Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
ADAT BERKHATAN ORANG ASLI KAUM JAHUT
Adat Resam
Gambar
19
Video
ada
Pelawat Hari ini
2
Jumlah Pelawat
27
Pengenalan dan sejarah
Adat berkhatan merupakan salah satu upacara penting dalam kehidupan masyarakat Orang Asli Jahut yang mendiami kawasan pedalaman negeri Pahang, khususnya di daerah Jerantut, Temerloh, dan Lipis. Kaum Jahut merupakan salah satu sub-kumpulan daripada masyarakat Orang Asli Proto-Melayu (Senoi-Prak), yang mewarisi tradisi serta adat resam yang kaya dengan unsur spiritual, sosial, dan budaya dalam pelbagai fasa kehidupan mereka.
Dari segi etimologi, istilah Jahut berasal daripada dua perkataan: "Jah" yang bermaksud orang, manakala "Hut" membawa maksud hutan. Gabungan kedua-duanya membentuk makna "orang hutan", yang merujuk kepada kehidupan awal mereka yang sangat bergantung kepada hasil hutan dan alam semulajadi. Bahasa pertuturan mereka dikenali sebagai Bahasa Jahut, yang tergolong dalam keluarga bahasa Mon-Khmer, satu cabang utama dalam rumpun bahasa Austro-Asia. Walau bagaimanapun, dalam perkembangan semasa, bahasa Jahut telah banyak menyerap kosa kata daripada bahasa Melayu, termasuk loghat-loghat tempatan seperti Kerdau, Krau, Ketiar Krau (Terengganu), Kuala Tembeling, Pulau Guai, Ulu Ceres (Cheras), dan Ulu Tembeling.
Pada masa dahulu, masyarakat Jahut menjalani kehidupan secara nomad, berpindah-randah mengikut sumber makanan dan keperluan semulajadi. Namun, seiring dengan perkembangan zaman, mereka kini telah menetap secara tetap di perkampungan tetap serta membina rumah sebagai tempat berlindung. Di Temerloh, mereka menetap di beberapa buah kampung seperti Kampung Pelong, Kampung Paya Mengkuang, Kampung Panderas, Paya Mendoi, Kampung Pasu, Kampung Pian, Kampung Paya Rekoh, Kampung Paya Mendoi, dan Kampung Kuala Terboi. Manakala di Jerantut, mereka mendiami kawasan Sungai Kiol dan Kekwel (Kol).
Dari sudut asal usul, masyarakat Jahut yang menetap di Lembah Krau hari ini sering mengaitkan keturunan mereka dengan orang Minangkabau dari Pagar Ruyung. Menurut sejarah lisan masyarakat Jahut, nenek moyang mereka telah melarikan diri dari Pagar Ruyung akibat pemberontakan Rawa pada tahun 1862. Mereka kemudiannya berhijrah ke sekitar Sungai Semantan di bahagian selatan Lembah Krau sebelum berpindah lebih jauh ke Lembah Krau dan kekal menetap di sana hingga ke hari ini. Perpindahan ke kawasan hutan pedalaman ini juga berlaku apabila berlaku kemasukan masyarakat Melayu ke pekan Kuala Krau, menyebabkan mereka memilih untuk tinggal lebih jauh di kawasan pinggir hutan.
Bagi masyarakat Jahut, amalan berkhatan bukan sekadar memenuhi keperluan perubatan, tetapi sarat dengan pengertian pematangan, peralihan status sosial, penyucian diri, serta peneguhan identiti budaya komuniti. Walaupun amalan ini kini dianggap sebagai tradisi penting, sejarah asal-usul pengamalan adat berkhatan dalam kalangan Jahut bermula daripada sebuah kisah unik yang diwarisi secara lisan.
Menurut kisah orang tertua di Kampung Pian, adat berkhatan bermula apabila seorang lelaki dari luar berhijrah ke perkampungan Jahut. Lelaki tersebut malu dipanggil Kulop (gelaran kepada lelaki yang belum bersunat) oleh masyarakat asalnya kerana tidak menjalani proses bersunat. Setelah tinggal di perkampungan Jahut, beliau menuntut ilmu daripada isteri kepada batin Jahut (digelar Batin Perempuan). Setelah beberapa tahun menimba ilmu, beliau berkahwin dengan anak perempuan batin tersebut dan dikurniakan seorang anak lelaki.
Apabila anak lelakinya mencecah usia yang sesuai, lelaki itu memohon keizinan bapa mertuanya untuk melaksanakan upacara berkhatan terhadap anaknya, sejajar dengan amalan kaumnya. Pada peringkat awal, bapa mertuanya agak keberatan kerana bimbang akan risiko kematian akibat komplikasi berkhatan. Namun, setelah dipujuk dan diberi penjelasan mengenai kebaikan amalan tersebut, akhirnya beliau bersetuju untuk mengadakan majlis berkhatan buat pertama kalinya dalam kalangan masyarakat Jahut. Sejak daripada peristiwa itulah, amalan berkhatan diwarisi secara turun-temurun sehingga menjadi sebahagian daripada adat budaya masyarakat Jahut pada hari ini.
