baju Kurung Teluk Belanga, yang mempunyai
potongan longgar dan labuh, sesuai dengan nilai kesopanan dalam budaya
Melayu. Baju ini biasanya diperbuat daripada kain polos atau bercorak halus, dan
dipadankan dengan kain sarung yang dililit kemas di pinggang. Sebagai aksesori,
penari wanita memakai selendang yang dililit di kepala atau disematkan di bahu,
serta rantai dokoh dan kerongsang yang menambahkan seri dan keanggunan
penampilan mereka .
Dari segi solekan, penari wanita mengenakan solekan yang sederhana dan tidak
terlalu menonjol, dengan penekanan pada keserian wajah dan kejelasan ekspresi
semasa persembahan. Solekan ini bertujuan untuk mengekalkan keaslian dan
kesopanan yang menjadi teras dalam budaya Melayu, serta memastikan bahawa
fokus utama kekal pada gerak tari dan ekspresi seni yang dipersembahkan.
Secara keseluruhannya, pemilihan busana, aksesori, dan solekan dalam tarian
Zapin Lenga bukan sahaja memperindah persembahan, tetapi juga berfungsi
sebagai medium untuk mengekspresikan identiti budaya, nilai estetika, dan
warisan tradisional masyarakat Melayu Johor. Kekemasan dan keserasian dalam
penampilan penari mencerminkan disiplin dan penghormatan terhadap seni
warisan yang telah diwarisi turun-temurun.
Tarian Zapin Lenga diiringi oleh satu set alat muzik tradisional yang mencerminkan
gabungan unsur warisan Melayu dan pengaruh Timur Tengah. Setiap alat muzik
yang digunakan memainkan peranan tersendiri dalam menghasilkan irama,
melodi, dan suasana persembahan yang harmoni dan bertenaga.
1. Gambus
Merupakan alat muzik utama dalam ensembel zapin. Ia adalah sejenis alat
muzik petik yang berbentuk seakan oud Arab dengan leher pendek dan
badan bulat. Gambus berperanan menghasilkan melodi utama dan sering
dimainkan secara solo pada permulaan persembahan sebagai pembukaan
yang dikenali sebagai taqsim. Kehadiran gambus menunjukkan pengaruh
Islam dan Timur Tengah yang dibawa masuk ke Alam Melayu sejak abad
ke-15.
2. Marwas
Marwas atau dikenali juga sebagai marawis, ialah sepasang gendang kecil
berbentuk silinder dan dimainkan dengan tangan. Alat ini berfungsi sebagai
asas ritma utama dalam tarian zapin. Dentuman marwas yang dimainkan
dalam pola bertingkah memberikan kelajuan dan ritma yang konsisten
untuk pergerakan tarian.
3. Gendang
Digunakan untuk memperkukuh struktur ritma. Ia berbentuk lebih besar
daripada marwas dan menghasilkan bunyi yang lebih dalam dan berat.
Dalam konteks Zapin Lenga, gendang memainkan peranan penting dalam
memberikan tenaga dan semangat kepada penari, terutamanya semasa
perubahan fasa dalam gerakan.
4. Rebana
Alat muzik ini turut dikenali dengan nama ‘Tamburin Melayu’ pula
menambahkan lapisan bunyi perkusif yang lebih lembut dan mengisi ruang
antara pukulan marwas dan gendang. Ia memberikan variasi tekstur bunyi
dan membantu menyempurnakan rentak zapin yang dinamik.
5. Viola
Alat muzik adalah antara alat muzik yang dipengaruhi oleh Barat tetapi
telah diadaptasi secara kreatif dalam persembahan zapin. Ia menghasilkan
melodi sokongan dan improvisasi yang memberikan warna bunyi yang lebih
kaya, serta menjalin harmoni dengan gambus dan harmonium.
6. Harmonium
Sejenis alat muzik papan kekunci yang berfungsi dengan aliran angin,
digunakan untuk menyokong melodi dan vokal. Ia menghasilkan kord dan
latar muzik yang stabil, sekaligus memperkukuh susunan lagu zapin.
Harmonium sering diganti atau digandingkan dengan akordion, satu lagi
alat muzik berunsur Barat yang memainkan fungsi serupa tetapi dengan
nuansa bunyi yang berbeza.
