SAGOL/SINAGOL

Makanan Tradisional

Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

2

Jumlah Pelawat

40

Pengenalan dan sejarah

Foto 1: Sagol / Sinagol

Sumber: Jamilah Alulakkal


Sagol juga dikenali sebagai Sinagol atau Siagol merupakan makanan istimewa bagi masyarakat etnik Bajau Laut dan Suluk yang yang sangat popular di kawasan daerah Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Kudat. Hidangan ini dinamakan “Sagol” yang membawa maksud “campur” atau “campuran” melibatkan gabungan isi ikan, hati ikan serta pelbagai rempah untuk menghasilkan rasa yang unik dan beraroma. Sagol sering diperbuat daripada jenis ikan yang mempunyai organ dalaman hati yang besar seperti ikan pari, ikan buntal atau Ikan Ogos (parrot fish). Kadangkala, hidangan istimewa ini turut menggunakan ikan jerung atau dalam bahasa Bajau Laut disebut sebagai “Kalitan” yang terdiri daripada empat jenis iaitu jerung putih (Kalitan Pote’), jerung pasir (Kalitan Tutungan), jerung paus (Kalitan Battikan) dan jerung tukul (Kalitan Pababag).


Makanan ini terhasil daripada campuran isi ikan yang telah direbus atau dikukus yang dihancurkan bersama kunyit, bawang putih, bawang merah, serai, dan cili padi kemudian dimasak sehingga kesemua bahan sebati. Sagol boleh dimasak dalam bentuk kering (tanpa kuah) atau basah (berkuah), bergantung kepada cita rasa masing-masing. Hidangan ini biasanya dimakan bersama-sama Putu, Aggang ataupun nasi panas. 


Kehadiran sagol sebagai hidangan tradisional juga mencerminkan kemahiran masyarakat Bajau dalam menyediakan ikan yang berisiko seperti ikan buntal, yang memerlukan kepakaran tertentu untuk menghilangkan racunnya sebelum dimasak. Justeru itu, Sagol bukan sekadar hidangan makanan, tetapi juga mencerminkan kebolehan dan pengalaman masyarakat etnik Bajau Laut dan Suluk dalam mengolah hasil laut secara kreatif dan selamat serta melambangkan keunikan budaya kulinari mereka yang banyak bergantung kepada sumber laut sebagai sebahagian besar daripada diet harian.








Fungsi dan Peranan

Sagol secara fungsinya adalah hidangan makanan harian bagi masyarakat Bajau dan Suluk yang biasa dihidangkan ketika makan tengah hari ataupun makan malam. Hidangan ini tidak spesifik untuk upacara tertentu, namun jika ia dihidangkan dalam sesebuah majlis seperti majlis perkahwinan, atau kenduri kesyukuran, semestinya hidangan ini akan menjadi makanan tumpuan bagi tetamu.


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Bahan Utama:

  • 1 ekor ikan – (ikan pari / jerung / ogos / buntal), direbus dan diambil isinya

  • Hati ikan – Memberikan rasa pekat dan tekstur khas

  • ½ cawan air asam jawa

  • 250 ml air rebusan ikan

  • 1 sudu makan garam

  • ½ sudu kecil serbuk perasa (bergantung pada citarasa)

Bahan Tumis:

  • 2 ulas kunyit hidup (saiz sederhana)

  • 3 biji bawang merah

  • 1 labu bawang putih

  • 1 biji bawang Holland

  • 1 inci halia (saiz sederhana)

  • 3 batang serai – diketuk

  • 10–15 biji cili padi – ikut tahap kepedasan yang dikehendaki

  • 1 sudu besar minyak masak

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Berikut adalah kaedah atau cara penyediaan makan tradisional Sagol:

  1. Bersihkan ikan dan asingkan bahagian hati ikan terlebih dahulu. Hati ikan tidak direbus bersama isi.

  2. Rebus isi ikan bersama batang serai hingga masak. Setelah masak, toskan ikan dan simpan air rebusan untuk dijadikan asas kuah. Biarkan isi ikan sejuk.

  3. Setelah sejuk, carikkan isi ikan kepada kepingan kecil dan ketepikan.

  4. Tumbuk halus semua bahan tumis: bawang putih, bawang merah, bawang Holland, kunyit hidup, dan halia sehingga lumat.

  5. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan yang telah ditumbuk hingga wangi dan naik bau.

  6. Masukkan hati ikan ke dalam bahan tumis dan kacau sehingga hati masak sepenuhnya dan bertekstur sedikit berkerak.

  7. Tambahkan isi ikan yang telah dicarik ke dalam kuali dan gaul rata bersama bahan tumisan.

  8. Masukkan air asam jawa, garam, dan serbuk perasa secukupnya. Untuk versi berkuah, tambahkan air rebusan ikan sedikit demi sedikit mengikut kepekatan yang diinginkan.

  9. Gaul semua bahan sehingga sebati dan biarkan masak selama 5–10 minit hingga kuah pekat dan sebati dengan ikan.

  10. Sagol sedia untuk dihidangkan, enak dimakan bersama nasi putih, putu, atau aggang (sejenis makanan tradisional Bajau).

Tokoh dan Pencapaian

-


Sumber Rujukan

  1. Bahan Bacaan

Orang Sabahan. (n.d.). Sagol. OrangSabahan.blogspot.com. Retrieved August 2, 2025, from https://orangsabahan.blogspot.com/p/sagol.html

Demi Sabah. (2021, September 13). Sagol: Makanan tradisi Bajau Semporna. https://demisabah.com/sagol-makanan-tradisi-bajau-semporna/

Brahim, Z., & Selihin, F. (2022, March 29). Sagol makanan istimewa kaum Bajau, Suluk. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sagol-makanan-istimewa-kaum-bajau-suluk-357538

  1. Informan


Alulakkal bin Hj. Kalingkung. 70 tahun. Kampung Look Butun, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. 3 Oktober 2024.


Sitti Kanih binti Hj. Amat Banang, 67 tahun, Kampung Look Butun, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. 3 Oktober 2024.


Jamilah binti Alulakkal. 48 tahun. Kampung Look Butun, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. 3 Oktober 2024.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Alulakkal bin Hj. Kalingkung (70 tahun)
  • Kampung Look Butun, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah
  • +60172244743
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Puan Nurshahrinna Syahrial

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah, Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang, 88200 Kota Kinabalu SABAH

088-205070

Kembali Ke Atas