TARIAN CINTA SAYANG

Seni Persembahan >Tarian

Gambar

13

Video

ada

Pelawat Hari ini

8

Jumlah Pelawat

2422

Pengenalan dan sejarah

Tarian Cinta Sayang merupakan salah satu tarian tradisional yang terkenal di

negeri Kedah dan turut dikenali di beberapa negeri utara Semenanjung Malaysia.

Tarian ini sering dipersembahkan dalam majlis-majlis keramaian dan perayaan

sebagai satu bentuk hiburan rakyat yang mencerminkan kelembutan budaya serta

nilai kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.


Dari segi sejarahnya, Tarian Cinta Sayang dipercayai berasal daripada satu bentuk

tarian asli yang dikenali sebagai “Zikir Rahmat”. Asal-usulnya dikaitkan dengan

kehidupan masyarakat nelayan di pesisir pantai, khususnya di Kedah. Tarian ini

menggambarkan suasana penuh emosi apabila ahli keluarga, khususnya para

isteri, menghantar para nelayan ke laut untuk mencari rezeki. Ia menjadi simbol

perpisahan sementara yang diselubungi dengan doa, harapan dan kasih sayang

yang mendalam.


Dalam tradisi tersebut, para nelayan mendoakan keselamatan keluarga yang

ditinggalkan, manakala ahli keluarga pula memohon agar perjalanan dan usaha

mencari rezeki mereka dilindungi dan diberkati. Justeru, gerakan dalam tarian ini bukan sahaja bersifat estetik, tetapi turut sarat dengan makna simbolik yang

menggambarkan hubungan erat antara ahli keluarga, doa, dan harapan dalam

menghadapi kehidupan yang penuh cabaran.


Fungsi dan Peranan

Tarian Cinta Sayang lazimnya dipersembahkan dalam pelbagai majlis keraian,

terutamanya dalam majlis perkahwinan, sambutan diraja, serta majlis-majlis rasmi

peringkat negeri. Tarian ini berperanan sebagai bentuk hiburan umum yang

mempamerkan kelembutan, kehalusan budaya, dan keindahan gerak tari

masyarakat Melayu di negeri Kedah.

Pada masa kini, fungsi tarian Cinta Sayang telah diperluaskan dan peranan dalam

konteks yang lebih moden dan terbuka. Ia sering dipersembahkan dalam program

kebudayaan peringkat kebangsaan, pertandingan tarian tradisional, serta sebagai

elemen pendidikan dalam kurikulum seni persembahan di sekolah dan institusi

pengajian tinggi oleh institusi-institusi budaya. Tarian ini juga menjadi satu bentuk

diplomasi budaya, yang diketengahkan dalam acara-acara antarabangsa bagi

memperkenalkan warisan seni Melayu kepada khalayak global.

Busana/ Aksesori

Busana dan aksesori yang digunakan dalam persembahan Tarian Cinta Sayang

memainkan peranan penting dalam memperkuat identiti budaya dan nilai estetika

persembahan. Penari wanita lazimnya mengenakan baju kurung Kedah ataupun

baju kurung longgar yang dipadankan dengan sarung songket. Manakala aksesori

tradisional seperti kerongsang, gelang tangan, dan selendang panjang digunakan

untuk melengkapkan penampilan. Selendang ini bukan sekadar hiasan, tetapi turut

dimanfaatkan sebagai props persembahaan dalam gerakan tarian untuk

menyerlahkan kelembutan dan keindahan alunan tari, yang melambangkan

kesopanan dan kelembutan wanita Melayu.

Selain itu, aksesori tambahan seperti tanduk, cincin, dan hiasan rambut turut

dikenakan oleh penari bagi memperkayakan dimensi visual persembahan. Hiasan

rambut, yang biasanya terdiri daripada bunga melati atau bunga-bunga tempatan,

disusun dengan teliti dan kemas. Namun begitu, terdapat juga penari yang menggunakan cucuk Sanggul sebagai hiasan tambahan.


Seiring perkembangan dan penyesuaian terhadap konteks persembahan moden,

busana Tarian Cinta Sayang kini telah mengalami perubahan untuk memenuhi

konsep persembahan pentas, khususnya dalam konteks komersial. Sebagai

contoh, busana penari lelaki sering diubah suai untuk menyerlahkan identiti

pahlawan. Penampilan ini melibatkan baju Melayu cekak musang atau teluk

belanga, seluar panjang, dan samping "Dagang Luar" dengan ikatan khas seperti

"Ikatan Pancung" untuk golongan bangsawan dan "Ikatan Kembung" yang

biasanya dipakai oleh hulubalang, pembesar, atau mempelai pengantin lelaki.

