MASAK LEMAK CILI API IKAN KELI SALAI
Masak Lemak Cili Api Ikan Keli Salai ini, memang terkenal di Negeri Sembilan. Bahan yang disalai ini sering mendapat
permintaan yang tinggi daripada pengunjung luar mahupun orang tempatan. Hal ini, kerana bahan yang disalai ini mempunyai rasa yang berbeza daripada
bahan asalnya dan mempunyai aroma yang tersendiri. Kebiasaannya bahan salai
seperti ikan keli ini amat enak dimasak lemak cili api. Oleh hal yang demikian
wujudnya masak lemak cili api ikan keli salai dan masakan ini seringkali
mendapat sambutan yang memberangsangkan di gerai-gerai makan. Proses
pengeringan atau menyalai ikan dilakukan dalam tempoh masa yang lama agar bahan
yang disalai betul-betul kering dan tersalai secara menyeluruh. Tambahan lagi,
proses menyalai ini dilakukan di atas bara api yang sederhana sahaja panasnya.
Ini kerana jika disalai di atas bara api yang besar maka bahan yang disalai
akan terbakar atau hangus. Bahan-bahan yang digunakan untuk masak lemak cili
api ikan keli salai adalah sama seperti penyediaan untuk masak lemak cili api
yang biasanya dan yang hanya membezakannya adalah bahan utama yang disalai.
Penggunaan daun kunyit dan serai dalam pembuatan masak lemak cili api ikan keli
salai adalah untuk menaikkan lagi aroma masakan tersebut selain daripada aroma
bahan yang disalai. Walaupun proses penyediaan juadah ini agak rumit namun ia
amat berbaloi kerana keunikan aroma yang dihasilkan dan rasa yang enak daripada
bahan yang disalai tersebut. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah, jika para
pengunjung mampu menambah nasi berkali-kali kerana merasa enak menikmati masak
lemak cili api ikan keli salai ini.