WAJIK
Wajik
merupakan makanan tradisi daripada turun-temurun peninggalan orang-orang dahulu
kala. Wajik ini juga merupakan manisan yang digemari oleh setiap lapisan
masyarakat lebih-lebih lagi golongan masyarakat yang lebih berusia.
Kebiasaannya, manisan ini hanya boleh didapati sewaktu musim-musim perayaan
sahaja. Namun, di daerah Kuala Pilah terdapat gerai di tepi jalan yang menjual
wajik ini walaupun bukan pada musim perayaan. Bahan utama yang digunakan dalam
pembuatan wajik ini adalah beras pulut, gula enau dan santan kelapa. Ketiga-tiga
bahan tersebut akan dimasak selama berjam-jam sehingga campuran sebatian
tersebut menjadi likat dan pekat. Keunikan manisan ini adalah boleh disimpan
dalam jangka masa yang panjang jika manisan ini disimpan dengan elok dan rapi.
Penggunaan daun pandan dalam pembuatan wajik ini menaikkan lagi aroma beras
pulut, santan dan gula enau tersebut. Orang pada zaman dahulu lebih gemar
menyimpan atau membungkus wajik ini dengan menggunakan daun pisang. Hal ini
demikian kerana daun pisang mempunyai aroma yang tersendiri dan aroma
tersebutlah yang menjadikan wajik itu lebih unik dan wangi. Kini, cara
pemprosesan wajik telah berlaku perbezaan rentetan peredaran zaman yang kian
pesat membangun dengan kecanggihan teknologi. Namun begitu, manisan ini tetap
mempunyai penggemarnya yang tersendiri walaupun telah berlaku perbezaan dari
segi pemprosesannya dan pembungkusannya. Oleh hal yang demikian, tidak
hairanlah jika wajik ini diangkat sebagai makanan warisan di Negeri Sembilan.