Aksesori kepala pula masih menggunakan Songkok untuk mengekalkan identiti

tarian ini ataupun dipadangkan dengan pemakaian tanjak.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Tarian Cinta Sayang diiringi oleh susunan muzik tradisional yang memperindah

suasana gemalai dan romantis dalam persembahan. Antara alat muzik utama

yang digunakan termasuk dua gendang panjang iaitu Gendang Pengibu yang

memainkan rentak utama, manakala Gendang Penganak mengisi rentak balasan

dan pelengkap. Selain itu, seorang pemain gong akan memainkan dua biji gong yang dikenali sebagai Gong Jantan dan Gong Betina bagi menambah tekanan

ritma dan dinamika bunyi. Melodi utama pula diperindah dengan alunan akordion

dan biola yang menghasilkan bunyi merdu, lembut, serta melankolik, selari dengan

tema kasih sayang dan kerinduan yang menjadi inti tarian ini.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Tarian Cinta Sayang dipersembahkan secara berpasangan antara penari lelaki dan

wanita, dengan jumlah pasangan biasanya antara dua hingga lapan bergantung

kepada keperluan persembahan. Antara ragam gerak utama yang ditampilkan

termasuk:


1. Lenggok Santun

Penari menggerakkan tubuh dan mengayunkan kedua-dua tangan ke arah

kanan, kiri, hadapan dan belakang secara perlahan dan berirama. Gerakan

ini diaplikasikan oleh kedua-dua penari lelaki dan wanita, namun terdapat

perbezaan dalam cara pembukaan tangan. Penari lelaki lazimnya

membuka tangan sehingga paras pinggang sambil mendada melihat wajah

penari wanita. Manakala penari wanita mengekalkan keanggunan dan

kesopanan dengan bukaan tangan yang lebih kecil.


2. Bunga Sudi

Gerakan membuka tangan ke sisi secara bersilang ganti sambil

melentikkan pergelangan tangan ke atas.


3. Lambung Angin

Kedua tapak tangan dibuka luas dan diangkat ke atas, seolah-olah

melambungkan angin dengan gerakan yang lembut


4. Ayun Selendang

Penari wanita akan bergerak setempat sambil memegang hujung

selendang dengan kedua-dua tangan. Selendang dihayun perlahan ke sisi

mengikut irama muzik yang dimainkan. Ketika menuju posisi gerak duduk,

penari wanita akan melepaskan hujung selendang tersebut dan

memfokuskan gerakan


5. Gerak Silat

Penari lelaki pula mempersembahkan unsur gerak silat secara bersahaja,

menonjolkan keperkasaan lelaki Melayu.

Tokoh dan Pencapaian

a) Nama Informan: Encik Wan Mohd Nor bin Wan Alam

b) Alamat: Taman Malaysia, Alor Setar, Kedah

c) Nombor Telefon: 012-5454549

Sumber Rujukan

i. Bahan Bacaan

Abdullah, W. M. A. W. (2015). Seni Tari Tradisional Malaysia. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ariffin, J. (2010). Warisan Seni Tari Melayu: Antara Tradisi dan Modenisasi.

Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia.


Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). (2018). Cinta Sayang:

Tarian Tradisional Negeri Kedah. Kuala Lumpur: JKKN.

Ismail, N. (2017). The Preservation of Malay Traditional Dance in Malaysia:

A Case Study of Cinta Sayang Dance. Journal of Performing Arts Studies,

3(2), 45-56.

Mohd Nasir, H. (2004). Estetika dalam Tari Tradisional Melayu. Kuala

Lumpur: Universiti Malaya Press.

Mohd Yusof, N. (2019). Cultural Significance of Traditional Malay Dances in

Malaysia. International Journal of Cultural Studies, 12(1), 22-30.


ii. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Wan Mohd Nor bin Wan Alam. Taman Malaysia, Alor Setar, Kedah.

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Mohammad Salleh bin Mahmud

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah
Kompleks JKKN Kedah Lot PTD 400, Pumpong 05250 Alor Setar KEDAH DARUL AMAN

011-10899646

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!