BAJU MELAYU TELUK BELANGA JOHOR

Koleksi
foto busana: JKKN Johor
Baju
Melayu Telok Belanga menjadi pakaian tradisi lelaki dari Johor sejak dahulu
lagi. Pakaian ini mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu
Bakar, ketika baginda bersemayam di Telok Belanga, Singapura. Pada masa
pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, Menteri
Besar Johor ketika itu, Dato’ Jaafar bin Haji Muhammad telah mencadangkan mengubah sedikit
bentuk asalnya dengan memendekkan labuh baju hingga ke paras punggung dan
dipasang kocek tiga. Pesak dan kekek pula masih dikekalkan. Leher baju Melayu Telok
Belanga dikemaskan dengan jahitan tulang belut atau dijahit dengan mesin jahit sahaja dan
dipasangkan dengan butang sebutir.
Sehingga
ke hari ini, potongan ini masih sama di mana baju dan seluar lazimnya, dipakai sedondon dari
fabrik berwarna tanpa corak. Namun begitu keistimewaannya ialah, apabila adanya kerabat di-raja Johor yang memakai
baju Melayu Telok Belanga ini tidak sedondon, iaitu baju berwarna yang dipadankan
dengan seluar hitam dan ‘kain sampin berdagang luar’.
Pakaian ini dilengkapkan lagi dengan kain samping songket atau kain tenun corak jalur berdiri, melintang
atau tapak catur. Kain samping dipakai berdagang adalah lazim bagi orang
kebanyakkan. Baju Melayu Telok Belanga dipadankan dengan songkok sebagai
pakaian untuk menutup kepala.
Baju Melayu Telok Belanga juga menjadi pakaian untuk menari zapin dan lain-lain tarian hingga ke hari ini.
Koleksi busana dan teks artikel oleh: Puan Zubaidah Sual