Tarian ini terkenal dengan gaya pergerakan tubuh yang sederhana namun mantap
dan tegap. Walaupun tidak memerlukan tenaga yang tinggi, teknik langkahan kaki,
bengkokkan lutut dan liuk tubuh yang kelihatan sederhana memerlukan ketahanan
tenaga yang konsisten. Oleh itu, struktur asas Zapin Lenga terdiri daripada enam
langkah utama yang dikenali sebagai, Langkah Satu; Langkah Dua; Langkah Tiga;
Langkah Empat; Langkah Lima; dan Langkah Enam
Keenam-enam langkah ini diselang-selikan dengan gerakan Kopak, yang
berfungsi sebagai peralihan antara langkah-langkah utama. Persembahan diakhiri
dengan gerakan Wainab, yang menandakan penutup tarian dengan penuh
harmoni dan kesopanan. Setiap langkah dalam Zapin Lenga membawa maksud
dan simbolik tersendiri, mencerminkan nilai-nilai budaya dan spiritual masyarakat
Melayu Johor. Gerakan yang teratur dan berulang ini bukan sahaja menyerlahkan
keindahan seni tari, tetapi juga menggambarkan disiplin dan kesatuan dalam
masyarakat.
Sementara itu, persembahan Zapin Lenga biasanya diiringi oleh lagu-lagu
tradisional yang memperkayakan suasana dan emosi tarian. Antara lagu yang
sering dimainkan ialah:
1. Lagu "Naam Sidi"
Lagu ini merupakan salah satu lagu zapin yang terkenal dan sering
digunakan dalam pelbagai persembahan zapin di Johor dan kawasan
sekitarnya. Liriknya mengandungi unsur nasihat dan ajaran, sesuai dengan
fungsi zapin sebagai medium pendidikan moral dan rohani.
Lirik Lagu:
Pukullah tabuh, pukul rebana
Kalaulah jodoh, tidak ke mana
Ya naam sidi, kalaulah jodoh tak ke mana
Gununglah Benang, Gunung Selawa
Bagaikan pinang dibelah dua
Ya naam sidi, bagaikan pinang dibelah dua Tanah yang licin, tidak berduri
Ibarat cincin lekat di jari
Ya naam sidi, ibarat cincin lekat di jari
2. Lagu "Anak Ayam"
Lagu ini juga sering digunakan dalam persembahan zapin, terutama dalam
konteks yang lebih santai dan menghiburkan. Liriknya yang mudah dan
berulang-ulang menjadikan lagu ini sesuai untuk pelbagai peringkat usia
dan acara.
Lirik lagu:
Anaklah ayam, anak ayam turun sepuluh
Mati seekor, mati seekor tinggal sembilan
Mari belajar, mari belajar bersungguh-sungguh
Supaya kita, supaya kita tidak ketinggalan
Anaklah ayam, anak ayam turun sembilan
Mati seekor, mati seekor disambar helang
Kalaulah kita, kalaulah kita dah ketinggalan
Ilmu tak ada, ilmu tak ada kawan pun kurang
Anaklah ayam, anak ayam turunlah lapan
Mati seekor, mati seekor ditangkap musang
Tiada ilmu, tiada ilmu tiada kawan
Hidup merana, hidup merana ditimpa malang
Kedua-dua lagu ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh naratif dan
emosi dalam persembahan Zapin Lenga, sekaligus mengekalkan warisan budaya
yang kaya dan bermakna.
Adiguru Zapin Lenga ialah Wak Sukur @ Haji Sukur bin Basir, yang mewarisi tarian ini daripada Wak Rabu @ Rabu bin Haron dari Kampung Lenga Batu 28. Lahir pada tahun 1950 di Kampung Mencil dan membesar di Lenga, beliau mula bermain dalam kumpulan Ghazal, Ceracap Inai, dan muzik Gambus pada usia 13 tahun bersama Wak Rabu. Selepas pemergian Wak Rabu, Wak Sukur menjadi adiguru Zapin Lenga dan meneruskan tradisi ini. Walaupun popularitinya merosot akibat ketiadaan pewaris muda, usaha memelihara dan memartabatkan Zapin Lenga diteruskan oleh penggiat seni dan komuniti setempat, memastikan warisan budaya ini tidak lenyap ditelan zaman.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Nusantara Performing Arts Research Center. (2022, 28 Julai). Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Lenga [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=Vr3Qp-jOifA&t=78s
Mustaffa, N., & Idris, M. Z. (2020). Analysing Step Patterns on the Malaysian Folk Dance Zapin Lenga. Journal of Computational and Theoretical Nanoscience, 17(2-3), 1503-1510.
Tokoh:
Allahyarham Wak Rabu @ Rabu bin Haron
Rujukan Persembahan:
Tokoh: Wak Sukur @ Haji Sukur bin Basir
Pemain Akordian: Salimi Mohd Shah
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Norazlina binti Othman
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor
Aras 6 Kiri, Wisma PERKESO
No 26, Jalan Susur 5
Off Jalan Tun Abdul Razak, Larkin
80200 Johor Bahru
JOHOR DARUL TAKZIM
07-224 8270 / 223 1249
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!