Pesta Magahau

Magahau merupakan perayaan etnik
Rungus yang kebanyakannya bermaustatin di daerah Kudat, Matunggong, Kota Marudu
dan Pitas, Sabah. Masyarakat Rungus lazimnya akan menyambut Magahau apabila
mempunyai makanan yang mencukupi atau berlebihan pada tahun tersebut dan untuk membuat perayaan secara besar-besaran.
Selain itu, Pesta Magahau juga bertujuan untuk berkongsi kegembiraan bersama
sanak saudara dan komuniti kampung-kampung yang berdekatan.
Pesta Magahau juga dilaksanakan apabila terdapat aktiviti ritual seperti Mamapak Mamasi Pomogunan dimana sanak saudara dari kampung lain akan diundang menghadiri pesta tersebut dan dihidangkan makanan hasil daripada korban haiwan ternakan dalam program tersebut. Magahau merupakan perayaan yang bersifat bukan ritual dan diadakan secara berasingan dengan upacara bersifat ritual seperti Mamapak, Lumuvas, Mongulok, Papak Tavasi, Papak Taraat dan seumpamanya. Namun Magahau sering dikaitkan dengan upacara-upacara ritual tersebut. Ini disebabkan suku kaum Rungus zaman dahulu mempunyai kepercayaan bahawa sesuatu perayaan tidak boleh dilakukan tanpa tujuan atau aktiviti yang bersifat ritual. Sehubungan dengan itu semua perayaan Magahau pada masa dahulu mestilah dikaitkan dengan aktiviti ritual. Tanpa aktiviti ritual, kaum Rungus tidak boleh berpesta dan jika ingkar mereka akan diganggu atau mendapat malapetaka daripada roh-roh yang jahat pada ketika itu.
Pada masa dahulu Magahau boleh
diadakan pada bila-bila sahaja dirasakan sesuai dan tidak terikat kepada
mana-mana tarikh atau musim seperti selepas menuai atau tahun baru.
Magahau bolehlah ditakrifkan sebagai
perayaan besar-besaran kaum Rungus yang bertujuan untuk menzahirkan kegembiraan
kerana mendapat rezeki yang berlebihan pada sesuatu ketika dan berkongsi
kegembiran tersebut bersama sanak saudara, masyarakat kampung yang berdekatan
serta orang ramai. Rezeki di dalam konteks Rungus zaman dahulu adalah makanan
yang berlebihan, hasil tanaman yang banyak dan kehidupan yang makmur.
Pada masa kini, Magahau boleh
dilaksanakan tanpa aktiviti ritual. Ini disebab majoriti suku kaum Rungus sudah
memeluk agama Kristian atau Islam dan tidak lagi terikat dengan kepercayaan
lama. Selain itu, pelaksanaan Magahau anjuran SAMORA, Magahau dan Mamapak
adalah dibezakan dan diurus secara berasingan. Magahau diselaraskan oleh
Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) dan Mamapak diurus oleh Rungus yang
masih memegang kepercayaan lama (labus).
Tempat Pelaksanaan: Daerah Kudat, Sabah