Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
MEREDAKAN DEMAM
Adat Resam
Gambar
8
Video
tiada
Pelawat Hari ini
6
Jumlah Pelawat
99
Pengenalan dan sejarah
Demam merupakan tindak balas semula jadi badan yang berlaku apabila sistem imun bertindak balas terhadap kehadiran jangkitan atau keradangan. Dalam keadaan normal, suhu tubuh manusia dikawal oleh keseimbangan antara proses penjanaan haba dan kehilangan haba. Haba badan dihasilkan melalui proses penjanaan tenaga yang diperlukan untuk pelbagai aktiviti fisiologi, seperti pergerakan otot, di mana hati bertindak sebagai pengeluar utama haba ketika tubuh berada dalam keadaan rehat, manakala otot pula berperanan besar semasa seseorang melakukan aktiviti fizikal atau bersenam. Proses ini turut dipengaruhi oleh hormon dan pusat kawalan suhu di otak yang memastikan suhu badan kekal stabil pada sekitar 37°C.
Demam dapat dikesan apabila suhu tubuh meningkat melebihi paras normal. Peningkatan ini boleh disebabkan oleh tiga keadaan utama, iaitu kenaikan titik suhu tetap pada pusat kawalan di otak, peningkatan penghasilan haba dalam tubuh, dan pengurangan proses kehilangan haba. Situasi ini sering berlaku apabila tubuh cuba melawan jangkitan virus, bakteria, atau pendedahan kepada faktor-faktor lain yang mengganggu kestabilan fisiologi. Keadaan demam biasanya disertai dengan simptom seperti sakit kepala, badan terasa lemah, berpeluh berlebihan, menggigil, serta rasa tidak selesa secara keseluruhan.
Walaupun perubatan moden menyediakan rawatan yang mudah diperoleh seperti paracetamol untuk mengurangkan demam atau antibiotik bagi melawan jangkitan bakteria, masyarakat Melayu tradisional sejak dahulu kala telah mengamalkan pelbagai petua semula jadi untuk meredakan gejala ini. Kaedah tradisional ini berakar daripada etnoperubatan Melayu yang diwarisi turun-temurun dan dianggap lebih selamat, murah, mudah didapati, serta sarat dengan nilai kearifan lokal. Hal ini khususnya diamalkan oleh masyarakat lampau, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman atau kampung yang jauh daripada akses rawatan moden, sekali gus menjadikan sumber alam sebagai pilihan utama dalam mengatasi masalah kesihatan.
Antara contoh bahan semula jadi yang digunakan termasuklah air rendaman kembang semangkuk (Scaphium macropodum), sejenis buah daripada tumbuhan hutan yang apabila direndam akan mengembang menjadi lendir jernih dan dipercayai membantu menyejukkan badan. Amalan minum air kembang semangkuk ini bukan sahaja popular dalam masyarakat Melayu tetapi juga diamalkan oleh etnik di Sabah dan Sarawak sebagai penawar tradisional menurunkan panas badan. Selain itu, gabungan minuman lemon dan madu asli turut menjadi pilihan kerana khasiatnya dalam menenangkan tekak, memberi tenaga, serta berfungsi sebagai agen detoksifikasi semula jadi.
Herba lain yang turut digunakan ialah Astragalus (Astragalus membranaceus), yang terkenal dalam perubatan tradisional Asia kerana khasiatnya meningkatkan daya tahan tubuh, mengurangkan keradangan, serta membantu tubuh melawan jangkitan. Dalam konteks perubatan Melayu, asam jawa (Tamarindus indica) juga sering dijadikan ramuan untuk meredakan demam. Asam jawa biasanya dilumatkan bersama air dan dijadikan minuman atau digunakan sebagai air mandian untuk membantu menyejukkan tubuh secara semula jadi.
Kesemua amalan ini menggambarkan betapa masyarakat terdahulu mengadaptasi ilmu perubatan berdasarkan pengalaman, pemerhatian, dan hubungan erat dengan alam sekitar. Walaupun pada masa kini rawatan moden lebih mudah diakses, petua tradisional ini masih dipraktikkan kerana bukan sahaja dilihat berkesan, tetapi juga menjadi warisan budaya dan sebahagian daripada identiti masyarakat Melayu serta etnik lain di Malaysia.
