PERAYAAN BHOGI PARCHU SEMPENA PESTA PONGGAL

Perayaan yang disambut dalam kalangan
masyarakat etnik Chetti yang banyak terdapat di Melaka, bagi memperingati nenek moyang yang telah meninggal
dunia. Perayaan ini jatuh pada hari terakhir bulan Maargali dan disambut sehari
sebelum Perayaan Ponggal. Bulan ini berada dalam lingkungan pertengahan bulan
Disember hingga pertengahan Januari dalam kalendar Gregorian. Perayaan Bhogi
Parachu ini biasa disambut bersama dengan ahli keluarga dan sanak saudara.
Antara upacara yang akan diadakan
menjelang perayaan ini adalah Naik Bukit. Dalam upacara ini ahli keluarga dan
sanak saudara akan menziarahi kubur nenek moyang, membersihkan kubur,
menghidangkan makanan kepada nenek moyang mereka serta melakukan upacara
sembahyang, biasanya diadakan pada sebelah pagi beberapa hari sebelum perayaan
ini disambut.
Upacara Bhogi Parchu adalah salah
satu pengisian daripada Perayaan Ponggal. Dalam upacara ini makanan basah dan
kering akan dihidangkan kepada nenek moyang yang telah meninggal dunia.
Persiapan upacara ini dimulakan dengan menghidangkan makanan basah dan beralaskan daun pisang. Makanan ini terdiri
daripada makanan kegemaran nenek moyang ini antara yang biasa dihidangkan
adalah nasi lemak, lauk-lauk seperti kari ayam, sayuran, ayam goreng dan
lain-lain.
Set makanan yang disediakan adalah
dalam bentuk yang ganjil seperti 9, 7 atau 5 set. Kemudian turut dihidangkan
makanan kering seperti kuih-kuih seperti dodol, kuih goyang, kuih bangkit dan
lain-lain.
Selain makanan turut dihidangkan dan dipamerkan adalah minuman, pakaian, peralatan yang menjadi kegemaran nenek moyang. Setelah itu, upacara memanggil atau menyeru nenek moyang yang berbentuk ritual pula diadakan di hadapan rumah. Upacara Bhogi Parchu ini berlangsung untuk tempoh tertentu dalam lingkungan 1-2 jam sebagai simbolik kepada roh nenek moyang yang telah pulang untuk menikmati apa yang mereka gemari sebelum ini seperti makan dan minum, dan aktiviti lain.
Untuk mengetahui upacara ini boleh
ditamatkan atau tidak adalah dengan membaling dua keping wang syiling sekiranya
salah satu wang syiling tersebut terlentang dan terlangkup maka upacara ini
boleh ditamatkan sekiranya sebaliknya upacara ini perlu diteruskan untuk tempoh
10-15 minit lagi kerana dipercayai roh-roh ini masih belum mahu pulang. Bagi
menutup upacara ini buah kelapa akan ditebuk untuk mendapatkan airnya kemudian
airnya akan direnjis-renjis kepada makanan tersebut. Setiap set makanan yang
dihidangkan itu akan ditarik ke tepi dan diperasap kemenyan sebagai tanda
tamatlah upacara ini dan roh nenek moyang akan kembali ke tempat asal mereka.