SAMAT BIN MAN

Samat bin Man atau lebih dikenali dengan Pak Non
dilahirkan pada 18 Mei 1946 di Kampung Tok Kaya, Kayang Perlis. Beliau
merupakan anak sulung daripada lapan (8) adik beradik. Beliau telah berkahwin
dengan pilihan hatinya bernama Halijah binti Ismail. Perkongsian hidup bersama
isteri beliau dikurniakan lima orang anak, tiga lelaki dan dua perempuan.
Beliau mula mempelajari pembuatan wau dan wau
hiasan sejak tahun 1963 dan mewarisi kemahiran pembuatan wau daripada datuknya
iaitu Ishak bin Din. Sewaktu di sekolah rendah beliau sering mengikut datuknya
ke sawah untuk bermain permainan wau dan belajar cara pembuatan wau. Beliau
sanggup ke Kelantan untuk berguru bagi mengasah bakat dalam bidang pembuatan
wau dan seni ukir bermotifkan bunga di wau tersebut.
Pencapaian beliau dalam seni pembuatan wau dan
seni ukir telah membawa beliau menjelajah
keseluruh Malaysia dan sehingga ke luar negara. Antara pencapaian beliau
adalah memenangi pertandingan wau peringkat antarabangsa di Pertandingan Pesta
Layang-layang Pasir Gudang, Johor pada tahun 1997 dan memenangi 3 tahun
berturut-turut pertandingan wau di Satun, Thailand pada tahun 2001 hingga 2003.
Beliau juga membuat pertunjukan Wau Malaysia pada pertandingan Wau Antarabangsa
Bali, Indonesia pada tahun 1999. Pada tahun 2008 beliau ke World Sport
Cultural & Festival di Busan, Korea untuk demontrasi pembuatan wau
sekaligus mendapat pengiktirafan peringkat diploma sempena penyertaan 4th
Busan TAFISA Wold Sport for all Games.
Selain World Sport Cultural & Festival,
beliau juga telah membuat beberapa demonstrasi antaranya World Expo 2010 di
Shanghai, China, dan Malaysia Week London pada tahun 2013. Beliau juga mendapat
tempahan wau bulan dari syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang
menjadi simbol kepada logo syarikat tersebut. Wau hiasan beliau juga terdapat di
Istana Negeri Johor dan Negeri Perlis.
Usaha beliau dalam memartabatkan seni dan
budaya telah diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Perlis dengan penganugerahan Pingat
Jasa Kebaktian (P.J.K) sempena ulang tahun keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis
pada 17 Mei 2014. Beliau juga telah diikhtiraf sebagai Penerima Anugerah Tukang
Ulung Kraf oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia pada tahun 2014 dan
Anugerah Layang -layang Angkasa oleh
Tuanku Mahkota Johor Tuanku Ismail Sultan Ibrahim sempena Pesta Layang-layang
Antarabangsa 2015.