Petua tradisional untuk meredakan demam berfungsi sebagai alternatif kepada rawatan moden, khususnya dalam membantu tubuh menurunkan suhu badan serta memberikan kelegaan kepada pesakit. Berikut adalah fungsi dan peranan umum amalan perubatan ataupun petua tradisional ini;
Menstabilkan suhu tubuh
Dari segi fisiologi, fungsi utama rawatan tradisional ialah menstabilkan suhu tubuh melalui bahan semula jadi yang bersifat penyejuk atau antipiretik. Misalnya, air rendaman kembang semangkuk (Scaphium macropodum) dipercayai membantu menyejukkan badan kerana sifatnya yang lembut pada perut dan menyegarkan tubuh dari dalam. Begitu juga dengan air kelapa muda, asam jawa, atau daun semambu, yang sering digunakan bagi membantu tubuh mengawal semula proses kehilangan haba.
Mengurangkan simptom demam
Selain mengurangkan suhu, rawatan tradisional turut berperanan dalam mengurangkan simptom sampingan demam. Simptom seperti sakit kepala, badan lemah, kurang selera makan, serta rasa panas yang berlebihan dapat dikurangkan dengan penggunaan herba dan bahan semula jadi yang bukan sahaja menenangkan tubuh tetapi juga memberi tenaga tambahan. Contohnya, madu asli sering digunakan sebagai pemanis semula jadi dalam minuman tradisional, tetapi dalam masa yang sama berfungsi menambah tenaga, meningkatkan imuniti, serta mempercepatkan pemulihan.
Menguatkan sistem imun tubuh
Petua tradisional juga berfungsi untuk menguatkan sistem imun tubuh. Herba seperti astragalus (Astragalus membranaceus) digunakan bukan sahaja kerana sifatnya yang menyegarkan, tetapi juga kerana dipercayai meningkatkan ketahanan tubuh terhadap jangkitan. Hal ini menunjukkan bahawa rawatan tradisional bukan sekadar melegakan gejala sementara, malah turut menyokong keupayaan tubuh melawan punca sebenar demam.
Nilai Budaya
Lebih daripada aspek kesihatan fizikal, peranan petua tradisional meredakan demam turut mencerminkan hubungan erat antara masyarakat dengan kearifan lokal. Kaedah rawatan yang diwarisi turun-temurun ini melambangkan kebijaksanaan orang dahulu dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran semula jadi, dengan memanfaatkan sumber tanaman sekitar rumah sebagai penawar. Ia juga menjadi sebahagian daripada identiti budaya masyarakat Melayu serta etnik lain di Malaysia, kerana pengamalan petua tradisional tidak hanya bertujuan untuk menyembuhkan penyakit, tetapi juga untuk mengekalkan kesinambungan ilmu warisan yang terbukti relevan hingga kini.
Dalam perubatan tradisional, pelbagai bahan semula jadi digunakan untuk meredakan demam. Kesemuanya mudah diperoleh di sekitar rumah, kebun, atau pasar tradisional, serta tergolong dalam kategori etnoperubatan yang diwarisi turun-temurun. Berikut adalah antara bahan utama:
Daun Bunga Raya (Hibiscus rosa-sinensis)
Daun bunga raya dipercayai mempunyai kesan penyejuk semula jadi. Apabila diramas bersama air, ia menghasilkan lendir jernih yang boleh digunakan untuk disapu pada kepala atau dahi bagi menurunkan panas badan. Selain itu, sifat penyejuk daun ini membantu memberikan rasa lega pada tubuh yang keletihan akibat demam.
Daun Pegaga (Centella asiatica)
Pegaga dikenali sebagai herba yang menyegarkan dan meningkatkan daya tahan tubuh. Dalam rawatan tradisional, pegaga ditumbuk atau dijadikan jus untuk diminum bagi menyejukkan badan, mengurangkan suhu, serta membantu pemulihan tenaga.
