Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
TARIAN ZAPIN RAUB
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
4
Video
ada
Pelawat Hari ini
109
Jumlah Pelawat
1620
Pengenalan dan sejarah
Zapin Raub ini merupakan sebuah seni tari yang pernah popular di Raub, Secara umumnya, zapin merupakan salah satu bentuk tarian tradisional Melayu yang mempunyai akar sejarah yang panjang serta dipengaruhi oleh unsur-unsur budaya Arab dan Islam yang diperkenalkan oleh para pendakwah dan pedagang dari Timur Tengah sekitar 500 tahun yang lalu. Keunikan zapin terletak pada keupayaannya untuk berasimilasi dengan budaya tempatan di setiap kawasan yang ia berkembang. Di negeri Pahang khususnya, zapin telah berkembang menjadi satu identiti budaya yang tersendiri, diperkaya dengan adaptasi tempatan dan diwarisi secara turun-temurun dalam masyarakat.
Salah satunya adalah Tarian Zapin Rao atau lebih dikenali sebagai Zapin Raub, merupakan salah satu cabang seni tari tradisional yang unik di negeri Pahang, khususnya berkembang di daerah Raub. Tarian ini lahir daripada pengaruh budaya masyarakat Rao atau Rao-Rawa yang berasal dari Sumatera, Indonesia. Komuniti Rao berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu sekitar abad ke-19 dan menetap di beberapa kawasan termasuk di daerah Raub. Bersama penghijrahan tersebut, mereka turut membawa warisan seni budaya yang kaya seperti muzik, tarian, adat resam, dan kesenian lain yang menjadi sebahagian daripada identiti mereka.
Ia telah disesuaikan dengan pengaruh budaya tempatan masyarakat Rao-Raub. Unsur keagamaan Islam tetap menjadi teras utama dalam persembahan zapin, namun gerakan tariannya diperkaya dengan elemen tempatan yang lebih sederhana, bersahaja, dan mencerminkan keunikan masyarakat setempat berbanding dengan variasi zapin yang terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia.
Menurut catatan sejarah lisan, tarian ini pada asalnya dikenali dengan nama Zapin Durian Sebatang, bersempena dengan kampung asal kelahirannya iaitu Kampung Durian Sebatang, Raub. Tarian ini mula diperkenalkan sekitar tahun 1930-an dan dicipta oleh seorang ahli muzik tradisional setempat iaitu Allahyarham Alias bin Gek. Keunikan Zapin Durian Sebatang terletak pada gubahan rentak lagu, susunan lirik, serta ciptaan gerak tari zapin yang terdiri daripada sembilan langkah asas. Pada peringkat awal, tarian ini dipersembahkan terutamanya dalam majlis-majlis perkahwinan dan lazimnya dipersembahkan oleh dua atau empat orang penari lelaki.
Penglibatan generasi seterusnya, terutamanya anak kepada pencipta asal iaitu Hamzah bin Alias atau lebih dikenali sebagai Tok Mezah, telah memastikan kesinambungan dan kelangsungan tarian ini dalam kalangan masyarakat setempat. Bagi mempopularkan lagi identiti seni tari ini serta mengangkat martabatnya sebagai salah satu khazanah kebudayaan daerah Raub, nama "Zapin Raub" akhirnya diperkenalkan. Penamaan baharu ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya dalam peta warisan budaya negeri Pahang, malah menjadikan Zapin Raub sebagai salah satu warisan seni yang penting untuk dipelihara dan dipromosikan hingga ke hari ini.
Zapin Raub bukan sekadar sebuah bentuk tarian tradisional, malah merupakan wahana penting dalam kehidupan sosial dan budaya masyarakat Melayu di negeri Pahang, khususnya di Daerah Raub. Pada asasnya, fungsi utama tarian ini adalah sebagai hiburan rakyat, khususnya dalam majlis-majlis keramaian seperti kenduri kampung, perkahwinan, cukur jambul, dan khatam al-Quran. Dalam konteks ini, Zapin Raub berperanan sebagai satu bentuk persembahan sosial yang menggalakkan interaksi mesra serta memperkukuh semangat muhibah dalam kalangan penduduk. Persembahan zapin ini juga berfungsi sebagai lambang penghormatan kepada tetamu yang hadir, sesuai dengan budaya Melayu yang menekankan nilai kesantunan dan adab menerima kunjungan.
Selain daripada fungsi hiburan, Zapin Raub turut memainkan peranan penting sebagai medium pendidikan rohani dan moral. Ini dapat dilihat melalui lirik-lirik lagu zapin yang sering kali mengandungi elemen nasihat, sindiran halus, dan ajaran Islam. Dengan cara ini, tarian ini menyampaikan mesej etika secara tidak langsung kepada penonton dan penari, menjadikan ia satu bentuk dakwah yang berkesan dalam masyarakat tradisional. Gerak tari yang penuh tertib dan sopan juga mencerminkan nilai-nilai murni yang menjadi tunjang dalam budaya Melayu. Justeru, tarian ini menjadi alat pembentukan jati diri dan pengukuhan nilai budaya, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang terlibat dalam latihan dan persembahan zapin.
