Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
RODAT
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
7
Video
ada
Pelawat Hari ini
8
Jumlah Pelawat
130
Pengenalan dan sejarah
Rodat merupakan salah satu seni persembahan tradisional masyarakat Melayu yang sangat sinonim dengan negeri Terengganu. Ia menggabungkan elemen muzik, nyanyian, tarian dan zikir yang memperlihatkan pengaruh Islam yang kuat dalam seni budaya Melayu. Nama "Rodat" dipercayai berasal daripada perkataan Arab iaitu “Hadrat”, yang bermaksud "kehadiran" dalam majlis zikir. Selain itu, dalam perbendaharaan kata Arab, perkataan Rodat juga membawa maksud berulang-alik, bersahut-sahutan, bersatu kembali atau berbalas-balas yang secara tidak langsung menggambarkan corak persembahan ini yang sering mengandungi elemen sahut-menyahut antara penyanyi dan pemuzik. Dari segi sejarah, terdapat beberapa versi tentang asal-usul kemasukan seni rodat ke Terengganu. Antara pendapat menyatakan bahawa seni rodat dibawa masuk oleh pedagang-pedagang dari Aceh dan Timur Tengah yang berdagang di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia sekitar awal abad ke-19. Dalam masa yang sama, terdapat juga rekod menyebut bahawa para pedagang dari Sambas dan Pontianak, Kalimantan Barat, turut datang ke Terengganu bagi urusan jual beli barangan seperti budu, songket, dan perkakas. Anak-anak kapal yang berlabuh akan berkumpul dalam kumpulan lebih kurang 20 orang sambil menyanyi-nyanyi (rodat) diiringi alat muzik yang dipanggil rebana tar sehingga lewat malam. Alunan irama zikir serta suara nyanyian mereka yang merdu, disertai tepukan rebana, telah menarik minat penduduk tempatan untuk mempelajari persembahan tersebut. Dari situ, seni rodat mula berkembang dan menjadi sebati dalam kalangan masyarakat Terengganu. Di Kuala Terengganu, Kampung Pasir Panjang dan Gong Tok Nasek dikenalpasti sebagai lokasi awal penyebaran rodat. Setelah berkembang, ia turut tersebar ke kampung-kampung lain seperti Kampung Surau Panjang, Beladau, Kepong, Paya Resak, serta beberapa kawasan lain. Selain itu, di daerah Kemaman pula, seni rodat dipercayai diperkenalkan oleh seorang penggiat seni bernama Tuan Mandok dari Beserah, Pahang, sekitar tahun 1936. Beliau telah mewariskan ilmu persembahan ini kepada Ayah Leh (Salleh) dan kemudiannya kepada Ayah Teh (Tuan Haji Abdul Wahab), yang kemudiannya memperkembangkan lagi seni ini bersama kalangan remaja setempat. Pada peringkat awal, persembahan rodat dimainkan secara eksklusif oleh kaum lelaki, memfokuskan nyanyian selawat, bacaan zikir, dan puji-pujian kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Persembahan biasanya diadakan secara tertutup di dalam rumah dan beralaskan tilam. Namun, apabila jumlah penonton semakin bertambah, lokasi persembahan berpindah ke ruang yang lebih luas seperti bangsal atau pentas terbuka bagi menampung kehadiran ramai penonton.
Sejak mula diperkenalkan, seni persembahan rodat mempunyai fungsi dan peranan yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat Melayu Terengganu. Pada asasnya, rodat berfungsi sebagai medium dakwah dan hiburan berteraskan Islam, yang memperkukuh keimanan serta memupuk kecintaan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Melalui lantunan selawat, zikir, dan puji-pujian, persembahan ini bukan sahaja menghidupkan semangat keagamaan dalam kalangan masyarakat, malah mengeratkan lagi ukhuwah antara penduduk kampung.