Daun Semambu (Azadirachta indica)
Daun semambu, yang juga digunakan dalam perubatan Ayurveda, bersifat antipiretik (penurun panas) dan antiseptik. Daunnya direbus dan digunakan sebagai air mandian untuk mengurangkan suhu badan ketika demam, di samping membantu membersihkan kulit.
Air Rendaman Kembang Semangkuk (Scaphium macropodum)
Kembang semangkuk ialah sejenis buah hutan yang apabila direndam di dalam air akan mengembang dan menghasilkan lendir jernih. Minuman ini terkenal dalam masyarakat Melayu serta etnik di Sabah dan Sarawak sebagai penawar demam. Ia dipercayai membantu menyejukkan badan, mengatasi dahaga, serta menstabilkan suhu tubuh.
Asam Jawa (Tamarindus indica)
Asam jawa digunakan sebagai bahan penyejuk semula jadi. Ia dilumatkan dengan air lalu dijadikan minuman atau pes pekat untuk diletakkan pada tubuh badan. Kandungan asid semula jadi dalam asam jawa dipercayai menurunkan panas badan serta mengurangkan rasa panas dalam tekak.
Air Kelapa Muda (Cocos nucifera)
Air kelapa muda sering digunakan sebagai minuman tradisional untuk menyejukkan badan. Ia mengandungi elektrolit semula jadi yang membantu menggantikan cecair tubuh yang hilang semasa demam. Amalan ini juga dipercayai dapat membersihkan toksin dalam badan.
Lemon (Citrus limon) dan Madu Asli
Gabungan lemon dan madu asli menjadi antara ramuan popular dalam rawatan demam tradisional. Lemon kaya dengan vitamin C yang meningkatkan daya tahan tubuh, manakala madu asli bertindak sebagai antibakteria semula jadi serta memberi tenaga. Minuman ini bukan sahaja melegakan tekak, tetapi juga mempercepatkan proses pemulihan.
Astragalus (Astragalus membranaceus)
Herba ini terkenal dalam perubatan tradisional Asia kerana khasiatnya dalam meningkatkan sistem imun, mengurangkan keradangan, serta membantu tubuh melawan jangkitan. Dalam konteks tradisional, astragalus digunakan sebagai rebusan herba untuk diminum ketika demam.
Foto 2: Daun Pegaga
Sumber: Pakin Songmor diambil daripada gettyimages.com
Penyediaan bahan-bahan tradisional untuk meredakan demam pada asasnya mudah dilakukan, namun setiap ramuan mempunyai teknik dan kaedah tersendiri agar keberkesanannya dapat dimaksimumkan. Oleh itu, berikut dihuraikan cara penyediaan bagi setiap bahan yang digunakan dalam rawatan tradisional ini.
Rawatan menggunakan daun bunga raya
Petik 4–5 helai daun bunga raya segar.
Cuci bersih dan ramas bersama semangkuk air sehingga keluar lendir jernih.
Air ramasan disapu pada kepala, dahi, atau tengkuk pesakit.
Boleh diulang 2–3 kali sehari untuk membantu menyejukkan badan.
Rawatan menggunakan daun pegaga
Ambil segenggam daun pegaga segar dan cuci bersih.
Tumbuk halus atau kisar bersama segelas air suam.
Tapis dan minum sebagai jus penyejuk badan.
Selain itu juga, daun pegaga ini boleh direbus sahaja seperti sup dan airnya diminum.
Amalkan sekali sehari sehingga suhu badan berkurangan.
Rawatan menggunakan daun semambu
Petik 10–15 helai daun semambu segar.
Kemudian, tumbuk hancur daun semambu sehingga lumat. Tambahkan sedikit air untuk menghasilkan cecair yang pekat.
Sapu dan tampalkan ke atas dahi atau sekitar tubuh badan khususnya bahagia ketiak dan dada
Amalkan 1–2 kali sehari bagi menurunkan suhu badan.
Rawatan menggunakan rendaman air kembang semangkuk
Ambil 1–2 biji buah kembang semangkuk kering.
