DATO’ SYED AHMAD JAMAL (SENIMAN NEGARA KE-2)

Allahyarham Dato' Syed Ahmad Jamal merupakan seorang yang
serba boleh dalam lingkungan bidang seni lukis. Beliau dilahirkan pada 12
September 1929 di Bandar Maharani, Muar, Johor. Ketika dibangku sekolah lagi,
beliau menunjukkan kecenderungannya terhadap seni lukis. Apabila ditanya oleh
gurunya mengenai cita-citanya, beliau dengan yakinnya menjawab 'saya ingin
menjadi seorang pelukis'.
Pada usia awal 20-an, beliau telah terkenal sebagai pelukis
apabila memenangi hadiah pertama pertandingan melukis di Johor Bahru pada tahun
1950-an. Pada tahun 1951, beliau mendaftar sebagai pelajar di Chelsea School of
Art. Pengajiannya diteruskan sebagai pelajar di University of London's
Institute of Education pada tahun 1955. Hasilnya, beliau menghasilkan Bather by
The Sea (1957) dan Duel in The Snow.
Karya ini dilihat sebagai gaya ekspresionisme abstrak oleh
anak Melayu gandingan lenturan berus pengaruh barat dan latar belakang
perkampungan Melayu. Antara pameran solo beliau adalah Retrospective Exhibition
pada tahun 1975 di Balai Seni Negara, Syed Ahmad Jamal, A Historical Overview
1954-1994 pada tahun 1994 di Galeri Seni Nanyang, Kuala Lumpur, Antara Langit
& Bumi (Between Heaven and Earth) pada tahun 2000 di Galeri PETRONAS.
Allahyarham Dato' Syed Ahmad Jamal berkarya gaya Ekspresionis
Abstrak dengan menggunakan idiom abstrak yang berasakan kepada gerak isyarat
dan emotif. Beliau dianggap pelukis pertama yang menerokai "Catan Non
Objektif" melalui karya bertajuk "Umpan" (The Bait), sebuah
karya agung yang dihasilkan pada rahun 1959, Penggunaan awal tulisan Jawi di
dalam karya "Chairil Anwar" (1958) telah menjadikan beliau sebagai pelopor seni lukis khat cat minyak
atas kanvas.
Semasa hidupnya, beliau berperanan sebagai pelukis, penulis,
pemimpin persatuan dan pentadbir dapat dipegang serentak tanpa banyak masalah.
Keunikan memainkan semua peranan ini amat jarang dimiliki oleh seorang pelukis
apatah lagi melakukannya dengan cemerlang sekali. Allahyarham pernah berkhidmat
sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya dari tahun 1979 hingga
1982 serta pensyarah di Malayan Teachers Training College, Kirkby, England dari
1958-1959.
Beliau antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam
perkembangan Balai Seni Lukis Negara dan memegang jawatan Pengarah Balai Seni
Lukis Negara dari 1983 hingga 1991.
Sumbangan yang tidak ternilai terhadap perkembangan seni dan
budaya ini melayakkan beliau sebagai Seniman Negara ke-2 pada tahun 1995.
Beliau meninggal dunia pada 30 Julai 2011 di usia 82 tahun. Allahyarham
dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pusu Gombak.