AHMAD BIN OMAR

AHMAD BIN OMAR

Ahmad bin Omar dilahirkan pada 15 April 1943 di Kampung Jelempok, Perlis. Berkahwin dengan Ramlah bin Zakaria dan dikurniakan empat (4) orang anak. Beliau bersekolah di Sekolah Melayu Jitra, Kedah pada tahun 1950 ketika berusia 7 tahun semasa pemerintahan Inggeris. Beliau sering bertukar sekolah kerana ketika itu bapanya bertugas sebagai Pegawai Sukat dan sering bertukar tempat kerja. Setelah tamat persekolahan pada tahun 1962, beliau bertugas sebagai guru sementara di Sekolah Bukit Raya Luar, Tokai, Kedah. Pada tahun 1963 beliau menjawat jawatan kerani di Pejabat Syarikat Guru-Guru Melayu Negeri Kedah sebelum beliau terpilih memasuki Maktab Perguruan Harian, Teluk Intan Perak pada tahun 1964.

Beliau adalah pendukung seni tampak atau seni lukis dan mula membina bakatnya seawal dari sekolah rendah lagi. Penglibatan beliau terserlah apabila berjaya menubuhkan dan membimbing Persatuan Pelukis Negeri Perlis pada tahun 1995 dan terpilih sebagai Pengerusi Persatuan sehinggalah sekarang. Persatuan ini merupakan satu-satunya persatuan seni lukis yang menyebar luas aktiviti seni lukis di Negeri Perlis.

Beliau menumpukan kegiatan melukis semenjak di bangku sekolah lagi dan bakat semulajadi yang terdapat pada diri beliau diasuh dan dipupuk dari semasa ke semasa. Beliau banyak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar dalam bidang seni lukis melalui kursus-kursus seni lukis yang dihadiri dan ibunya sendiri. Beliau juga pernah dibimbing oleh pelukis - pelukis terkenal seperti Peter Haris, Ismail Zain, Redza Piyadasa dan Sulaiman Isa.

Beliau sering menggarap idea bagi menghasilkan karya di studio yang terdapat di rumahnya. Corak atau jenis idea yang digarap oleh beliau berunsurkan lukisan jenis realism, penumpuan tentang alam dan manusia. Beliau juga mengikut peredaran masa dengan menghasilkan karya kepada impressionist dan kemudian bercorak abstrak.

Selain seni lukis beliau juga berkebolehan dan bergiat aktif dalam seni lakon teater dan drama. Bakat beliau sebagai pelakon bermula dari beliau sekolah rendah lagi. Kini, beliau sering dijemput sebagai penceramah atau fasilitator kursus seni lakon dan juga sebagai pengadil pertandingan drama yang dianjurkan oleh pihak penganjur.

Ahmad bin Omar

No. 123, Kampung Jelempok,


02600 Arau,


Perlis.


atau / or

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis

Kompleks JKKN Perlis,

Persiaran Wawasan Kangar,

01000 Kangar,

PERLIS

Telefon :  04-979 3600 / 04-979 3604