PERMAINAN BOLA KAKI TIGA ATAU BOLA SELIPAR

Permainan Bola Kaki Tiga atau Bola
Selipar dimainkan secara berkumpulan empat (4) hingga lapan (8) orang pemain.
Sebelum permainan dimulakan, pasukan menaik dan mengejar akan ditentukan.
Pemain pasukan menaik akan menggunakan bola untuk dibaling ke arah tiga (3) belah selipar yang disusun secara berdiri. Salah seorang pemain pasukan akan berdiri di belakang selipar bertujuan untuk menyambut atau mengambil bola. Setiap pemain diberikan tiga (3) peluang balingan. Sekiranya balingan tadi berjaya menjatuhkan selipar maka pemain pasukan mengejar akan berusaha untuk melontar ke arah badan atau anggota badan pasukan menaik. Manakala pasukan menaik akan cuba menegakkan semula selipar yang jatuh tadi sambil mengelakkan diri daripada terkena bahagian badan.
Semasa balingan untuk mematikan (mengalahkan) pasukan menaik, pemain tidak dibenarkan berjalan atau berlari. Sekiranya bola terkena mana-mana bahagian pasukan menaik, ia dianggap mati dan balingan akan dibuat kepada pemain yang masih ‘hidup’. Permainan akan terhenti sekiranya semua pemain pasukan menaik telah terkena lontaran bola dan secara automatik pasukan mengejar tadi akan menjadi pasukan menaik. Sekiranya terdapat pemain pasukan menaik yang berjaya menegak selipar tadi, maka pasukan itu akan meneruskan permainan.
Sumber: Permainan Tradisional Negeri Terengganu, Terbitan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.