Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
KERONCONG DI SELANGOR
Seni Persembahan >Muzik
Gambar
14
Video
ada
Pelawat Hari ini
4
Jumlah Pelawat
125
Pengenalan dan sejarah
Keroncong ialah seni muzik tradisional yang dipercayai berasal dari Indonesia, khususnya Pulau Jawa dan telah berkembang menjadi sebahagian seni tradisional penting dalam landskap muzik Malaysia. Irama dan lagu keroncong dikenali kerana kelembutannya yang biasa dimainkan menggunakan alat muzik yang dipetik dan digesek. Sehubungan dengan itu, Kamus Dewan Edisi Ketiga menjelaskan maksud keroncong sebagai irama dan lagu Melayu yang lembut.
Sejarah muzik keroncong bermula pada abad ke-16, ketika penjajah Portugis memperkenalkan alat muzik seperti Cavaquinho dan gitar kepada penduduk tempatan di Nusantara. Pengaruh ini melahirkan genre muzik yang kemudian dikenali sebagai keroncong. Sehinggalah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, irama muzik Keroncong mulai berkembang di Malaysia melalui penghijrahan masyarakat Jawa ke Tanah Melayu, terutamanya ke negeri Selangor dan kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia. Mereka membawa bersama budaya dan seni
Secara tradisional, muzik keroncong berfungsi sebagai satu bentuk hiburan rakyat yang merentasi lapisan masyarakat, khususnya dalam kalangan komuniti Jawa di Tanah Melayu. Ia sering dipersembahkan dalam majlis-majlis kenduri, gotong-royong, perkahwinan, dan sambutan keagamaan, menjadikan muzik ini sebahagian daripada gaya hidup dan budaya sosial. Lagu-lagu keroncong pada zaman dahulu banyak mengandungi mesej nasihat, nilai keagamaan, dan falsafah hidup yang disampaikan melalui lirik-lirik puitis dan melankolik. Dengan irama yang lembut dan santai, keroncong menjadi medium yang sesuai untuk merehatkan jiwa, menyatukan masyarakat, dan menyampaikan pengajaran secara halus. Selain itu, keroncong juga berfungsi sebagai alat penghubung budaya dalam kalangan masyarakat migran, terutama ketika penghijrahan orang Jawa ke Tanah Melayu pada penghujung abad ke-19. Ia menjadi cara untuk mereka mengekalkan identiti etnik, bahasa, dan seni muzik yang diwarisi dari tanah asal mereka.
Pada masa kini, muzik keroncong telah mengalami perluasan fungsi yang melampaui hiburan domestik. Ia kini sering dimainkan dalam majlis rasmi kerajaan, festival kebudayaan, persembahan hotel, konsert berskala besar, malah dijadikan bahan kajian di institusi pendidikan tinggi. Kepelbagaian ini menunjukkan bahawa keroncong telah berevolusi menjadi medium diplomasi budaya dan pelestarian warisan muzik tradisional. Fungsi keroncong juga telah diperluaskan dalam bidang pendidikan dan pembinaan sahsiah, terutama apabila lagu-lagu yang dinyanyikan mengandungi unsur nilai murni, etika, dan kesedaran sosial. Keroncong dilihat sebagai satu seni suara yang mendidik sambil menghibur, dengan penekanan kepada penghayatan lirik dan nilai-nilai kehidupan.
Tambahan pula, keroncong kini digunakan untuk merapatkan hubungan antara generasi, apabila generasi muda diberi ruang untuk menginterpretasi semula lagu-lagu klasik dalam gaya moden tanpa menghilangkan identiti asalnya. Inovasi ini membantu memperkenalkan keroncong kepada khalayak lebih luas dan pelbagai. Di peringkat negeri Selangor khususnya, terdapat juga usaha menjadikan keroncong sebagai muzik tradisional rasmi. Pelbagai kaedah di ambil termasuklah dengan tujuan penganjuran pertandingan serta menjadi persmebahan rasmi kerajaan negeri. Ini memperlihatkan pengiktirafan terhadap keroncong sebagai warisan budaya yang berpotensi untuk diperkasakan sebagai produk seni warisan negara.
Dalam persembahan muzik tradisional Keroncong, tiada satu bentuk busana rasmi atau khusus yang ditetapkan. Namun, sebagai sebuah bentuk muzik tradisional yang mencerminkan identiti budaya masyarakat Melayu, khususnya di negeri Selangor, aspek pemakaian tetap menitikberatkan unsur kemelayuan yang disesuaikan mengikut adaptasi, tema persembahan, dan kesesuaian majlis. Pengaruh tempatan di Malaysia menjadikan pemakaian pemuzik lebih berasaskan gaya Melayu tradisional, yang sopan, elegan, dan menghormati nilai estetika budaya setempat.
