Gerbang Maklumat Seni Budaya
Selami dunia seni dan budaya yang penuh warna-warni! Dari warisan tradisional hingga karya kontemporari, temui keunikan yang mencerminkan identiti dan jati diri bangsa
IGAL-IGAL
Seni Persembahan >Tarian
Gambar
5
Video
tiada
Pelawat Hari ini
61
Jumlah Pelawat
230
Pengenalan dan sejarah
Igal-igal merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Bajau Laut terutamanya di pantai timur Sabah iaitu Semporna. Kata dasar “Igal” membawa maksud “Tari”, di mana terminologi ini sering dikaitkan dengan sebutan perkataan yang merujuk kepada ‘perbuatan’ tari seperti;
Jadual 1:
Terminologi kata dasar “Igal”
No. |
Sebutan |
Deskripsi |
1)
|
Angigal / Ngigal |
Bermaksud
‘menari’ – ditujukan untuk satu orang. Contoh: “Bai
na ka angigal?” Maksud: “Sudahkah
kau/kamu menari?” |
2)
|
Magigal |
Bermaksud
‘menari’ – ditujukan kepada lebih daripada satu orang Contoh: “Bai
na kam Magigal?” Maksud: “Sudahkah
kamu semua menari?” |
3)
|
Igalan |
Bermaksud
‘tarian’ – ditujukan untuk seseorang atau lebih dari satu orang Maksud: “Cantiknya
tarian mu” Contoh: “Lanuknah
igalan bih” ~ ditujukan kepada lebih daripada satu orang Maksud: “Cantiknya
tarian kamu” |
Igal-Igal sangat signifikan dengan tarian keramaian yang berperanan sebagai hiburan dalam majlis perkahwinan, pertunangan, sambutan pesta budaya (seperti Pesta Regatta Lepa), tarian menyambut tetamu, dan juga acara-acara rasmi. Tarian ini bukan sahaja memeriahkan suasana tetapi turut menonjolkan keunikan budaya masyarakat Bajau kepada khalayak.
Lazimnya, tarian ini memakai persalinan busana tradisional masyarakat Bajau Laut yang memperlihatkan keunikan sendiri kerana ia terkenal dengan identiti manik atau labuci dan kain baldu yang berwarna galak.
Busana penari wanita dikenali sebagai "Badju Ala Bimbang”. Ciri khas baju ini terletak pada hiasan kain manik berlapis yang dijahit dari bahu hingga ke bawah dada. Busana ini biasanya digayakan bersama skirt panjang atau seluar longgar yang menyerupai skirt, dikenali sebagai "Sawwal Kinantiyu." Penampilan penari turut dilengkapkan dengan tali pinggang tradisional yang disebut "Kambot," yang diperbuat daripada kain keras dangan sulaman manik jenis labuci.
Aksesori kepala penari wanita dihiasi dengan hiasan "Gandik" atau "Mahkuta" diikuti dengan aksesori tambahan berupa bunga yang disematkan pada sanggul. Seterusnya, penampilan tersebut dilengkapkan dengan aksesori tangan yang dikenali sebagai "Janggay," iaitu kuku panjang diperbuat daripada suasa berwarna emas atau perak.
Busana lelaki pula dikenali sebagai “Badju Tangguh” atau disebut juga sebagai “Badju Leyang”. Baju ini berbentuk potongan leher cekak musang dan mempunyai belahan pada bahagian tengah yang menampakkan baju lapis pada bahagian dalam penari lelaki. Ia dipadankan dengan seluar panjang jenis ‘Skinny’ yang dikenali sebagai “Sawwal Tanjak”. Penampilan ini diserikan dengan hiasan kain penutup pinggang yang disebut “Kandit”.
Sebagai aksesori untuk lelaki, busana tradisional ini hanya menggunakan tanjak sebagai hiasan kepala yang terbahagi kepada dua jenis. Jika tanjak tersebut dari material kain keras dan ikatannya pada bahagian belakang, ia disebut “Tingkat Tanjak”. Jika tanjak tersebut dari material kain dan ikatannya pada bahagian dahi, maka ia dipanggil “Porong”.
Igal-Igal secara tradisi diringi dengan set ensembel alat muzik yang dikenali sebagai “Tagungguk”. Ensembel ini terdiri daripada alat muzik Agung (Gong), Kulintangan dan Tambul (gendang). Lazimnya, irama yang dimainkan ketika mengiringi persembahan Igal-Igal dinamakan rentak “Titik Tabawan” .
Tarian Igal-Igal boleh dipersembahkan secara individu, berpasangan, atau berkumpulan. Dalam persembahan berpasangan, lazimnya ia melibatkan interaksi antara seorang lelaki dan seorang wanita. Penari lelaki akan menonjolkan gerakan yang mencerminkan kegagahan, manakala penari wanita pula menampilkan gerakan yang penuh kelembutan. Jika ditarikan secara berkumpulan, biasanya melibatkan antara empat (4) hingga lapan (8) pasangan penari.
Secara tradisional, tarian Igal-Igal bersifat fleksibel kerana gerakan yang dipersembahkan adalah improvisasi, bergantung kepada ritma bunyi yang dihasilkan oleh ensembel Tagungguk. Improvisasi ini membolehkan penari menyesuaikan gerakan mengikut suasana persembahan. Dalam persembahan secara berpasangan, penari lelaki dan wanita saling melengkapi gerakan masing-masing untuk menonjolkan harmoni antara tenaga maskulin dan feminiti.
