Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
ALANG RA ILLAU
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
7
Video
tiada
Pelawat Hari ini
6
Jumlah Pelawat
94
Pengenalan dan sejarah
Alang Ra Illau adalah tarian tradisional etnik Murut dari suku Tahol yang kebanyakannya menetap di daerah Nabawan, Pensiangan dan Tenom. ‘Alang’ membawa maksud ‘menari’ manakala ‘Illau’ adalah ‘upacara pertukaran hasil-hasil hutan seperti buah-buahan, antara kampung.’ Sehubungan itu, tarian ini mempamerkan gerak seolah-olah mengutip buah-buahan yang renek dan senang dicapai. Kadangkala penari wanita membawa bakul atau ‘Basung’ dalam bahasa tempatan, yang disandang ke belakang untuk diisi dengan buah-buahan yang telah dikutip. Kemudian buah-buahan tersebut akan ditukar dengan penduduk kampung atau kampung-kampung yang lain.
Tarian ini secara khusus dipersembahkan untuk majlis keramaian seperti dalam sambutan pesta Kaamatan, pesta Kalimaran, majis perkahwinan atau apa saja jenis sambutan yang ada. Hal ini kerana, tarian ini berperanan sebagai persembahan hiburan yang dapat memeriahkan majlis.
Penari lelaki akan mengenakan busana yang diperbuat daripada kulit kayu yang didapati daripada pokok Aputul (Artocarpus Kunstleri). Baju lelaki diberikan nama ‘Babaru puputul’ iaitu jaket kulit kayu tanpa lengan dan dipadangkan dengan seluar cawat yang dikenali sebagai ‘Avah Puputul’. Aksesori kepala akan menggunakan topi yang diberikan nama ‘Lalandau’ yang dihiasi dengan bulu burung Sewah Tahu atau dalam bahasa tempat masyarakat etnik murut dikenali bulu ‘Tuwou’. Bagi menambah kemasan pada bahagian kepala, Lalandau akan diikat menggunakan kain sulam untuk mengetatkan dan mengukuhkan kedudukannya agar tidak mudah jatuh ketika menari.
Aksesori pada bahagian kaki dan tangan penari lelaki hanyalah menggunakan ‘Holong’ yang diperbuat daripada kain berjuntai berwarna kuning dan hitam. Ketika melakukan persembahan, penari lelaki kebiasaanya akan menggunakan props berupa parang yang dikenali sebagai ‘Hayang’ dan perisai kayu yang dikenali dengan nama ‘Kolid’. Kadangkala ada Hayang boleh digantikan dengan lembing atau dalam bahasa Murut disebut ‘Tandus’. Penggunaan props ini memberikan aura kepahlawanan lelaki Murut yang memberikan simbolik kegagahan yang berjaya menakluk musuh lawan.
Bagi penari wanita, persalinannya dikenali sebagai ‘Simba’ iaitu jenis baju berkemban menggunakan kain berwarna merah dan dipadankan dengan skirt panjang berwarna hitam, sarat dengan manik-manik pelbagai motif. Persalinan ini dihiasi dengan aksesori pinggang (tali pinggang) bernama ‘Pipirot’. Ia terbahagi kepada dua jenis, jika diperbuat daripada manik dengan lebar yang lebih besar ia disebut ‘Pipirot’, jika diperbuat daripada besi atau kepingan perak berbentuk syiling, ia dipanggi sebagai ‘Pipirot Linggit’.
Bagi menambahkan aura rias penari wanita, aksesori kepala terdiri daripada beberapa perhiasan iaitu, ‘Salupai’ sejenis hiasan kepala yang diperbuat daripada manik. Salupai akan diikat pada dahi penari wanita dan belakangnya akan diletakkan hiasan cucuk sanggul berjuntai yang diberikan nama ‘Sinikot’. Setelah itu, hiasan bulu Tuwou akan dipasakkan pada sanggulan rambut penari tersebut. Selain itu, ‘Sisingan’ atau anting-anting manik yang berbentuk juntaian akan dipakaikan. Selalunya anting-anting manik ini dipadankan dengan pemakaian rantai leher dikenali sebagai ‘Rarangkol’ yang terdiri daripada beberapa jenis manik seperti ‘Bungkas’, ‘Kotos’, ‘Aki’ Pangungupu’, ‘Bulul’ atau ‘Olod’. Sama dengan penari lelaki, penari wanita juga akan memakai hiasan gelang tangan Holong, cuma bezanya gelang tangan untuk wanita dikenali dengan nama ‘Holong Solod’ yang diperbuat sepenuhnya daripada manik.
Ensembel muzik yang mengiringi tarian ini adalah Gong yang terdiri daripada 9 biji. Ia terbahagi kepada enam jenis iaitu ‘Jojolon/Utaatangan’, ‘Alipangon’, ‘Tingkaraan’, ‘Lubukon’, ‘Kutambuon’ dan ‘Taubon’. Lazimnya Gong Alipangon adalah sebanyak empat biji dan saiznya adalah sama berbanding gong lain yang berbeza-beza setiap satunya. Paduan bunyi gong ini mengiringi persembahan Alang Ra Illau mengikut ritma dan tempo yang perlahan sehinggalah kepada tempo yang lebih laju.
Tarian yang diringi paluan gong ini, pada kebiasaanya ditarikan beramai-ramai dan tidak terikat kepada jumlah penari lelaki ataupun wanita, malah boleh juga secara berpasangan. Tumpuan gerak adalah berfokus kepada permainan tangan di mana penari lelaki akan mengguakkan tangan dengan luas secara mendatar separas bawah dada. Sementara penari wanita pula akan mengangkat tangan pada posisi siku yang dibuka mendada dengan tangan yang menegak ke atas. Jari akan digulung atau dipusingkan setempat bagi perempuan, sementara lelaki membuat genggaman tak sudah.
Suhaimi Magi. (61 tahun). Kampung Ulu Tomani, 89907 Tenom, Sabah
Mestrah binti Lauk. (33 tahun). Kampung Sapulut, Pensiangan 89950 Nabawan, Sabah.
Nor Syafiqah Yahya. (29 tahun). Persatuan Seni tari Keningau, 89900 Keningau, Sabah. 8 Oktober 2024.
Sumber Rujukan
Humin Jusilin. (2019). Warisan busana Murut. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jennery Main & Muhammad Fazli Taib Saearani. Tarian Alang Sinsiron Etnik Murut Tahol dalam Bentuk Persembahan Pentas. Dalam Hafzan Zannie Hamza, Lena Farida Hussain Chin, Muchammad Bayu Tejo Sampurno (Eds.). Prosiding Seminar Seni Persembahan 2024. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Kitingan, J., P. (2012). Murut. Dalam Kntayya Mariappan. (Ed). Siri etnik Sabah ITBM-UMS: MURUT dan pelbagai etnik lain di sabah. Institut Terjemahan Buku Malaysia
On, L. K., Magi, S., Hussin, S., Shafii, A. S. H., & Bakhir, N. M. (2018). The healing ritual context of the Magunatip Dance of the Murut in Sabah, Malaysia. Advanced Science Letters, 24(7), 4798–4801. https://doi.org/10.1166/asl.2018.11203
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Hassanal Redzuan
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!