Dalam tradisi masyarakat Jahut, berkhatan menandakan peralihan daripada alam kanak-kanak kepada alam remaja atau dewasa. Ia merupakan satu bentuk. Melalui proses ini, seseorang individu secara simbolik meninggalkan status lama sebagai kanak-kanak dan memasuki peringkat kehidupan yang baharu sebagai seorang lelaki remaja/dewasa, di mana mereka dianggap telah bersedia untuk menerima tanggungjawab sosial, mematuhi adat istiadat komuniti, dan memikul peranan sebagai anggota dewasa dalam masyarakat. Upacara ini turut menjadi titik permulaan penerimaan seseorang lelaki dalam kelompok dewasa komuniti, melayakkan mereka untuk terlibat secara lebih aktif dalam kegiatan sosial, ekonomi, dan adat, termasuk penyertaan dalam mesyuarat kampung, gotong-royong, serta urusan perkahwinan kelak.
Selain itu, berkhatan dalam masyarakat Jahut juga berperanan sebagai proses penyucian tubuh dan roh. Mereka mempercayai bahawa sebahagian kekotoran fizikal dan unsur negatif dalam diri manusia akan dibuang melalui proses ini. Sementara itu juga, kebersihan jasmani dipercayai lebih terjamin dan ia dianggap satu bentuk pembersihan rohani agar individu sentiasa dalam keadaan suci dan selamat daripada gangguan makhluk halus atau roh jahat yang sering dikaitkan dengan kepercayaan animisme asal-usul mereka.
Dalam beberapa komuniti Jahut yang telah menerima pengaruh Islam, penyucian diri ini turut dikaitkan dengan tuntutan agama yang mementingkan kebersihan sebagai asas kepada ibadah dan hubungan dengan Tuhan. Bukan itu sahaja, proses berkhatan juga berperanan sebagai latihan mental bagi kanak-kanak lelaki Jahut. Mereka dididik untuk bersabar, berani, dan mengawal emosi ketika menghadapi kesakitan atau ketidakselesaan. Nilai-nilai ini dianggap penting sebagai persediaan awal untuk menjalani kehidupan dewasa yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
Adat ini amat unik kerana kanak-kanak lelaki yang menjalani upacara berkhatan dalam masyarakat Jahut lazimnya mengenakan busana istiadat yang menyerupai pakaian golongan bangsawan atau raja, bagi melambangkan peralihan status mereka dalam masyarakat. Kanak-kanak tersebut akan mengenakan set persalinan raja yang diperbuat daripada kain songket dalam pelbagai warna. Bahagian kepala mereka dihiasi dengan tengkolok yang dilipat kemas, di mana pada tengkolok tersebut turut disematkan kerongsang atau dokoh kecil sebagai hiasan tambahan. Melengkapi set pakaian ini, samping akan dililitkan kemas di bahagian pinggang. Selain itu, selempang turut dikenakan secara bersilang pada kedua-dua bahu.
Sebagai aksesori pelengkap, sebilah keris kecil turut disisipkan. Keris ini bukan sahaja berperanan sebagai elemen hiasan, malah membawa makna simbolik keberanian, kekuatan, dan kematangan yang sedang dilalui oleh kanak-kanak tersebut dalam perjalanannya menuju alam dewasa. Sesetengah keluarga turut menambahkan lagi keindahan busana dengan aksesori tambahan seperti rantai dada atau pending kecil. Busana lengkap ini bukan sahaja memperlihatkan kemeriahan dan keanggunan upacara, malah menggambarkan penghormatan tinggi masyarakat Jahut terhadap adat berkhatan sebagai satu detik penting dalam perjalanan hidup seorang lelaki.
Peralatan Upacara
Dalam pelaksanaan upacara berkhatan masyarakat Jahut, pelbagai jenis peralatan digunakan yang bukan sahaja berperanan secara praktikal, tetapi turut membawa makna simbolik yang mendalam. Peralatan utama yang digunakan dalam proses berkhatan ialah pisau kecil tradisional yang telah diasah dengan tajam. Pada zaman dahulu, pisau ini diperbuat secara tradisional menggunakan besi tempahan yang dihasilkan oleh tukang tempatan. Namun, seiring dengan perkembangan teknologi dan faktor keselamatan, sesetengah komuniti Jahut kini turut menggunakan peralatan moden yang lebih bersih, selamat, dan menepati piawaian perubatan semasa. Selain daripada pisau, terdapat juga penggunaan tempurung yang berfungsi sebagai penampan, membantu proses pemotongan dilakukan dengan lebih kemas dan tepat.
