ADAT PERUBATAN TRADISIONAL ROMBAK DAPUR SELEPAS BERSALIN

ADAT PERUBATAN TRADISIONAL ROMBAK DAPUR SELEPAS BERSALIN

Adat Rombak Dapur adalah adat dan amalan pemulihan wanita bersalin sejak turun temurun untuk menjaga kesihatan dan melepaskan ikatan pantang larang sepanjang tempoh berpantang iaitu 40 hari atau 44 hari. Masyarakat memanggilnya sebagai masa berpantang atau berdiang yang membawa maksud tempoh berehat daripada melakukan kerja-kerja harian yang memudaratkan kesihatan ibu tersebut. Tempoh ini juga dapat mendisiplinkan ibu bersalin dengan pengambilan makanan yang baik dan mengurus diri agar terus kekal sihat.

Berdiang atau Menyalai bagi masyarakat Terengganu ialah proses memanaskan tubuh badan, membersihkan darah kotor, melancarkan perjalanan darah dan mengecutkan peranakan. Ibu yang baru bersalin ini berbaring di atas gerai salaian atau tempat tidur yang di bawahnya diletakkan dapur bediang yang apinya daripada kayu dan arang. Kepanasan api ini amat diperlukan bagi memanaskan tubuh serta bertujuan untuk mengecutkan peranakan dan urat serta mengeluarkan darah kotor.

BAHAN-BAHAN YANG DIPERLUKAN

Bahan-bahan untuk upacara ini ialah tepung tawar atau tepung beras, air, limau nipis, benang mentah dan pucuk kelapa atau daun kelapa yang dianyam serta dijampi oleh bidan terlebih dahulu sebelum digunakan. Tepung adalah untuk menawar penyakit yang ada dalam tubuh ibu tersebut. Kesemua bahan ini digunakan untuk memandikan ibu, bayi dan segala peralatan yang digunakan sepanjang berpantang seperti dapur bediang, gerai salaian atau tempat tidur, tungku dan kain bengkung. Manakala dapur dan salaian yang digunakan sepanjang tempoh berdiang akan dirombak.

UPACARA PELEPAS

Proses seterusnya ialah Upacara Pelepas. Bahan-bahan yang digunakan ialah pucuk kelapa atau daun kelapa yang telah dianyam dan benang mentah. Anyaman pucuk kelapa atau daun kelapa diletak di atas kepala ibu dan ditarik diiringi dengan doa dan jampi-jampi tertentu. Seterusnya benang mentah disarung ke kepala ibu hingga ke kaki, kemudiannya dikeluarkan daripada badan ibu. Selesainya upacara ini bermakna berakhirnya ikatan rasmi antara ibu dengan bidan. Mereka telah dilepaskan daripada ikatan berpantang dan telah diberi penawar daripada segala ancaman atau angin jahat.

SIGNIFIKAN ADAT ROMBAK DAPUR

Adat ini dipercayai dapat mengelak ibu tersebut daripada mendapat sakit-sakit badan atau sakit urat dikemudian hari. Turut dipercayai dapat mengelak gangguan unsur-unsur jahat yang ada dalam persekitaran sepanjang tempoh berpantang daripada datang kembali menganggu ibu dan anak. Upacara ini juga memberi peluang secara tidak langsung kepada si ibu untuk menghalalkan segala khidmat bidan sepanjang mengurus tubuh badan si ibu, dan sebagai tanda terima kasih kepada bidan kerana telah mengurus ibu dan anak sepanjang tempoh berpantang.

JANGKAUAN KE HADAPAN

Menurut salah seorang tokoh adat ini iaitu Cik Ngah Nah yang telah melakukan kerja-kerja perbidanan selama 34 tahun, adat ini masih boleh diamalkan walaupun bukan bidan yang menyambut kelahiran bayi dan si ibu tidak berdiang. Sekiranya ibu yang baru bersalin dan keluar dari hospital meminta bidan mengurus ibu tersebut dan bayinya sepanjang tempoh berpantang, secara tidak langsung akan wujud ikatan antara bidan dengan si ibu tadi. Oleh itu, untuk membebaskan ikatan rasmi antara bidan dan ibu tersebut maka upacara rombak dapur atau pelepas ini perlu dilakukan.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu

Kompleks JKKN Terengganu
Kuala Ibai
20400 Kuala Terengganu,

Terengganu