Walaupun begitu, anatomi gerak tubuh dalam tarian ini berfokus kepada tiga (3) elemen utama iaitu gerakan tangan, bahu, dan kaki. Ketiga-tiga elemen ini saling berkait untuk mencipta estetika dan karakter unik dalam persembahan Igal-Igal. Berikut adalah penerangan tentang gerakan asas yang membentuk struktur tarian tradisional ini.
Jadual 1: Anatomi Gerak Tubuh Persembahan Igal-Igal
Gerak Tubuh |
Nama Pergerakan
& Deskripsi |
Tangan |
Pergerakan tangan adalah elemen paling penting dalam
Igal kerana ia menampilkan pola pergerakan yang rumit bagi seorang penari.
Terdapat empat (4) permainan asas tangan dalam Igal iaitu; 1)
Angaleburan Tangan Satu tangan sedikit bengkok ke arah
badan, manakala tangan lain diluruskan tinggi ke sisi. Pergelangan tangan
membuat putaran bulat (dalam atau luar). 2) Amalantik Tangan Jari-jari tangan dilentikkan seboleh
mungkin sambil digerak-gerakkan. Semakin melentik jari penari wanita, maka
semakin cantik tariannya. Begitu juga lelaki, tetapi hujung jari hanya
digerak-gerakkan tanpa perlu melentikkan tangan. 3) Holigai’un Tangan Pergerakan holiga’un tangan merujuk
kepada pergerakan saling berlawanan antara tapak tangan seperti menolak beban
menggunakan tapak tangan. 4) Angalimbayan Tangan Kedua-dua tangan diluruskan ke luar,
melambai perlahan dari kedudukan rendah ke tinggi sisi, dengan jari yang
sedikit melentik dan diberi penekanan apabila mencapai kedudukan tinggi.
Pergerakan ini sering digabungkan pegerakan kaki pada awal mula persembahan. |
Bahu |
Pergerakan bahu dikenali sebagai “Angidjut Baha” atau
“Kidjutan” yang memainkan peranan penting untuk menambahkan keindahan
visual tarian. Bahu digerakkan ke depan dan belakang secara bertentangan,
selari dengan rentak muzik. Walaupun
pergerakan ini tidak dianggap kritikal, tetapi ia dapat meningkatkan estetika
tarian atau disebut “Amalanu’ Igal”
yang bermaksud mencantikkan tarian. |
Kaki |
Pergerakan
kaki dalam Igal-Igal mengandungi dua (2) motif gerak utama iaitu; 1)
Pagginsil Tapek/Naek Pergerakan menggeserkan kaki
menggunakan tumit dan bawa tapak hadapan kaki. Jika kedua-dua tumit ke arah
kanan, maka kedua-dua tapak kaki akan ke arah kiri. Setiap kali menggesar
akan ada enjutan kecil agar memudahkan geseran dibuat. 2) Angengkek-Ngengkek Pergerakan asas di mana satu kaki
dibengkokkan untuk menyokong badan, manakala kaki lain menyentuh lantai
dengan hujung jari kaki atau bola kaki, berhampiran dengan kaki sokongan.
Pergerakan ini serba guna, membolehkan penari bergerak ke depan, belakang,
atau ke sisi. |
En. Azlan bin Marasal, Kampung Bugaya, Jalan SMK Bugaya, 91308 Semporna, Sabah.
En. Datu Sabri bin Datu Alawiddin, Kampung Pinggiran Bakau, Jalan Kampung Perigi 91308 Semporna, Sabah.
En. Mohd Noh bin Abdul Karim, Kampung Bohey Lima, 91308 Semporna, Sabah.
Pn. Marliza binti Marasal, Kampung Bugaya, Jalan SMK Bugaya, 91308 Semporna, Sabah.
Cik Salasiah binti Abd Rani, Kampung Tampi-Tampi, 91308 Semporna, Sabah
Sumber Rujukan
Amsalie, Y., Pisali, A., Zainal, S., Jusilin, H., & Lauk, M. (2017). Persembahan tarian panangsang dalam ritual penyembuhan masyarakat bajau laut. Jurnal Gendang Alam (GA), 7.
Hafzan Zannie, Hamza (2013) Igal:The traditional performing arts of the bajau laut in Semporna, Sabah / Hafzan Zannie Hamza. Masters thesis, University of Malaya.
Santamaria, M. C. M. (2023). Three Categories of Intangible Cultural Heritage and Three Degrees of Importance: The Case of the Sama-Bajau Igal Dance Tradition of Tawi-Tawi Province, Philippines. In Performing Arts Conference: Heritage and Modernity in the Performing Arts (p. 1).
Zainal, S., Rahman, M. K. A., Lazarus, E. M. C. L., Salleh, M. S., Amsalie, Y., Pisali, A., ... & bin Musa, M. N. H. (2021). Kelamat-Keombo’an: Permainan Watak Melalui Penyatuan Elemen Kelima Dalam Persembahan Teater Ritual Igal Etnik Bajau Pantai Timur Sabah: Kelamat-Keombo’an: Role Play Through The Fifth Elemets Unification In Igal Theatre-Ritual Performance Of Sabah East Coast Bajau. Jurnal Gendang Alam (GA), 11(2), 63-84.
Lokasi
Maklumat Perhubungan JKKN Negeri
Encik Hassanal Redzuan
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah
Kompleks JKKN Sabah,
Jalan Tasik off KM4 Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu
SABAH
088-205070