PROF MADYA DATUK PADUKA DR MOHD ROSLI BIN SALUDIN

PROF MADYA DATUK PADUKA DR MOHD ROSLI BIN SALUDIN

YBhg Prof Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Bin Saludin dilahirkan di Kampung Dioh Kecil, Kuala Pilah, Negeri Sembilan Darul Khusus pada 25 September 1962.

 

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah dan Sekolah Menengah Zaaba, Kuala Pilah, Negri Sembilan. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian, Diploma Pendidikan dan Diploma Psikologi Kaunseling dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Pada tahun 1987, ditawarkan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan dan bidang pengajaran ialah Kesusasteraan Melayu, Bahasa Melayu dan Sejarah. Pada tahun 1996, beliau telah melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang Sastera di Universiti Kebangsaan Malaysia dan bidang yang dikaji adalah Adat Perpatih. Seterusnya pada tahun 2000, beliau telah melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Komunikasi Tradisional Melayu dan telah menerima Ijazah Doktor Falsafah pada 3 Ogos 2004 daripada Universiti Malaya. Seterusnya beliau menyambung pelajaran di universiti di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada tahun 1997.

 

Pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan Bahasa dan Timbalan Dekan Penyelidikan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Pengarah Institut Peradaban Melayu dan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak. Kini beliau menjawat jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

 

Bidang pengkhususan beliau ialah Sastera Tradisional, Kesenian, Kebudayaan, Adat Melayu, Puisi Moden, Drama, dan Teater Melayu. Beliau juga pernah terlibat dalam dokumentari Adat Perpatih di TV1 dan 3, serta aktif di pentas dalam deklamasi sajak dan Puisi Melayu Tradisional terutama teromba.

 

Beliau juga pernah menulis beberapa buah buku berkaitan pendidikan, drama dan teater, teromba, cerita lisan dan ungkapan Melayu. Antara penulisan beliau adalah Anjung Teromba, Naning Luak Terbilang, Puisi Melayu Tradisional, Sejarah Kuala Pilah, Ibu Soko, Institut Undang di Negeri Sembilan, Penggunaan Teromba dalam Seni Pengucapan Melayu, Institut Yamtuan Negeri Sembilan, Hari-Hari Mendatang Adat Perpatih, Penulisan Sastera Kanak-Kanak dan Remaja, Pepatah-Petitih dan banyak lagi. Beliau pernah membentangkan kertas kerja berkaitan bidangnya di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Pada tahun 2018, beliau telah menerima anugerah Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup Teromba Penglipurlara. Beliau juga merupakan penasihat bagi Persatuan Sejarah Jempol dan juga Pengerusi Telapak Warisan Ulu Gachong Negeri Sembilan.

PROF MADYA DATUK PADUKA DR MOHD ROSLI BIN SALUDIN

Felo Penyelidik Kanan

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)

Universiti Kebangsaan Malaysia

43600 Bangi, Selangor