Rendam dalam segelas air masak selama 3–4 jam atau semalaman.
Setelah buah mengembang dan menghasilkan lendir jernih, air rendaman diminum.
Amalkan sekali sehari untuk menyejukkan badan.
Rawatan menggunakan asam jawa
Rawatan menggunakan asam jawa ini boleh dilakukan dalam dua cara iaitu diminum ataupun dijadikan lulur badan.
Jika diminum, Ambil seketul asam jawa (lebih kurang sebesar ibu jari) dan Larutkan dalam segelas air suam.
Ramas hingga sebati, kemudian tapis untuk membuang biji dan serat.
Minum air asam jawa ini 1–2 kali sehari ketika demam.
Kaedah ini membantu menyejukkan badan dari dalam, mengurangkan rasa panas, serta melembapkan tekak.
Jika dijadikan lulur badan, ambil seketul asam jawa.
Larutkan dalam sedikit air suam dan ramas sehingga mengeluarkan jusnya.
Teruskan meramas hingga campuran menjadi pekat dan kental.
Gunakan pes asam jawa ini sebagai lulur dengan menyapu rata pada seluruh badan, leher, dan kepala pesakit.
Biarkan selama 15–20 minit sehingga rasa sejuk meresap ke dalam kulit.
Bilas dengan air bersih selepas itu.
Amalkan sekali sehari untuk membantu menyejukkan badan dan mengurangkan rasa panas akibat demam.
Rawatan menggunakan air kelapa muda
Tebuk atau belah sebiji kelapa muda segar.
Ambil airnya dan minum terus. Sesetengah ramuan adalah mencampurkan air kelapa dan daun pudina untuk mendapatkan rasa yang menyegarkan
Diamalkan 1–2 kali sehari untuk menyejukkan badan dan mengganti elektrolit semasa demam.
Rawatan menggunakan air lemon dan madu
Perah setengah biji lemon ke dalam segelas air suam.
Tambahkan 1 sudu kecil madu asli.
Kacau rata dan minum perlahan-lahan.
Amalkan 2 kali sehari (pagi dan malam) untuk menambah tenaga, meningkatkan imuniti, serta menyejukkan badan.
Rawatan menggunakan astragalus
Ambil 1–2 keping akar astragalus kering (sekitar 10 gram).
Rebus bersama 2 cawan air sehingga tinggal separuh.
Tapis dan biarkan suam sebelum diminum.
Amalkan sekali sehari semasa demam untuk membantu meningkatkan daya tahan tubuh.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Fauzi, N., Ahmad, K., & Kamaruzaman, W. N. A. B. W. (2019). Fever in the perspective of hadith and Malay medical manuscript: An analysis on Kitab Bermacam-Macam Khasiat. Al-Bayan: Journal of Qur'an and Hadith Studies, 17(1), 87–124.
Mustafa, R., Deli, R. M., Sarbini-Zin, M., & Osman, W. R. M. (2014). Amalan perubatan tradisional masyarakat Melayu Sarawak. Procedia - Social and Behavioral Sciences, 134, 316–322. https://doi.org/10.xxxx
Omar, S., Cusairi, R. M., Jamaludin, S. S. S., & Lepun, P. (2007). Penggunaan tumbuh-tumbuhan dalam perubatan tradisional masyarakat Siam di negeri Kedah. Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (PASAK 2).
Zayan. (2023, October 18). 6 cara menghilangkan demam panas untuk orang dewasa. Zayan. https://zayan.syok.my/zayan-pit-stop/trending/6-cara-menghilangkan-demam-panas-untuk-orang-dewasa
Iluminasi. (2022, August 5). Cara cepat meredakan demam untuk dewasa dan kanak-kanak. Iluminasi. https://iluminasi.com/bm/cara-cepat-meredakan-demam-untuk-dewasa-dan-kanak-kanak.html
Norbayah Dahalan. (2023, September 10). Petua meredakan demam panas secara tradisional [Lemon8 post]. Lemon8. https://www.lemon8-app.com/@norbaya_dahalan/7410335922363007489?region=my
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!

Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris



