Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN ORANG ASLI SELETAR
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
9
Video
ada
Pelawat Hari ini
9
Jumlah Pelawat
84
Pengenalan dan sejarah
Masyarakat Orang Asli Seletar merupakan salah satu daripada 18 suku etnik
Orang Asli di Malaysia, dan secara taksonominya dikelaskan di bawah kumpulan
Melayu Proto bersama dengan beberapa suku kaum lain seperti Mah Meri, Jakun,
Temuan dan Orang Kuala. Orang Asli Seletar mempunyai latar belakang sejarah
yang unik kerana mereka tergolong dalam komuniti Orang Laut yang secara
tradisinya mengamalkan gaya hidup nomad laut, berpindah-randah mengikut
sumber laut yang menjadi sumber utama rezeki mereka.
Dari aspek penempatan, masyarakat Seletar dahulu banyak mendiami kawasan-
kawasan persisiran pantai, muara sungai dan pulau-pulau kecil, terutamanya
sekitar perairan Johor dan Singapura. Beberapa kawasan yang menjadi tumpuan
penempatan mereka di Johor pada masa kini termasuklah Kampung Sungai
Temon di Danga Bay, Johor Bahru; Kampung Bakar Batu di Kulai; serta
penempatan kecil lain sekitar Pantai Selatan Johor.
Dari sudut asal-usul sejarahnya, Seletar dipercayai berasal daripada kelompok Orang Laut yang pernah mendiami kawasan Paya Seletar dan Pulau Seletar di
Singapura. Mereka merupakan sebahagian daripada penduduk peribumi awal di
Singapura sebelum migrasi dan urbanisasi moden berlaku. Pada pertengahan
abad ke-20, sebahagian daripada masyarakat Seletar telah berpindah ke Johor
ekoran daripada perancangan pentadbiran kerajaan Johor di bawah Sultan Abu
Bakar, terutamanya di kawasan Sungai Pulai, di mana mereka memulakan
penempatan kekal.
Sehubungan dengan itu, Sebagai komuniti yang kehidupannya rapat dengan alam
maritim, sumber inspirasi kepada gerak tari, lagu serta ritual masyarakat Seletar
banyak dipengaruhi oleh elemen alam seperti laut, ombak, angin, ketam, kepah
dan siput. Tarian masyarakat Seletar sering kali dipersembahkan bersempena
dengan upacara memohon perlindungan dan kemurahan rezeki daripada “Tuhan
Laut”, khususnya ketika menghadapi musim tengkujuh di mana sumber hasil laut
berkurangan. Dalam ritual ini, mereka menyatakan luahan kesusahan dan
permohonan ihsan agar dilindungi daripada bencana alam dan diberikan
kelimpahan rezeki. Tarian tersebut memperlihatkan pergerakan tangan yang
meniru riak ombak dan angin laut, gerakan kaki yang menggambarkan langkah
mengharungi air, serta nyanyian yang dipenuhi bait-bait pujian kepada Tuhan Laut.
Tarian Orang Asli Seletar memainkan beberapa peranan penting dalam kehidupan
masyarakatnya. Pertama, tarian ini berfungsi dalam upacara ritual bagi memohon
keberkatan dan perlindungan daripada Tuhan Laut. Ia mencerminkan hubungan
erat masyarakat Seletar dengan alam sekitar, khususnya dalam menghadapi
ketidaktentuan sumber laut semasa musim tengkujuh.
Selain daripada fungsi ritual, tarian ini juga menjadi aktiviti hiburan utama dalam
kalangan penduduk kampung. Ia kerap dipersembahkan semasa majlis keramaian
seperti kenduri, perkahwinan, penyambutan tetamu, dan perayaan tahunan
komuniti. Melalui persembahan ini, masyarakat dapat berkumpul, berinteraksi, dan
mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta komuniti.
Dalam konteks pemodenan dan pengaruh budaya luar, tarian ini turut berperanan
sebagai mekanisme pemeliharaan identiti budaya. Ia membantu memperkukuh jati
diri etnik Seletar dan memastikan warisan budaya mereka terus diwarisi oleh
generasi muda. Selain dipersembahkan dalam kalangan komuniti sendiri, tarian ini
juga sering diundang untuk dipersembahkan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan sebagai usaha memperkenalkan warisan budaya Orang Asli Seletar
kepada masyarakat umum.
Semasa mempersembahkan tarian tradisional, para penari Orang Asli Seletar
mengenakan busana yang diperbuat sepenuhnya daripada bahan semula jadi
hasil sumber alam sekitar mereka. Bahan utama pakaian ialah kulit kayu pokok
Sebaru, sejenis pokok bakau yang tumbuh di persisiran pantai. Proses pembuatan
pakaian ini bermula dengan pemilihan kulit kayu yang sesuai, diikuti dengan
proses pembersihan, penjemuran, dan pengeringan yang mengambil masa hampir
sebulan. Setelah kering, kulit kayu tersebut akan dianyam secara teliti oleh kira-
kira enam orang penduduk sehingga terbentuk sepasang busana lengkap.