Busana penari rodat memainkan peranan penting dalam memperlihatkan keindahan budaya Melayu serta membezakan peranan setiap individu dalam persembahan. Secara umumnya, terdapat tiga kategori utama busana penari rodat mengikut watak dan peranan masing-masing. Bagi kumpulan Pengadi iaitu pemain rebana tar, mereka lazimnya mengenakan Baju Melayu lengkap berwarna terang yang dipadankan dengan kain samping serta memakai songkok hitam sebagai pelengkap penampilan tradisional. Sementara itu, kumpulan Pelenggok iaitu penyanyi dan penari lelaki, juga mengenakan Baju Melayu dengan warna-warna ceria atau mengikut warna sedondon bagi setiap kumpulan, lengkap dengan samping dan songkok. Sesetengah kumpulan turut menambahkan aksesori seperti kain selempang untuk menambahkan lagi seri busana mereka ketika persembahan. Bagi watak Mak Inang, iaitu penari wanita yang diperkenalkan dalam versi persembahan kontemporari, mereka mengenakan busana seperti baju kurung atau kebaya labuh yang dipadankan dengan kain batik atau songket yang bermotifkan seni tekstil tradisional Melayu. Penampilan mereka turut dilengkapi dengan tudung kepala terutama dalam kumpulan yang menitikberatkan unsur kesopanan, manakala sesetengah kumpulan menambahkan gaya hiasan kepala atau selendang mengikut kreativiti masing-masing bagi mencantikkan lagi persembahan.
Instrumen utama yang digunakan dalam persembahan rodat ialah alat muzik yang dikenali sebagai “Tar Rodat”, iaitu sejenis alat perkusi tradisional yang berbentuk bulat menyerupai rebana hadrah, namun saiznya lebih kecil. Tar rodat diperbuat daripada kayu leban yang tahan lasak, manakala bahagian permukaannya yang dipalu diperbuat daripada kulit kerbau yang berusia sekurang-kurangnya tiga tahun. Pemilihan kulit kerbau yang matang ini penting bagi memastikan kualiti bunyi yang dihasilkan jelas dan merdu.
Kulit tersebut akan ditegangkan pada bingkai tar dan diikat kemas menggunakan lilitan aluminium atau kuprum, sebelum dipaku menggunakan sejenis paku tembaga khas yang dipanggil “Kendit”. Di sekeliling bingkai atau baluh tar rodat turut dipasang tiga pasang kepingan tembaga kecil yang dinamakan “Kerincing” atau “Caping”, yang berfungsi menghasilkan bunyi gemerincing apabila dipalu. Ukuran lilitan bagi sesebuah tar rodat biasanya berdiameter sekitar 25 hingga 30 sentimeter.
Bagi mempertingkatkan kualiti bunyi tepukan, sejenis rotan kecil yang dipanggil “Sedak” akan diletakkan di antara permukaan tar dan bingkai, menghasilkan resonans yang lebih mantap. Teknik paluan turut memainkan peranan penting dalam mewarnai persembahan rodat. Bahagian tengah tar akan dipalu untuk menghasilkan bunyi rendah, manakala bahagian tepinya dipalu untuk menghasilkan bunyi tinggi atau “Gemercing”. Lazimnya, dalam satu-satu persembahan rodat, sekurang-kurangnya tujuh buah tar rodat digunakan, di mana setiap satunya akan memainkan rentak yang berbeza mengikut susunan lagu dan irama persembahan. Kesemua ciri ini menjadikan tar rodat bukan sekadar alat muzik iringan, bahkan menjadi nadi utama yang menyatukan keseluruhan elemen muzik, nyanyian, dan gerakan tarian dalam persembahan rodat.
