Pesta Menuai Kaamatan

Pesta Menuai Kaamatan

Pesta Kaamatan merupakan pesta tradisi sejak turun temurun bagi suku kaum Kadazan-Dusun Sabah bagi mengingati sejarah ‘Bambazon’ iaitu menghormati ‘Semangat Padi’. Pesta ini juga merupakan salah satu pesta paling popular dikalangan penduduk negeri Sabah. Pesta Kaamatan diadakan setiap tahun dan disambut selama sebulan iaitu sepanjang bulan Mei dan kemuncak sambutan pesta ini adalah pada 30 dan 31 Mei setiap tahun.

Terdapat pelbagai acara yang diadakan sempena Pesta Kaamatan iaitu seperti pertandingan tarian Sumazau, pertandingan nyanyian yang disebut sebagai  ‘Sugandoi’, sukan rakyat, pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau dan banyak lagi.

Selain daripada pertandingan-pertandingan diatas terdapat juga acara lain seperti pameran hasil seni dan kraftangan Sabah. Pameran ini menonjolkan beberapa kraftangan hasil tangan daripada penduduk Sabah yang sudah pasti dapat menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara.

Ketika sambutan Pesta Kaamatan disambut, terdapat juga pelbagai hidangan tradisi yang bukan sahaja daripada suku kaum Kadazan-Dusun, malah terdapat juga hidangan tradisi dari suku kaum yang lain.

Kini Pesta Kaamatan bukan sahaja disambut oleh suku kaum Kadazan-Dusun, namun ianya turut disambut oleh etnik-etnik lain di negeri Sabah, tidak kira suku kaum dan bangsa. Ini sekaligus menjadikan tarikh kemuncak pesta ini iaitu pada 30 dan 31 Mei merupakan hari cuti umum bagi negeri Sabah.

Tempat Pelaksanaan: Hongkod Koisaan KDCA Penampang, Sabah.

 Nota: Program turut dilaksanakan di peringkat daerah dan kampung.

 

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara ,Sabah

Kompleks JKKN Sabah

Jalan Tasik Off KM4 Jalan Penampang,

88200 Kota Kinabalu,

SABAH

Telefon:  088-205 070