Pada peringkat awal kemunculannya, penari lelaki hanya mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga yang ringkas bersama songkok sebagai pelengkap penampilan. Namun begitu, seiring dengan peredaran masa dan pengaruh gaya semasa, penampilan penari lelaki kini lebih bervariasi dengan penggunaan Baju Melayu Cekak Musang yang mempunyai kolar bertulang, dipadankan bersama kain samping tenunan atau songket yang dililit kemas di pinggang. Songkok berwarna gelap masih kekal sebagai penutup kepala utama, manakala sesetengah penari turut menyempurnakan busana mereka dengan bengkung yang disematkan pending sebagai simbol keanggunan dan kekemasan busana tradisional.
Bagi penari wanita pula, mereka mengenakan Baju Kurung Teluk Belanga yang mempunyai potongan longgar, labuh dan sopan, selaras dengan nilai kesopanan dalam budaya Melayu. Busana wanita biasanya diperbuat daripada fabrik polos atau bermotif halus, dipadankan bersama kain sarung yang dililit rapi di pinggang. Untuk menambah keindahan penampilan, penari wanita turut memakai aksesori seperti selendang yang dililit di kepala atau disematkan di bahu, selain dihiasi dengan rantai dokoh, kerongsang dan subang sebagai penyeri tambahan.
Tarian Zapin Raub diiringi oleh satu set alat muzik tradisional yang mencerminkan gabungan unsur warisan Melayu dan pengaruh Timur Tengah. Setiap alat muzik yang digunakan memainkan peranan tersendiri dalam menghasilkan irama, melodi, dan suasana persembahan yang harmoni dan bertenaga.
Gambus
Merupakan alat muzik utama dalam ensembel zapin. Ia adalah sejenis alat muzik petik yang berbentuk seakan oud Arab dengan leher pendek dan badan bulat. Gambus berperanan menghasilkan melodi utama dan sering dimainkan secara solo pada permulaan persembahan sebagai pembukaan yang dikenali sebagai taqsim. Kehadiran gambus menunjukkan pengaruh Islam dan Timur Tengah yang dibawa masuk ke Alam Melayu sejak abad ke-15.
Marwas
Marwas atau dikenali juga sebagai marawis, ialah sepasang gendang kecil berbentuk silinder dan dimainkan dengan tangan. Alat ini berfungsi sebagai asas ritma utama dalam tarian zapin. Dentuman marwas yang dimainkan dalam pola bertingkah memberikan kelajuan dan ritma yang konsisten untuk pergerakan tarian.
Gendang
Digunakan untuk memperkukuh struktur ritma. Ia berbentuk lebih besar daripada marwas dan menghasilkan bunyi yang lebih dalam dan berat. Dalam konteks Zapin Raub, gendang memainkan peranan penting dalam memberikan tenaga dan semangat kepada penari, terutamanya semasa perubahan fasa dalam gerakan.
Rebana
Alat muzik ini turut dikenali dengan nama ‘Tamburin Melayu’ pula menambahkan lapisan bunyi perkusif yang lebih lembut dan mengisi ruang antara pukulan marwas dan gendang. Ia memberikan variasi tekstur bunyi dan membantu menyempurnakan rentak zapin yang dinamik.
Biola
Alat muzik adalah antara alat muzik yang dipengaruhi oleh Barat tetapi telah diadaptasi secara kreatif dalam persembahan zapin. Ia menghasilkan melodi sokongan dan improvisasi yang memberikan warna bunyi yang lebih kaya, serta menjalin harmoni dengan gambus dan harmonium.
Harmonium / Akordion
Sejenis alat muzik papan kekunci yang berfungsi dengan aliran angin, digunakan untuk menyokong melodi dan vokal. Ia menghasilkan kord dan latar muzik yang stabil, sekaligus memperkukuh susunan lagu zapin. Harmonium sering diganti atau digandingkan dengan akordion, satu lagi alat muzik berunsur Barat yang memainkan fungsi serupa tetapi dengan nuansa bunyi yang berbeza.
Gong
Alat muzik logam berbentuk bulat yang digantung, digunakan untuk menandakan perubahan segmen dalam persembahan atau menekankan detik klimaks. Bunyi gong yang bergema kuat memberikan kesan dramatik dan menambah dimensi ruang dalam suasana pentas.
Gabungan kesemua alat muzik ini mewujudkan lapisan bunyi yang lengkap, dari bunyi pukulan, petikan, hinggalah melodi dan iringan harmoni.
Pelaksanaan persembahan Zapin Raub memerlukan perancangan yang rapi daripada segi latihan gerak tari, susunan muzik serta penyelarasan antara penari dan pemuzik. Sebelum sesuatu persembahan diadakan, para penari akan menjalani sesi latihan intensif bagi menguasai sembilan langkah asas gerak tari yang menjadi teras utama persembahan. Setiap langkah dalam tarian ini mempunyai maksud tersendiri dan disusun secara sistematik bagi melahirkan keindahan gerakan yang harmoni serta tertib.