Bagi mempercepatkan proses penyembuhan selepas berkhatan, masyarakat Jahut menggunakan herba-herba tempatan seperti akar kayu, daun ubatan hutan, serta minyak sapu tradisional. Minyak kelapa, minyak serai, atau ramuan herba tempatan sering digunakan untuk disapu pada luka bagi mempercepatkan proses pemulihan, mengurangkan kesakitan, dan mencegah jangkitan.
Selain peralatan perubatan, beberapa bahan ritual turut digunakan sebelum proses berkhatan bermula. Antara bahan pemujaan yang disediakan termasuklah seeokor ayam jantan, sirih dan pinang yang dijadikan persembahan kepada semangat penjaga kampung sebagai tanda permohonan restu dan perlindungan. Bunga rampai digunakan sebagai simbol penyucian serta ketenangan, manakala beras kunyit melambangkan kesuburan, keberkatan, dan kesejahteraan menurut kepercayaan adat Jahut. Selain itu, sejenis daun khas juga digunakan semasa proses berlangsung, yang dipercayai mampu membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka.
Upacara berkhatan dalam kalangan masyarakat Jahut merupakan salah satu acara adat yang paling besar dan penting dalam kehidupan komuniti ini. Ia bukan sekadar proses fizikal berkhatan, tetapi sarat dengan ritual, adat, pantang larang, dan persiapan rapi yang berlangsung selama beberapa hari. Lazimnya, upacara ini dilaksanakan apabila kanak-kanak lelaki mencecah usia sekitar 12 hingga 13 tahun, sebagai tanda mereka sudah bersedia untuk melalui proses peralihan ke alam remaja dan dewasa.
Persiapan Awal
Persiapan bagi upacara ini biasanya bermula seawal lima hingga enam bulan sebelum majlis dilaksanakan. Semakin ramai kanak-kanak yang terlibat, semakin banyak masa, tenaga, dan kos yang diperlukan untuk menguruskan segala keperluan majlis. Majlis ini lazimnya diadakan secara bergotong-royong, dan ibu bapa peserta akan berkongsi kos perbelanjaan. Dalam komuniti Jahut, upacara bersunat secara berkumpulan ini dikenali sebagai "kejak mengejak", di mana beberapa keluarga bergabung untuk menganjurkannya secara serentak.
Antara individu penting yang terlibat dalam pengurusan majlis ialah Tok Mudim (tukang sunat), Penghulu Balai (penjaga kawasan upacara), Tukang Gelanggang (individu yang mempersembahkan silat pembukaan), Tok Batin (ketua adat), Pengarah Majlis (menguruskan logistik, penyediaan makanan dan aturan acara), serta Pengiring Budak (membawa kanak-kanak ke tempat bersunat sambil membawa tepak sirih).
Hari Pertama: Upacara Pembukaan
Upacara dimulakan dengan Upacara Buka Balai dan Gelanggang, di mana Tukang Gelanggang akan membaca jampi sambil mengelilingi gelanggang. Peserta upacara akan membawa masuk ayam jantan untuk dikorbankan sebagai tanda memohon restu daripada semangat penjaga kampung. Selepas itu, kanak-kanak yang terlibat dalam upacara akan dihias seperti seorang raja dengan memakai busana adat lengkap.
Nama Informan: Encik Ahmad Rizal Bin Fauzi
Alamat: Kampung Orang Asli Pian, Kuala Krau, Temerloh, Pahang
Nombor Telefon: 019-338 9015
Emel: bahwokrizal@gmail.com
Sumber Rujukan
Bahan Bacaan
Harian Metro. (2023, Disember 23). Adat bersunat suku kaum Jahut. https://www.hmetro.com.my/spektrum/2023/12/1045911/adat-bersunat-suku-kaum-jahut
Harian Metro. (2018, November 26). Pinang sebelum berkhatan. https://www.hmetro.com.my/nuansa/2018/11/393208/pinang-sebelum-berkhatan
Jabatan Muzium Malaysia. (n.d.). Seni dan adat berkhatan kaum asli Jah Hut. https://www.jmm.gov.my/ms/seni-adat-berkhatan-kaum-asli-jah-hut
Nor Baiti, M. (2013). Tradisi dan kepercayaan Orang Asli Jah Hut di Kampung Penderas, Temerloh [Laporan Projek Tahun Akhir, Universiti Malaysia Sarawak]. UNIMAS Institutional Repository. https://ir.unimas.my/id/eprint/15625/
Ismail, H., & Sa'ari, C. Z. (2005). Masyarakat Orang Asli dan pembangunan insaniah. Jurnal CITU, 1(2), 67–82.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Puan Norlelah Abd Karim
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pahang
Kompleks JKKN Pahang
Lot 57100, Jalan Teluk Sisek,
25000, Kuantan,
Pahang Darul Makmur
09-517 8466
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!