Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
CHAR KUEY TEOW
Makanan Tradisional
Gambar
0
Video
tiada
Pelawat Hari ini
3
Jumlah Pelawat
8
Pengenalan dan sejarah
Char Kuey Teow merupakan salah satu makanan jalanan yang paling dikenali di Pulau Pinang, dan juga di peringkat antarabangsa kerana aroma wok hei (aroma kuali yang panas) yang tersendiri serta rasanya yang enak. Nama hidangan ini berasal daripada istilah Hokkien chhá-kóe-tiâu, yang secara literal bermaksud mee beras leper yang digoreng. Hidangan ini dipercayai berasal daripada Chaozhou di wilayah Guangdong, China. Secara tradisional, mee beras leper yang berukuran kira-kira satu sentimeter lebarnya digoreng pada suhu tinggi bersama kicap pekat, pes cili, udang, kerang yang separuh masak, telur, taugeh dan daun kucai Cina.
Sejarah Char Kuey Teow bermula pada abad ke-19 dengan kedatangan imigran Teochew dan Hokkien dari negara China, yang berhijrah ke Tanah Melayu pada akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Versi asal char kuey teow dimasak dengan lebih ringkas, namun ia melalui proses evolusi dan penyesuaian tempatan yang ketara apabila tiba di Pulau Pinang. Penggunaan daging khinzir digantikan dengan makanan laut seperti udang dan kerang untuk menyesuaikan dengan selera tempatan dan sensitiviti budaya. Resipi asal ini kemudiannya diserikan lagi dengan bahan-bahan tempatan seperti sambal, dan secara tradisionalnya, sisa serta minyak khinzir digunakan untuk menambah aroma dan rasa pedas, manis, dan masin yang kompleks. Paling penting, penjaja tempatan menyempurnakan teknik masakan menggunakan api arang yang sangat panas bersama kuali besi, yang menghasilkan wok hei menjadikan char kuey teow lebih enak.
Pada pertengahan abad ke-20, Char Kuey Teow menjadi makanan ruji di pasar malam dan lorong-lorong Pulau Pinang. Ia dicipta sebagai makanan untuk golongan buruh; kandungan lemak yang tinggi dan harganya yang murah menjadikannya popular sebagai sumber tenaga yang baik. Pada masa itu, ia selalunya dijual oleh nelayan, petani, dan pemungut kerang pada waktu petang untuk menambah pendapatan mereka. Kini, Char Kuey Teow telah berevolusi daripada hidangan buruh menjadi “makanan ruji” (soul food) Pulau Pinang. Kualiti sepiring hidangan ini sering dinilai berdasarkan beberapa kriteria iaitu mee kuey teow mestilah digoreng sempurna tanpa hancur, kerang yang digunakan segar dan tidak terlalu masak, telur digoreng garing seperti jaring keemasan, dan taugeh mestilah kekal rangup.
Walaupun kekal popular, hidangan ini menghadapi cabaran moden. Kemahiran menggoreng menggunakan api arang yang asli semakin sukar diwarisi kerana kurang diminati generasi muda. Sebagai tindak balas kepada kesedaran kesihatan, versi yang lebih sihat (kurang minyak) telah muncul, walaupun sering dianggap "kehilangan jiwa" oleh penggemar tradisional. Pada masa yang sama, restoran mewah kini menawarkan versi inovatif seperti char kuey teow udang galah.
Walau bagaimanapun, sepinggan char kuey teow tradisional tetap menjadi lambang sejarah imigran, kreativiti tempatan, dan budaya pelbagai kaum di Pulau Pinang. Pada masa kini, banyak gerai di membungkus char kuey teow menggunakan daun pisang, yang kemudian diikat dalam bentuk kon dengan menggunakan tali daripada rumput
Foto 2: Char Kuew Teow
Fungsi dan peranan Char Kuey Teow telah berevolusi dari semasa ke semasa. Semasa masakan ini dicipta, sasaran utamanya ialah para buruh. Kandungan lemaknya yang tinggi dan harganya yang murah menjadikannya popular sebagai sumber tenaga dan nutrien yang murah dan mudah didapati. Pada masa itu, ia selalunya dijual oleh nelayan, petani, dan pemungut kerang pada waktu petang sebagai sumber pendapatan tambahan mereka.
Kini, peranannya telah berkembang. Daripada hanya menjadi hidangan harian, Char Kuey Teow telah menjadi salah satu tarikan utama pelancong yang berkunjung ke Pulau Pinang. Selain dijual secara meluas di gerai-gerai jalanan, ia juga sering muncul sebagai sebahagian daripada makanan tradisional negeri yang utama semasa pesta makanan dan acara promosi pelancongan.
Kuey teow (mi beras leper)
Udang segar
Kerang
Telur
Taugeh
Kucai
Kicap
Sos tiram
Kicap pekat
Cili kisar
Bawang putih
Minyak masak
Sosej cina (ikut cita rasa)
Kek ikan (ikut cita rasa)
Panaskan minyak dalam kuali besar.
Tumis bawang putih hingga naik bau, kemudian masukkan cili kisar.
Tambahkan udang dan kerang, goreng hingga separuh masak.
Masukkan kuey teow dan gaul rata bersama kicap dan sos tiram.
Masukkan telur, taugeh dan kucai, kacau pantas di atas api kuat untuk mendapatkan aroma 'wok hei'.
Sumber Rujukan
Bony, T. (2025). Char kuey teow. Singapore Infopedia. https://www.nlb.gov.sg/main/article-detail?cmsuuid=454718c4-5100-447a-b96a-237a9cf7cc6e#:~:text=Despite%20its%20Hokkien%20name%2C%20the,lard%20and%20dark%20soya%20sauce.
Cheah, A. (n.d.). Penang's all-time favourite Char Koay Teow. Adrian Cheah. https://adriancheah.com/lemaklicious/163-penang-s-all-time-favourite-char-koay-teow
Food For Thought. (2015, November 13). A guide to Char Kuey Teow in Malaysia | Food history of Char Kuey Teow. https://foodforthought.com.my/char-kuey-teow/
Michelin Guide. (2024, May 24). Iconic dishes: Breaking down Char Koay Teow in Malaysia and in Singapore. https://guide.michelin.com/my/en/article/features/iconic-dishes-char-koay-teow
National Heritage Board. (n.d.). Char Kway Teow. Roots. Retrieved November 14, 2025, from https://www.roots.gov.sg/ich-landing/ich/char-kway-teow
Ong, J. T. (2010). Penang heritage food. Singapore: Landmark Books, p. 23. (Call no.: RSEA 641.595951 ONG)
Tan, J. (2015, July 5). On the char kway teow trail in Ipoh. Malay Mail Online. Retrieved from Malay Mail Online website: http://www.themalaymailonline.com/eat-drink/article/on-the-char-kway-teow-trail-in-ipoh
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Pegawai Kebudayaan









