Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TABOH IBAN
Seni Persembahan >Muzik
Gambar
0
Video
tiada
Pelawat Hari ini
184
Jumlah Pelawat
1595
Pengenalan dan sejarah
Taboh secara khususnya bermaksud bunyi-bunyian alat muzik tradisional kaum Iban yang terdiri daripada empat alat utama iaitu tawak, gendang, engkerumong dan bebendai.
Taboh hanya akan dimainkan pada masa-masa tertentu yang istimewa terutamanya melibatkan perayaan Hari Gawai Dayak yang dayakan pada awal bulan Jun setiap tahun. Tidak terkecuali, taboh juga dimainkan semasa ritual Gawai yakni memanggil petara atau Tuhan turun dari langit ke rumah panjang, semasa memulakan upacara mendirikan rumah panjang baharu dan memberkati rumah panjang baharu yang telah siap dibina. Semasa menghidupkan suasana gerhana bulan, majlis istiadat perkahwinan, ritual memandikan anak di sungai dan apabila berlaku musibah di rumah panjang seperti kematian, taboh juga dimainkan oleh penduduk rumah panjang Iban.
Taboh mempunyai pelbagai rentak yakni agak perlahan, sederhana dan agak pantas, serta melodi yang berbeza bergantung kepada fungsi dan acara kebudayaan. Taboh juga berbeza melodi atau rentak antara suku-suku Iban di Sarawak.
-
-
-
Tawak atau gong besar adalah alat muzik utama dalam muzik taboh ini. Tawak juga boleh didapati dalam pelbagai saiz dengan warna perang kehitaman dan diperbuat daripada tembaga atau perunggu dan beberapa jenis besi yang lain. Terdapat tombol di bahagian atas di tengahnya yang biasanya dipalu menggunakan pemukul kayu berbalut kepingan getah. Tawak yang sering digunakan dalam ritual untuk memanggil petara turun dari langit dimainkan mengikut alunan melodi yang dihasilkan oleh engkerumong.
Sementara itu, gendang dalam muzik taboh pula diperbuat daripada kayu belian berkualiti tinggi agar dapat bertahan lama dan menghasilkan bunyi dan melodi yang elok. Gendang dalam kalangan kaum Iban akan dipalu bergantung kepada tujuan dan keperluan tertentu untuk dimainkan. Engkerumong pula diperbuat daripada tembaga dan disusun selari di atas para atau rak pada posisi telungkup. Set engkerumong yang lengkap terdiri daripada lapan biji gong yang saiznya lebih kecil berbanding tawak. Untuk menghasilkan bunyi dan alunan muzik, setiap gong kecil akn dipukul mengikut rentak menggunakan sepasang kayu pemukul yang ringan.
Alat muzik yang terakhir dalam taboh ialah bebendai iaitu sejenih gong yang tergantung pada kekuda rangka kayu semasa dimainkan. Bebendai diperbuat daripada tembaga dengan rekabentuk yang lebih nipis dan kecil berbanding tawak Alat muzik ini dipukul dan dimainkan menggunakan kayu pemukul jenis ringan.
-
Sumber Rujukan
https://www.nst.com.my/news/nation/2024/01/1004773/melodious-beats-iban-peoples-taboh-music
Noria, Tugang and Anna, Durin (2016) Pengamalan Muzik Tradisional Taboh dalam Budaya Iban di Sarawak. Journal of Borneo Kalimantan, 2 (1). ISSN 2289-2583
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Boniface Anak Babai
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak
Tingkat 5 Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga,
93000, Kuching,
SARAWAK
019-2399682/082-422006
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!