Persembahan rodat secara umumnya dibahagikan kepada beberapa fasa atau peringkat, bermula dengan susunan kumpulan penari dan pemuzik mengikut peranan masing-masing. Terdapat dua kumpulan utama iaitu Kumpulan Pengadi (Pemain alat muzik Tar Rodat) dan Kumpulan Pelenggok (Penyanyi dan Penari). Namun, bermula sekitar era 1940-an, elemen Mak Inang diperkenalkan sebagai penyanyi dan penari wanita, sekaligus memperkayakan variasi persembahan.
Dalam satu-satu persembahan, bilangan anggota kumpulan biasanya disesuaikan mengikut keperluan majlis. Secara umumnya, sesebuah kumpulan rodat terdiri daripada kira-kira 9 orang Pengadi, 12 orang Pelenggok, dan 5 orang Mak Inang. Namun jumlah ini boleh berubah mengikut saiz pentas, skala acara dan kehendak penganjur.
Persembahan dimulakan dengan lagu selawat pembuka pentas yang dipersembahkan oleh Pengadi dan Pelenggok dalam keadaan duduk selama kira-kira 15 minit. Setelah itu, ketua pengadi akan memulakan bacaan zikir “Bismillahi Muala Nab Tadaina” sebagai pembukaan kepada fasa seterusnya. Bacaan zikir ini akan disahut secara bergilir antara pengadi dan pelenggok, diiringi dengan paluan rebana tar rodat.
Dari sudut irama, paluan rebana tar mempunyai keunikannya tersendiri. Ketika bahagian nyanyian berlangsung, paluan dilakukan dengan nada perlahan dan teratur. Sebaliknya, ketika bahagian berebana atau tanpa nyanyian, paluan menjadi lebih kuat, pantas dan nyaring. Pola paluan ini dikenali sebagai “Cap”, yang terbahagi kepada dua iaitu “Cap Panjang” dan “Cap Pendek”. Cap panjang melibatkan 8 kali paluan berterusan yang diikuti dengan hentian ringkas sebelum disambung semula. Ia digunakan bagi lagu-lagu rodat bernada lembut dan lunak. Sementara itu, cap pendek pula melibatkan paluan 2 atau 4 kali diselang dengan hentian seketika, sesuai untuk lagu-lagu bernada tinggi dan rentak yang cepat.
Selepas enam fasa persembahan awal selesai, barulah Mak Inang akan memasuki pentas. Mereka mempersembahkan nyanyian dalam bentuk pantun yang berunsur kasih sayang, nasihat, dan pengajaran selama lebih kurang 10 hingga 15 minit. Dari segi kedudukan, mak inang akan berbaris di antara barisan Pengadi dan Pelenggok. Ketika mak inang berpantun, Pengadi akan meneruskan paluan tar secara berirama, manakala Pelenggok akan melenggokkan tubuh mengikut alunan muzik dan rentak paluan tar.
Elemen Lagu
Daripada elemen lagu, seni rodat dipercayai mempunyai antara 50 hingga 60 jenis lagu yang berbeza, kebanyakannya memuatkan lirik-lirik berbentuk zikir, puji-pujian, dan pengagungan kepada Allah SWT serta Rasulullah SAW. Sebahagian besar lagu-lagu ini bersumberkan kitab Hadrah, iaitu kitab yang memuatkan teks zikir serta puji-pujian dalam bahasa Arab yang digunakan secara meluas dalam majlis-majlis keagamaan. Antara lagu-lagu yang masih popular dimainkan sehingga ke hari ini termasuklah: Ya Hayyum Ya Qayyum (Nama-nama Tuhan yang menghidupkan) Allah La illa ha illallah (Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah) La illa ha illa Ya Karim (Tidak ada Tuhan melainkan Engkau) Ya Rasul Ya Rasulullah (Wahai Rasul, wahai pesuruh Allah) Zikri Nabi Al-Mukhtar (Nabi yang terpuji) Sillatullah (Hubungan dengan Allah) Selain daripada nyanyian dalam bentuk zikir dan selawat, terdapat juga lagu-lagu