ROMLI BIN MAHAMUD

ROMLI BIN MAHAMUD

Romli Bin Mahamud atau lebih dikenali sebagai Bang Li dan Awang Batil dilahirkan pada 6 Julai 1955 di Kampung Pokok Sena, Chuping Perlis. Beliau merupakan anak bongsu daripada lima orang adik-beradik sebapa tetapi berlainan ibu.

 

Keturunan sebelah datuk Bang Li merupakan penggiat seni yang mana mereka terlibat dalam permainan Mak Yong. Bang Li yang ketika itu berusia 6 tahun sering mengikuti bapanya ke pentas Mak Yong sehinggalah berusia 14 tahun apabila kumpulan Mak Yong yang tersebut dibubarkan. Setelah itu, Bang Li mula berjinak dengan permainan Jikey sebagai pemain gendang dan pelawak.

 

Pada usia 16 tahun Bang Li mula mempelajari selok belok bercerita daripada Tok Mat Selembom yang merupakan seorang penglipur lara yang dikenali sebagai Awang Belanga. Penglibatannya dalam bidang seni diperluaskan lagi dengan penyertaan beliau sebagai ahli Kumpulan Bangsawan Cik Mat Rus.

 

Beliau berperanan sebagai pemain gendang, serunai dan pelawak. Bang Li kemudiannya menubuhkan kumpulan Gendang Keling yang dinamakan Kumpulan Gendang Keling Mahmud Utan Aji. Tidak berapa lama kemudian beliau menubuhkan pula satu kumpulan tarian yang dinamakan Kumpulan Penari Ronggeng Tok Senafi Perlis. Beliau turut bertanggungjawab menubuhkan Kumpulan Gendang Keling Pak Mahmud Chuping. Dalam masa yang sama beliau meneruskan persembahan penglipur lara Awang Belanga.

 

Romli mewarisi cerita-cerita lipur lara dan lagu-lagu Jikey sama ada melalui penceritaan dan nyanyian oleh bapanya hampir setiap malam sebelum tidur. Di dalam persembahan Jikey pula, selain daripada mengikuti bapanya, beliau juga sering terlibat menjayakan persembahan Jikey bersama-sama rakannya yang mempunyai kumpulan Jikey sendiri dengan bermain gendang dan berlagu. Selain itu, beliau turut berkemampuan dalam persembahan Wayang Kulit dan Muzik Asli. Kebolehan beliau tidak terbatas kepada persembahan semata-mata. Di sisi lain beliau berkemahiran membuat alat muzik gendang, serunai, biola dan topeng peran.

 

Di awal penglibatan beliau dalam kesenian ini, beliau sering mengadakan persembahan bersama bapa beliau yang juga merupakan Awang Batil berbakat di pelbagai peringkat dan acara. Antara acara rasmi yang pernah beliau terlibat termasuklah mengadakan persembahan gendang terinai, Muzik Asli di Dewan Sri Pinang sempena Persidangan Raja-Raja Melayu ke -112. Sekitar tahun 1993-1997, beliau juga pernah bekerja sepenuh masa dalam bidang muzik asli selama 4 tahun di Penang Culture Centre (Teluk Bahang Pulau Pinang). Pernah juga mengadakan persembahan di luar negara termasuklah di Switzerland selama 3 minggu serta ratusan lagi persembahan lain di dalam negara. Antara sumbangan beliau ialah mencipta beberapa buah lagu seperti Layang Mas, Cik Lang dan Mak Inang Tua serta Canggung (Negeri Perlis).

 

Hasil sumbangan dan perjuangan beliau dalam seni budaya negara, beliau telah menerima Anugerah Tokoh Seni Budaya Peringkat Negeri Perlis pada tahun 2012 dan Tokoh Warisan Orang Hidup pada tahun 2015.