SEMAN BIN MAMAT

Allahyaham Seman bin Mamat atau lebih dikenali sebagai Seman Wau Bulan
berasal daripada Kampung Belukar Beta Hulu di Ketereh, Kelantan. Beliau
merupakan seorang tokoh dikir barat dan menjadi ikon kepada pendikir-pendikir
di negeri Kelantan. Beliau memulakan karier sebagai pendikir setelah terlibat
dalam kumpulan "Puak Kampung Kubang Tin" di Peringat pada tahun 1958.
Lagu Wau Bulan ciptaannya yang mempunyai kaitan dengan Hikayat Dewa Muda,
berjaya mengangkat namanya sebagai seorang pendikir Kelantan yang popular.
Bahkan lagu berkenaan masih popular hingga ke hari ini, dan menjadi lagu wajib
setiap kali persembahan dikir barat, sebagai satu cara untuk meminta maaf
daripada penonton sekiranya terdapat kata-kata yang yang menyinggung perasaan
pada akhir persembahan.
Allahyarham juga turut menghasilkan beberapa buah album, dan album terakhir bertajuk Dewan Muda yang diterbitkan sebanyak enam siri sekitar tahun 2000. Sebagai menghargai jasa beliau dalam dikir barat, Allahyarham pernah mendapat beberapa anugerah, antaranya Anugerah Tokoh Budaya Kelantan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 2000, Anugerah Tokoh Budaya Parlimen Peringat pada tahun 1998 dan turut dikurniakan Pingat Bakti oleh Sultan Kelantan sempena keputeraan baginda pada tahun 1980. Beliau meninggal dunia di rumahnya di Kampung Belukar Beta Hulu pada usia 65 tahun.