Sembilan langkah utama dalam gerak tari Zapin Raub tersebut ialah sembah tamu, langkah asas, hormat tamu, teng-teng, bunga-bunga, sendeng memikat, acah-acah, ragam tak jadi, dan tahtom/wainab. Persembahan biasanya dimulakan dengan gerakan sembah tamu sebagai tanda penghormatan kepada penonton dan tetamu kehormat Seterusnya, gerakan langkah asas dan hormat tamu memperlihatkan keindahan ayunan kaki dan tangan secara lembut serta seimbang. Gerakan seperti teng-teng, bunga-bunga dan sendeng memikat pula memberikan variasi pergerakan yang menarik dan berseni, manakala acah-acah serta ragam tak jadi memperlihatkan kreativiti serta keunikan formasi dalam persembahan. Persembahan biasanya diakhiri dengan gerakan tahtom/wainab yang menjadi penutup kepada keseluruhan rutin persembahan zapin ini.
Dari sudut muzik iringan, lagu-lagu tradisional seperti "Lanchang Kuning" dan "Anak Ayam" merupakan antara lagu yang sering digunakan sewaktu persembahan Zapin Raub pada zaman dahulu. Lagu-lagu ini dimainkan secara berulang dengan tempo sederhana agar selari dengan kelembutan dan keindahan gerak tari yang dipersembahkan. Melodi lagu yang dimainkan juga sering mengandungi elemen-elemen pengajaran, sindiran halus dan nasihat yang disampaikan secara santai, menjadikan persembahan zapin sebagai satu bentuk seni yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik. Berikut adalah lirik lagu Lanchang Kuning dan Anak Ayam
Lirik Lagu Lanchang Kuning
Lancang Kuning, Lancang Kuning,
Belayar malam hai belayar malam,
Lancang Kuning, Lancang Kuning,
Belayar malam hai belayar malam,
Haluan menuju, haluan menuju ke laut dalam,
Haluan menuju, haluan menuju ke laut dalam,
Lancang Kuning belayar malam,
Lancang Kuning belayar malam,
Kalau nakhoda, kalau nakhoda,
kuranglah faham hai kuranglah faham,,
Kalau nakhoda, kalau nakhoda
kuranglah faham hai kuranglah faham,
Alamatlah kapal, alamatlah kapal akan tenggelam
alamatlah kapal, alamatlah kapal akan tenggelam
Lancang kuning belayar malam
Lancang kuning belayar malam
Lancang kuning, Lancang kuning,
menentang badai hai menentang badai
Lancang kuning, Lancang kuning,
menentang badai hai menentang badai
Tali kemudi, tali kemudi berpilin tiga
Tali kemudi tali kemudi berpilin tiga
Lancang kuning belayar malam
Lancang kuning belayar malam
Lirik Lagu "Anak Ayam"
Anaklah ayam, anak ayam turun sepuluh
Mati seekor, mati seekor tinggal sembilan
Mari belajar, mari belajar bersungguh-sungguh
Supaya kita, supaya kita tidak ketinggalan
Anaklah ayam, anak ayam turun sembilan
Mati seekor, mati seekor disambar helang
Kalaulah kita, kalaulah kita dah ketinggalan
Ilmu tak ada, ilmu tak ada kawan pun kurang
Anaklah ayam, anak ayam turunlah lapan
Mati seekor, mati seekor ditangkap musang
Tiada ilmu, tiada ilmu tiada kawan
Hidup merana, hidup merana ditimpa malang
Kedua-dua lagu ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh naratif dan emosi dalam persembahan Zapin Raub, sekaligus mengekalkan warisan budaya zapin yang kaya dan bermakna.
Encik Hamzah bin Alias (Tok Mezah). No. D12 Felda Tersang 2, Raub, Pahang.
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Koleksi Negeri Pahang. (2007). Zapin Raub. Pahang: Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang.
Muhammad Zharif Azzuddin bin Mohd Tahir. (2016/2017). Zapin Durian Sebatang ke Zapin Raub sebuah invensi tradisi. Pusat Kebudayaan Universiti Malaya.
Mohd Anis Md Nor. (1993). Zapin: Folk Dance of the Malay World. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Ghouse Nasuruddin. (2003). The Malay Performing Arts: Traditional to Contemporary. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Matusky, P., & Tan, S. B. (2004). The Music of Malaysia: The Classical, Folk, and Syncretic Traditions. Aldershot: Ashgate Publishing.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Encik Hamzah bin Alias (Tok Mezah). No. D12 Felda Tersang 2, Raub, Pahang.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Norazlina binti Othman
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor
Aras 6 Kiri, Wisma PERKESO
No 26, Jalan Susur 5
Off Jalan Tun Abdul Razak, Larkin
80200 Johor Bahru
JOHOR DARUL TAKZIM
07-224 8270 / 223 1249