Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
NOBAT DALAM ADAT ISTIADAT DIRAJA KEDAH
Adat Resam
Gambar
1
Video
ada
Pelawat Hari ini
22
Jumlah Pelawat
137
Pengenalan dan sejarah
Nobat adalah cabang seni muzik tradisi Malaysia. Negeri-negeri yang mempunyai kumpulan alat muzik ini iaitu Kedah, Perak, Terengganu dan Selangor. Nobat Kedah dipercayai salah satu yang tertua dalam kesultanan Melayu. Menurut Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Nobat berasal dari Parsi yang dikatakan dibawa masuk bersama-sama kedatangan Maharaja Derbar Raja.
Nobat terdiri daripada tiga jenis alat muzik iaitu semambu yang dinamakan mahaguru, nagara (atau nakara atau nahara) iaitu gendang kecil, dan nafiri iaitu sejenis serunai. Ketiga-tiga alat kebesaran ini dimainkan pada setiap 1hb, 15hb dan 30hb setiap bulan, semasa bulan gerhana, dan sewaktu berlaku kemangkatan raja atau pada hari kemuliaan.
Pengaruh Nobat Dalam Adat Istiadat Diraja Kedah
Nobat dipercayai dapat menguji kedaulatan seseorang Sultan. Seandainya Sultan yang ditabalkan itu tidak berdaulat baginda dipercayai akan jatuh sakit. Selain upacara pertabalan, Nobat juga dimainkan sewaktu adat-adat istiadat perkahwinan diraja, berlimau, permaisuri bersalin, dan meletak kerja, serta semasa kemangkatan Sultan.
Pemain-pemain Nobat biasanya mengenakan pakaian rasmi yang khas, yang berbeza mengikut status dan peranan mereka dalam persembahan. Busana tersebut sering kali melibatkan baju kurung atau baju teluk belanga/cekak musang yang dihiasi dengan sulaman tradisional yang halus, serta samping atau kain songket yang berkilauan. Pakaian ini dilengkapi dengan aksesori seperti tengkolok atau songkok, yang menambah elemen kemegahan dan kesopanan dalam penampilan pemain.
Peralatan Muzik
Terdapat enam jenis alat muzik dalam Nobat Diraja Kedah, iaitu:
1. Serunai
2. Nafiri
3. Nahara
4. Gendang ibu
5. Gendang anak
6. Gong
Satu lagi peralatan ialah mahaguru, dikenali juga sebagai semambu iaitu sebatang rotan semambu yang dijadikan cokmar sebagai simbol kekuasaan Raja. Rotan sepanjang 1.77 meter ini dibalut dengan kain kuning dan dipegang oleh Penghulu Nobat menghadap kumpulannya ketika persembahan. Alat-alat muzik ini dimainkan oleh para pemuzik yang dipilih khas dalam satu keturunan keluarga sahaja dikenali sebagai orang kalur, dan mereka memainkan lagu-lagu yang telah diwarisi.
Lagu Nobat
Tiga lagu Nobat dimainkan dalam Istiadat Pertabalan, iaitu:-
1. Raja Berangkat
(Dimainkan semasa Seri-Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat masuk ke Balairong Seri atau meninggalkannya).
2.Menjunjung Duli
(Dimainkan semasa Alat-alat Pertabalan dibawa masuk ke Balairong Seri).
3. Raja Bertabal
(Dimainkan selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengangkat Sumpah Diraja).
Ada juga lagu yang hanya dimainkan pada sebelah pagi dan petang di luar acara rasmi diraja atau kerajaan, seperti Nobat Subuh, Nobat Khamis dan Nobat Raja. Juga lagu Puteri Mandi Mayang, yang dimainkan semasa menyambut ketibaan bulan Ramadan pada petang 28hb, 29hb dan 30hb Syaaban. Lagu-lagu yang diwarisi pula antaranya Raja Burung, Belayar, dan Mala Wala.
Oleh kerana permainan ini dianggap keramat dan penuh pantang larang, pemain Nobat selalu dirujuk sebagai orang perantaraan bagi tujuan memohon pertolongan dan membayar nazar. Seringkali juga mereka berperanan sebagai dukun atau pawang.
Upacara nazar dilakukan pada hari Jumaat dan dibayar dengan nasi kunyit dan ayam. Nasi kunyit dicalit serba sedikit pada semua alat Nobat seolah-olah menjamu alat Nobat tersebut. Kini amalan menjamu alat Nobat tidak lagi dilaksanakan kerana bertentangan dengan agama.
Pantang Larang Nobat
Nobat juga terikat dengan pantang larang yang mesti dipatuhi oleh pemain dan orang ramai. Antaranya ialah alat muzik ini tidak boleh dipersendakan dan kedudukannya mesti tetap pada susunannya. Sebagai contoh, gendang nahara mesti diletakkan mengadap arah matahari terbit. Bukan pemain tidak dibenarkan memegang atau mengusik alat-alat tersebut. Semasa Nobat hendak dimainkan pemain-pemain mestilah mengikut jalan masing-masing ke tempat alat-alat itu dan barulah duduk. Sesiapa juga dilarang melihat permukaan bawah gendang naharayang dipercayai diperbuat daripada kulit ibu mengandung. Dikatakan bencana akan menimpa pada yang melanggar kesemua pantang larang ini.
Alat Nobat tidak boleh dimainkan untuk temasya atau keramaian biasa dan tanpa perkenan raja. Pemain Nobat juga dilarang mengajar semua lagu kepada penggantinya. Keadaan ini menjelaskan sebab lagu-lagu Nobat semakin berkurangan dalam setiap generasi.
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Ooi, K. G. (2012). Warisan Wilayah Utara Semenanjung Malaysia (Penerbit USM). Malaysia: Penerbit USM.
Buletin JMA.. (n.d.). Malaysia: Jabatan Muzium dan Antikuiti,..
Matusky, P., Beng, T. S. (2017). The Music of Malaysia: The Classical, Folk and Syncretic Traditions. United Kingdom: Taylor & Francis.
Utara Semenanjung Malaysia: Esei-Esei Warisan (Penerbit USM). (2012). Malaysia: Penerbit USM.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Mohammad Salleh bin Mahmud
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah
Kompleks JKKN Kedah
Lot PTD 400, Pumpong
05250 Alor Setar
KEDAH DARUL AMAN
011-10899646
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!