Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
STEW AYAM
Makanan Tradisional
Gambar
1
Video
tiada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
12
Pengenalan dan sejarah
Stew Ayam Portugis di Malaysia, terutamanya di kalangan komuniti Kristang di Melaka, bukan sekadar sebuah hidangan, tetapi merupakan sebahagian daripada warisan sejarah yang masih kekal sehingga sekarang. Komuniti Kristang merupakan keturunan masyarakat Portugis abad ke-16 yang berkahwin dengan penduduk Melayu tempatan, dan masakan mereka menggambarkan gabungan rasa Eurasia yang unik. Asal usul hidangan ini dapat dikesan sejak tahun 1511 apabila Portugis menakluki Melaka. Teknik memasak secara stew ini dibawa oleh mereka, namun kekangan mendapatkan bahan dari negara asal menyebabkan mereka menyesuaikan resipi dengan rempah dan bahan tempatan. Adaptasi inilah yang melahirkan satu hidangan baharu yang beridentiti Melaka.
Stew Ayam Portugis (Galinha Estufada) versi Kristang Melaka mempunyai keunikan tersendiri. Ia telah melalui evolusi penting untuk disesuaikan dengan selera tempatan. Penggunaan rempah ratus 3 beradik (kayu manis, bunga lawang, dan buah pelaga) digunakan bagi membina aroma asas masakan ini. Satu lagi adaptasi yang paling unik iaitu penggunaan biskut tawar berbentuk empat segi yang dihancurkan bagi memekatkan kuah, menggantikan penggunaan tepung yang mungkin lebih lazim dalam stew Eropah. Penambahan sayur-sayuran seperti ubi kentang, lobak merah, dan kobis menjadikannya hidangan lengkap yang sangat menyelerakan.
Hidangan ini memainkan peranan penting dalam konteks budaya dan sosial di Malaysia. Bagi komuniti Kristang di Melaka, stew ayam ini adalah simbol identiti budaya mereka, menjadi jambatan rasa yang menghubungkan mereka dengan warisan Portugis dan status unik mereka dalam kepelbagaian budaya Malaysia. Di sekitar Perkampungan Portugis di Melaka, hidangan ini telah menjadi tarikan utama di banyak restoran dan sebahagian daripada pakej pelancongan warisan kulinari, menarik pengunjung domestik dan antarabangsa.
Stew ini menjadi contoh bagaimana resipi dari luar dapat disesuaikan dengan bahan dan citarasa tempatan sehingga menghasilkan hidangan yang benar-benar unik, sekali gus memperkaya tradisi pemakanan Malaysia. Walaupun ia sering disediakan sebagai hidangan harian, stew ini turut berperanan sebagai sajian istimewa pada perayaan seperti Krismas, Easter dan perjumpaan keluarga, melambangkan penyatuan serta perkongsian warisan budaya.
-
Ayam
Bawang Besar
Ubi Kentang
Lobak merah
Cendawan butang
Kobis
Daun sup
Daun bawang
Rempah Ratus 3 beradik (Kayu manis, bunga lawang, buah pelaga)
Biskut lemak
Kiub ayam
Garam
Panaskan minyak dan tumis bawang besar yang telah dihiris dadu bersama rempah ratus 3 beradik sehingga naik bau.
Masukkan ayam dan gaulkan sehingga ayam berubah warna.
Masukkan ubi kentang, lobak merah, dan cendawan butang. Gaul hingga separa masak.
Masukkan air secukupnya untuk menutupi ayam dan sayur-sayuran.
Biarkan ia mereneh sehingga ayam masak sepenuhnya.
Masukkan biskut lemak yang telah ditumbuk lumat untuk memekatkan kuah. Kacau rata.
Masukkan kiub ayam.
Tunggu sehingga kentang dan lobak merah empuk sepenuhnya.
Masukkan kobis dan gaul rata. Tambah sedikit lagi air jika kuah terlalu pekat.
Perasakan dengan garam dan serbuk perisa.
Taburkan daun sup sebagai hiasan sebelum dihidang.
-
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Pavao To Go. (n.d.). “Frango Estufado” Portuguese Stewed Chicken. https://pavaotogo.com/frangoestufado/
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Nur Al-Farani binti Rosli
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka
Kompleks JKKN Melaka
Hang Tuah Jaya, Lebuh Ayer Keroh,
75450 MELAKA
06 - 763 6308
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

-






