Gambar

1

Video

tiada

Pelawat Hari ini

1

Jumlah Pelawat

102

Pengenalan dan sejarah

Ketupat Palas adalah makanan tradisional masyarakat Melayu di utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia yang masih popular sehingga hari ini terutamanya di Perlis. Ketupat sering dihidang ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Pun demikian, di Perlis serta negeri-negeri utara tanah air, ketupat turut dijual di pasar-pasar pagi untuk sarapan. Sajian ini menggunakan beras pulut yang dibalut rapi dengan daun palas berbentuk segi tiga. Ketupat palas negeri Perlis turut dipanggil ketupat lemak, tidak seperti di Kelantan yang disebut ketupat manis. Ketupat palas boleh dibuat kosong ataupun berinti, seperti ketupat inti kacang merah, jagung dan lain-lain lagi mengikut cita rasa. Makanan tradisi ini dihidangkan bersama rendang ayam, rendang daging ataupun serunding.

Makanan tradisi ini dikenali sebagai ketupat palas kerana bahagian luarnya dibungkus dengan daun palas yang diambil daripada pokok palas. Dalam pembuatan ketupat palas, beras pulut ini dimasukkan ke dalam kelongsong daun ketupat yang telah dianyam sebelum direbus di dalam air panas. Pembuatan ketupat palas merupakan satu kesenian nenek moyang yang perlu dipelihara kerana ia memerlukan kemahiran dan ketelitian dalam pembuatan kelongsong ketupat. 

Satu fakta dan perkara menarik tentang ketupat palas, makanan tradisional Melayu ini merupakan antara makanan Melayu tertua dan dikatakan sudah tersurat dalam catatan sejarah seawal tahun 691 Masihi. Cerita tentang ketupat turut terkandung dalam Hikayat Inderaputra. Jabatan Warisan Negara Malaysia telah memberikan pengiktirafan terhadap ketupat palas dengan mewartakan makanan Ketupat Palas Warisan Melayu 117 Tradisional ini sebagai salah satu makanan tradisi warisan Melayu (Department of National Heritage 2018). 
Di Perlis, bijaknya masyarakat Melayu tradisi, selain ketupat palas, daun tersebut turut dijadikan wau daun palas. Demikianlah kearifan lokal Melayu yang perlu dibanggakan!

Fungsi dan Peranan

- Juadah pada hari perayaan

- Juadah sarapan pagi

- Menunjukkan kearifan dan kebijaksanaan lokal Melayu dalam anyaman, mencipta kulinari malah penciptaan wau sebagai alat permainan yang diwarisi masyarakat Melayu


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Daun palas

1 kg beras pulut 

400 ml santan pekat

1½ sudu besar garam halus

1 sudu besar gula

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

- Beras pulut dibasuh dan rendam selama 1½ jam atau 2 jam.

- Campurkan garam dan gula dalam santan, kacau sebati dan ketepikan.

- Tanak beras pulut kemudian arung atau adun dengan santan kelapa yang telah diketepikan tadi.

- Setelah diarung dan pulut sudah sebati dengan santan, pulut dimasukkan dalam kelongsong daun palas secara padat dalam bentuk tiga segi, lalundiikat ketat pada tangkainya bagi memastikan ketupat nanti kekal dalam bentuknya.

- Daun palas yang digunakan untuk membungkus ketupat ini terlebih dahulu perlu dipilih,  dibuka, dilurut serta digulung lalu dikeringkan bagi memudahkan proses membuat kelongsong.

- Kemudian, ketupat direbus atau dikukus dalam tempoh beberapa jam bagi membuang kandungan air serta minyak di dalam pulut. Kaedah ini juga bertujuan mematangkan pulut dan membuatkan ketupat bertahan daripada basi dalam tempoh beberapa hari.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

http://web.usm.my/km/38(2)2020/km38022020_5.pdf

2020. Norlyiana Samsuri. Ketupat Palas Sebagai Satu Warisan Tradisi Melayu: Penilaian Melalui Pendekatan Visualisasi Dalam Kalangan Pelajar Universiti Berbangsa Melayu. Universiti Sains Malaysia.


Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Siti Rohayu binti Muhamad

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis
Kompleks JKKN Perlis Persiaran Wawasan Kangar 01000 Kangar PERLIS

019-504 0015

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!