Ketika menari, penari lelaki dan wanita akan memakai tanjak yang diperbuat
daripada anyaman kulit kayu di bahagian kepala. Di bahagian badan, selempang
disilang menutupi bahu hingga ke pinggang. Penutup bahagian bawah pula
berbentuk kain panjang yang melilit pinggang hingga ke paras kaki. Selain itu,
penari turut mengenakan hiasan tambahan yang diperbuat daripada daun nipah
yang dianyam sebagai skirt tambahan. Aksesori lain seperti kulit cengkerang laut,
manik-manik, dan bunga-bungaan turut digunakan bagi memperindahkan busana
ketika persembahan berlangsung. Manakala, dari segi solekan, para penari hanya
mengenakan sapuan solekan yang ringkas dan semula jadi pada wajah, sekadar
untuk menaikkan seri dan menonjolkan kejelitaan serta kekemasan penampilan
ketika menarikan persembahan di hadapan khalayak.
Antara alat muzik utama yang digunakan ialah buluh cehtong. Alat ini tergolong
dalam kategori idiofon, iaitu alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui getaran
bahan itu sendiri tanpa memerlukan tali, membran atau tiupan udara. Buluh
cehtong diperbuat daripada batang buluh yang dipotong dalam pelbagai saiz untuk
menghasilkan variasi nada. Alat ini dimainkan secara berkumpulan, di mana setiap
pemain akan menghentakkan batang buluh tersebut ke lantai secara bergilir-gilir,
lalu menghasilkan irama yang merdu dan berulang. Rentak yang dihasilkan bukan
sahaja mengiringi pergerakan penari, malah menjadi asas utama dalam
membentuk suasana keseluruhan persembahan.
Selain buluh cehtong, alat muzik tabla turut digunakan dalam persembahan tarian
ini. Tabla merupakan alat perkusi dua permukaan yang berasal dari budaya India.
Penggunaannya dalam persembahan tarian Orang Asli Seletar mencerminkan adanya proses asimilasi dan penyesuaian budaya luar dalam seni persembahan
masyarakat ini. Bunyi yang dihasilkan oleh tabla menambah variasi ritma yang
memperkayakan lapisan muzik sedia ada, serta memberi kekuatan pada tempo
pergerakan tarian.
Di samping itu, alat muzik makasar turut dimainkan dalam persembahan. Alat ini
diperbuat daripada tempurung kelapa yang diproses khusus untuk menghasilkan
bunyi apabila diketuk. Makasar berperanan menambahkan elemen ritma
tambahan yang unik, sekali gus menyerlahkan ciri-ciri semula jadi yang menjadi
sebahagian daripada identiti budaya Orang Asli Seletar yang sinonim dengan
kehidupan berasaskan alam.
Dalam beberapa persembahan moden, penggunaan sistem mixer atau alat
kawalan bunyi elektronik turut digunakan. Penggunaan mixer ini bertujuan
memastikan keseimbangan bunyi antara semua alat muzik dan nyanyian,
terutama apabila persembahan diadakan di pentas yang lebih besar atau dalam
acara rasmi. Dengan bantuan sistem ini, keseluruhan persembahan dapat
dinikmati dengan jelas oleh penonton tanpa mengurangkan nilai tradisional yang
dipersembahkan.
Tarian Orang Asli Seletar mempunyai keunikan tersendiri kerana memperlihatkan
hubungan simbiosis yang erat antara manusia dengan alam laut yang menjadi
sumber kehidupan utama mereka. Konsep persembahan tarian ini dibina
berdasarkan penghayatan terhadap kehidupan seharian masyarakat Seletar yang
banyak berkait rapat dengan ekosistem maritim. Oleh itu, pergerakan tarian dan
rentak kaki para penari biasanya disesuaikan mengikut tema lagu yang dimainkan
sepanjang persembahan.
Dalam persembahan, terdapat beberapa jenis lagu yang membawa maksud
tertentu berdasarkan konteks majlis yang diraikan. Sebagai contoh, lagu Ketam
Jengkeng sering dimainkan dalam acara perkahwinan. Lagu ini merujuk kepada
perlambangan ketam yang keluar dari air pasang, menggambarkan kesuburan
dan permulaan fasa baharu dalam kehidupan berumahtangga. Selain itu, lagu
Daeng Neng Kai pula sering dimainkan ketika sambutan memperingati nenek
moyang, yang menzahirkan penghormatan dan rasa syukur kepada generasi
terdahulu. Sementara itu, lagu Oghayo-Oghayo membawa tema pengalaman
memburu dan mencari rezeki, mencerminkan aktiviti ekonomi tradisional masyarakat Seletar yang bergantung pada hasil laut dan hutan.