berbahasa Arab yang dinyanyikan dalam bentuk nyanyian berlagu, dengan susunan melodi yang sederhana tetapi berkesan dalam membangkitkan suasana syahdu dan penuh penghayatan. Antara contoh senikata lagu berbahasa Arab yang sering dinyanyikan ialah: Ya La Mu Yahayun Muyya La Na Qayyum Mu Yahaye Allah Qalu La Bitaya Ni Ashallilana Lana Ladihama Bia Duniwa, Allah Niwa Ladunia Biasanya dalam satu-satu persembahan rodat terdapat tiga segmen utama iaitu segmen permulaan, pertengahan dan penutup. Pada segmen awal ini, zikir-zikir diambil terus daripada petikan kitab Hadrah yang berbentuk puji-pujian kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Antara petikan zikir yang sering dibaca ialah: Muala Sola Tullah Ya Lahu Alla Ya La Ahadi Allah Ya La Ahami Ya Allah Ya Hamila Ya Allah Ya Rasulullah Muala lma Imamula a Ya Lahabi Ya lwal Mu Ala Rasalli Ya Allah Salilla Ya Allah Ya Rasulullah Disamping itu, nyanyian zikir Arab seperti: Ya La Mu Yahayun Muyya La Na Qayyum Mu Yahaye Allah Qalu La Bitaya Ni Ashallilana Lana Ladihama Bia Duniwa, Allah Niwa Ladunia akan dilagukan secara berulang, mencipta suasana rohani yang meresap ke dalam persembahan. Selang-seli dengan zikir-zikir tersebut, pelenggok akan menyanyikan rangkap-rangkap pantun yang berbentuk pujian, pengharapan, dan ungkapan kesyukuran. Di antaranya termasuk: Hai burung jelatuklah burunglah selaseh Kai pohon keladi di dalamlah jambangan Terima kasih kepada Dato Kerana sudi memberi sumbangan dan pantun-pantun lain yang membentuk kesinambungan persembahan antara pengadi, pelenggok dan mak inang. Segmen pertengahan masih dimulakan oleh pengadi dan pelenggok dengan nyanyian zikir-zikir tertentu, namun pada bahagian akhir segmen ini, Mak Inang akan mula menyertai persembahan. Mereka akan menyanyi dan menari, diiringi paluan tar yang berirama rancak, sambil disambut oleh pelenggok. Antara zikir yang dilagukan dalam segmen ini termasuk: Shakyka Bi nabab Bima Ya Ulana Di Allah Kari Ya Muala Saya La Disana Wasala di Kiya Bima Ya La Ulana Hadi Allah Wa Wa... Saliu Ya Rasulullah Disusuli dengan: Muhammadun Madun Sollilah Ya Allah... Madun Sollilah Rasulun Madun Sollilah Ya Allah... Madun Sollilah Setelah itu, segmen pantun kembali diteruskan dengan nyanyian mak inang diselang-seli oleh pelenggok. Antara pantun yang sering dibawakan termasuk: Hai mudik ke hulu bersama rakit Negara cantik budaya menarik Hai jikalah tuan pergi ke Dungun Nantikan saya di pintu syurga dan disulami dengan rangkap-rangkap pantun seterusnya yang bersifat puisi rakyat yang mesra dan penuh pengajaran. Segmen penutup dalam persembahan rodat biasanya akan didendangkan lagu "Anak Ayam" oleh pengadi dan disambut oleh pelenggok. Lagu ini membawa mesej pengajaran berbentuk keinsafan, akidah, dan pengharapan kepada Allah SWT. Setiap rangkapnya berkisar tentang anak ayam yang berkurang satu demi satu, diiringi dengan doa dan pengharapan agar mendapat rahmat, pengampunan, petunjuk, serta tempat di syurga: Anak ayam turun sebelas Matilah satu tinggal sepuluh Bagaimana hati tak belas Menyelak fajar waktulah subuh Sehingga ke bait terakhir: Anak ayam turunlah satu Satu mati habislah ghaib Minta terbuka segala pintu Di situ tempat saya nak balik Sebagai penutup persembahan sepenuhnya, kumpulan pengadi