Para pemuzik dan penyanyi lelaki dalam kumpulan keroncong lazimnya mengenakan baju Melayu Teluk Belanga yang dipadankan dengan samping songket atau kain pelikat. Potongan pakaian ini mencerminkan kesopanan, ketertiban, dan formaliti yang bersesuaian dengan sifat muzik keroncong yang lembut dan berjiwa. Aksesori yang melengkapkan penampilan ialah songkok hitam, sebagai simbol penghormatan dan kemelayuan dalam persembahan tradisi. Pemilihan warna pakaian sering diselaraskan dengan tema persembahan atau suasana majlis misalnya warna-warna lembut untuk majlis rasmi, dan warna ceria untuk festival kebudayaan.
Pemuzik atau penyanyi wanita pula sering tampil dalam baju kurung moden, baju kurung klasik atau kebaya labuh yang biasanya diperbuat daripada material songket, satin, atau kain tradisional bercorak bunga Melayu. Potongan pakaian ini menampilkan keanggunan dan kehalusan wanita Melayu, sejajar dengan suasana harmoni dalam persembahan keroncong. Sebagai pelengkap, aksesori rambut seperti cucuk sanggul sering digunakan untuk menghias kepala, terutamanya dalam persembahan berskala rasmi atau majlis kenegaraan. Gaya ini bukan sahaja menyerlahkan penampilan, malah menunjukkan kesetiaan terhadap nilai budaya dan warisan seni.
Muzik keroncong terkenal dengan bunyinya yang lembut, beralun dan mendayu. Ciri-ciri unik ini terhasil daripada penggunaan gabungan alat muzik bertali yang digesek dan dipetik, yang membentuk ensembel keroncong yang tersusun dan harmoni. Setiap alat mempunyai peranan tersendiri yang saling melengkapi dalam mencipta lapisan irama dan melodi. Antara alat muzik yang lazim digunakan dalam persembahan keroncong ialah:
Gitar Akustik
Gitar akustik memainkan peranan utama dalam memberikan ritma dan harmoni. Ia digunakan untuk memetik kord asas dan mengisi ruang sonik di antara instrumen bertali yang lain. Teknik petikan dalam keroncong selalunya menggunakan strumming pattern tradisional yang konsisten dan santai, menghasilkan suasana muzik yang tenang dan romantis.
Cello
Persembahan muzik keroncong lazimnya dilakukan dalam bentuk ensembel muzik berkumpulan, yang terdiri daripada antara lapan hingga sepuluh orang pemuzik termasuk penyanyi. Setiap anggota memainkan peranan yang tersendiri, dan keserasian antara mereka amat penting bagi memastikan alunan muzik keroncong disampaikan secara harmoni dan beremosi. Biasanya persembahan disertai oleh seorang penyanyi lelaki dan seorang penyanyi wanita, atau disampaikan secara berduet. Gandingan vokal ini mencipta kontras dan keseimbangan suara, mewujudkan suasana yang romantik dan mendalam sesuai dengan jiwa lagu-lagu keroncong.
Sebelum persembahan bermula, penyusunan lagu dilakukan berdasarkan tema, suasana majlis dan kesesuaian vokal. Pemuzik akan menjalani sesi latihan bersama bagi memastikan kelancaran iringan muzik dan penyesuaian tempo.
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Darini, R. (2012). Keroncong: Dulu dan Kini. Mozaik, 6(2), 19-31.
Rachman, A. (2013). Bentuk dan analisis musik keroncong tanah airku karya Kelly Puspito. Harmonia: Journal of Arts Research and Education, 13(1).
Juris, A., Hazmi, A. H., Rafedzi, E. R. K., & Jali, J. M. (2024). Irama muzik keroncong: Warisan seni muzik Melayu yang kian dilupakan. Jurnal Kajian Lisan Malaysia, 2(2).
Minhad, A. B., & dengan Kepujian, S. M. S. G. (2008). Cabaran Jabatan Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Negeri Selangor (JKKWNS) Dalam Menjadikan Muzik Keroncong Sebagai Identiti Negeri Selangor (Doctoral dissertation, Universiti Malaysia Sarawak).
Ganap, V. (2006). Pengaruh Portugis pada musik keroncong (Portuguese influence to kroncong music). Harmonia: Journal of Arts Research And Education, 7(2).
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Ahmad Zaimy bin Mohd Yusoff
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor
Tingkat 6, Menara Korporat,
Kompleks IDCC Shah Alam
Jalan Pahat L 15/L, Seksyen 15
40200 Shah Alam,
SELANGOR DARUL EHSAN
03-5543 1654 /1763
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!