Dari segi susunan penari, biasanya terdapat lapan orang penari yang memulakan
persembahan. Mereka dibahagikan kepada dua baris, dengan empat penari di
hadapan dan empat penari di belakang. Setiap penari melakukan ayunan tangan
yang harmoni sambil berposisi kiri dan kanan antara satu sama lain, mewujudkan
pola pergerakan yang seimbang dan seragam. Gerakan ini mencerminkan alunan
ombak dan ritma alam semula jadi yang menjadi sebahagian daripada identiti
persembahan mereka.
Seterusnya, penari akan bergerak membentuk bulatan secara beriringan. Setelah
itu, bulatan tersebut berpecah kepada dua bulatan kecil, memperlihatkan formasi
dinamik yang melambangkan keharmonian dan kerjasama komuniti. Akhir
persembahan biasanya ditutup dengan empat penari membentuk satu bulatan
kecil, manakala empat yang lain membentuk dua barisan berlawanan arah di
bahagian kiri dan kanan pentas.
Secara keseluruhan, persembahan ini diiringi dengan rentak lagu-lagu tradisional
seperti Ketam Jengkeng, Daeng Neng Kai, dan Oghayo-Oghayo. Gerakan tari
yang digunakan dalam persembahan ini turut merujuk kepada gaya tarian Sewang
yang lazim diamalkan oleh komuniti Orang Asli lain, namun disesuaikan dengan
identiti budaya masyarakat Seletar sendiri. Melalui gabungan elemen pergerakan, lagu dan irama alam, tarian ini tidak hanya menjadi persembahan hiburan semata-
mata, tetapi turut membawa naratif budaya, kepercayaan serta nilai-nilai warisan
masyarakat Orang Asli Seletar.
Encik Jahan bin Tom. Persatuan Tarian Orang Asli Seletar Sg. Temun. Kg.
Orang Asli Sungai, Temon, Johor Bahru.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Seletar Community. (2019, November 21). Tarian dan nyanyian rakyat
Orang Seletar [Video]. YouTube.
https://www.youtube.com/watch?v=o8hDReyNmzw
Seletar Dance Johor. (2020, March 15). Tari Seletar (Seletar Dance)
[Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=zVoDdNTI9RM
Warisan Seletar Malaysia. (2021, October 10). Tarian Ketam Bangkang
Kaum Orang Asli Seletar [Video]. YouTube.
https://www.youtube.com/watch?v=woQPMclYkAs
Festival Orang Asli Malaysia. (2022, April 1). Festival Orang Asli dan
Peribumi: Seletar Laut [Video]. YouTube.
https://www.youtube.com/watch?v=yVazeXEGpFw
Kebudayaan Orang Seletar. (2023, August 15). Persembahan Tarian
Seletar Kampung Sungai Temon [Video]. Facebook.
https://www.facebook.com/penjaga.ikan/
Amazing Johor Culture. (2023, September 5). ‘Ketam Bangkang’ Dance
from Orang Asli Tribe of Seletar [Video]. Facebook.
https://www.facebook.com/100071195323268/videos/amazing-ketam-
bangkang-dance-from-orang-asli-tribe-of-seletar-from-johor-
bharumy/875730265897971/
Shamsir, S. I., Muda, M., & Hassan, Z. A. (2024). Kegiatan sosioekonomi
Orang Asli Seletar di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru. e-BANGI, 21(3),
376–391.
Rosnon, M. R., Abdul Razak, M. A., & Jalaludin, M. L. (2024). Exploring the
subjective well-being of elderly Orang Seletar indigenous people in Johor,
Malaysia. Journal of Infrastructure, Policy and Development, 8(8), 2606.
Zal, W. A. (2013). Pembentukan modal insan Orang Asli Darat dan Laut di
Malaysia (The human capital formation amongst Orang Asli Darat (Forest
people) and Orang Asli Laut (Sea people) in Malaysia). Geografia, 9(4).
Ani, F., Yusoff, R. M., Damin, Z. A., Jaes, L., Johar, S. S., Nordin, S. R. A.,
... & Ismail, F. (2018). Menyelusuri asimilasi budaya kaum Orang Asli Suku
Kuala di Sungai Layau, Kota Tinggi. Human Sustainability Procedia.
Roddin, R., Yusof, Y., Mukhtar, M. I., Mohamad, M. M., Razzaq, A. R. A.,
Jalil, S. A., & Hariri, T. I. A. A. (2019). Keupayaan komuniti Orang Asli suku
kaum Seletar di Johor Bahru melalui keusahawanan berasaskan
pelancongan. International Journal of Social Science Research, 1(2), 9–22.
ii. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Encik Jahan bin Tom. Persatuan Tarian Orang Asli Seletar Sg. Temun. Kg.
Orang Asli Sungai, Temon, Johor Bahru.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Nor Hafizah Hassan
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor
Aras 6 Kiri, Wisma PERKESO
No 26, Jalan Susur 5
Off Jalan Tun Abdul Razak, Larkin
80200 Johor Bahru
JOHOR DARUL TAKZIM
07-224 8270 / 223 1249