dan pelenggok akan melagukan selawat terakhir: Ya Allah Ya Rahmat Nabi Kita Nabi Akhir Zaman Nabi Beranak Malam Isnin Rabiul Awal Bulan Purnama Dengan itu, berakhirlah keseluruhan persembahan rodat yang sarat dengan mesej dakwah, keindahan seni suara, puisi Melayu, serta irama tradisional yang memukau penonton. Elemen Tarian Pergerakan tarian dalam seni persembahan rodat secara umumnya merangkumi beberapa fasa yang berasaskan dua gerakan utama, iaitu pergerakan ke hadapan dan undur ke belakang, dengan melibatkan koordinasi tangan, kaki dan badan. Gerakan dalam tarian rodat menonjolkan penegasan kepada bahagian tangan dan kaki, namun tidak serumit atau sehalus gerakan tarian-tarian tradisional lain seperti Mak Yong atau Joget Gamelan. Keindahan gerakan dalam rodat terletak pada kesederhanaannya yang tetap menampilkan nilai estetik yang tersendiri. Secara keseluruhan, peringkat pergerakan tarian rodat meliputi fasa pergerakan duduk dan berlutut, diikuti dengan pergerakan percantuman antara keadaan duduk dan berdiri, serta pergerakan dalam keadaan berdiri sepenuhnya. Menariknya, setiap fasa ini lazimnya bermula dan berakhir dalam posisi duduk atau berlutut, melambangkan kesinambungan dan keseimbangan dalam struktur persembahan. Antara elemen yang mencantikkan persembahan tarian rodat ialah pergerakan tangan yang dihayun ke hadapan dan ke atas, dengan jari-jari digulungkan secara berirama. Kadangkala, pergerakan ini turut dilakukan secara berpasangan, diselangi dengan lenggokan dan hayunan badan oleh pelenggok dan mak inang.
Nama Informan: Encik Razak bin Senik (Pok Jak)
Alamat: 86 E, Kampung Surau Panjang, Atas Tol, 21070, Kuala Terengganu, Terengganu
Nombor Telefon: 017-9304494
Emel: -
Alamat persatuan: Kumpulan Rodat Kampung Surau Panjang
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan Hashim Embong. (1978). Kesenian Rodat di Terengganu [Tesis Sarjana, Universiti Malaya]. Arkib Negara Malaysia. Siti Zaleha binti Yaakub. (1979/1980). Rodat: Satu permainan tradisional masyarakat Melayu di Terengganu [Tesis Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia]. Arkib Negara Malaysia. Umi Abdullah. (2003). Siri mengenal budaya 1/2003: Rodat. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Simpanan Arkib Negara Malaysia. Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia. (2002). Rodat: Sejarah dan cabaran masa kini (Cet. 1). Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia. Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia. (2004). Rodat: Sejarah dan cabaran masa kini (Cet. 2). Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia. Muhammad Irfan Nyia Abdullah, Abu Bakar, S., & Mohd Annuar, T. (2023, Disember 31). Rodat: Budaya tradisi yang berevolusi. Wacana Seni Journal of Arts Discourse, 12. https://ejournal.usm.my/wacanaseni/article/view/ws-vol12-2013-2
Tokoh (jika ada temu bual tokoh) Encik Razak bin Senik (Pok Jak). Kumpulan Rodat Kampung Surau Panjang. 86 E, Kampung Surau Panjang, Atas Tol, 21070, Kuala Terengganu, Terengganu.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nor Sahlina Aida bt Mohd Shah
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Terengganu
Kompleks JKKN Terengganu
Kuala Ibai,
20400, Kuala Terengganu,
TERENGGANU DARUL IMAN
09-617 8831