Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
JIKEY (LANGKAWI)
Seni Persembahan >Teater
Gambar
21
Video
ada
Pelawat Hari ini
1
Jumlah Pelawat
505
Pengenalan dan sejarah
Jikey merupakan salah sebuah teater tradisional
masyarakat Melayu yang sangat popular di negeri-negeri Kedah dan Perlis sekitar
tahun 1960-an dan 1970-an. Jikey juga berkembang di Satun dan Phuket di selatan
Thailand, dan dikenali dengan nama Likey.
Khususnya
di pulau lagenda Langkawi, Jikey menjadi sebuah khazanah seni budaya yang
sangat berharga sejak lebih 400 tahun lalu. Jikey dicatatkan berasal daripada
kisah seorang peniaga India yang menggunakan bakat lakonan untuk menghibur dan
mendapatkan ganjaran daripada raja bagi mendapat kebebasan. Usaha pemuliharaan dan pengekalan perlu dilakukan pada
masa kini supaya Jikey tidak dilupakan.
Persembahan
Jikey menampilkan ciri-ciri hiburan tempatan menerusi gabungan elemen muzik,
nyanyian, tarian, dan lakonan, disulami dialog-dialog lucu. Jikey dianggap
sebagai tradisi rakyat dalam masyarakat tradisional yang dimainkan sama ada
dalam gelanggang yang dibina di atas tanah ataupun di atas pentas. Persembahan
Jikey menampilkan watak-watak seperti Keling India atau Benggali, Minachi, Ah
Seng, Pelawak atau Peran, Raja dan Wira (Putera Raja), dan sebagainya. Antara
tajuk cerita yang dimainkan dalam persembahan Jikey adalah seperti Mahsuri,
Batu Belah Batu Bertangkup, Kisah Puteri Tiga Beradik dan sebagainya.
Pada masa kini, persembahan teater Jikey masih diadakan ketika
berlangsungnya acara rasmi kerajaan dan pihak swasta, khususnya yang berkaitan
dengan program seni budaya dan warisan
Para pelakon
Jikey berbusana sesuai dengan watak masing-masing. Watak Keling India
contohnya, memakai baju singlet putih, kain lilit kepala berwarna merah dan
berkaca mata. Topeng pula digunakan oleh watak Tok Nujum, pelawak, bapa atau
khadam. Sapu tangan turut digunakan oleh watak Raja dan putera-puteri. Prop pemukul
digunakan oleh watak Raja ketika menunjuk arah dan memberi titah. Cermin bulat
sering digunakan oleh Tok Nujum untuk menilik. Peralatan muzik Jikey biasanya
terdiri daripada violin, tiga buah rebana atau gendang pengibu, pengabah dan
penganak, dua hingga lima kecerek (ketuk buluh), serta loceng besi atau
tembaga.
Terdapat dua tokoh Jikey di kawasan Ayer Hangat, Langkawi
yang telah menerima pengiktirafan sebagai Adiguru Jikey oleh Jabatan Kebudayaan
dan Kesenian Negara serta Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Jusoh bin
Chin atau lebih dikenali sebagai “Tok Choh” dilahirkan di Kampung Bukit Nau,
Langkawi. Tok Choh menerima latihan dalam kesenian Jikey sejak beliau berusia
12 tahun daripada seorang lagi tokoh Jikey iaitu Said Ibrahim. Pada masa kini,
Tok Choh masih mampu menceritakan perjalanan hidup beliau bersama beberapa
kumpulan Jikey di Langkawi walaupun usianya sudah lanjut.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Mohammad Salleh bin Mahmud
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah
Kompleks JKKN Kedah
Lot PTD 400, Pumpong
05250 Alor Setar
KEDAH DARUL AMAN
011-10899646
Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!