MASAK LEMAK CILI API TELUR ITIK DAN BELIMBING BULUH

MASAK LEMAK CILI API TELUR ITIK DAN BELIMBING BULUH

Masak Cili Api Telur Itik dan Belimbing Buluh amat sinonim dengan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan. Tidak hairanlah jika masakan ini disediakan setiap hari dan dijadikan sebagai juadah wajib di gerai-gerai atau kedai-kedai makan yang ada di setiap daerah di Negeri Sembilan ini. Keunikan aroma yang ada dalam masakan ini sendiri telah memikat hati bagi sesiapa yang menikmatinya. Hal ini kerana gabungan bahan-bahan yang digunakan dalam masakan ini telah mengeluarkan satu rasa yang seimbang dan enak sehinggakan pengunjung leka menikmatinya. Antara bahan utama dalam masakan ini ialah lada api, kunyit hidup, santan pekat, telur itik dan belimbing buluh. Penggunaan bahan-bahan yang segar itu sendiri mampu menaikkan lagi keenakan dalam masakan ini. Pengunjung akan dapat merasai keseimbangan rasa dalam masakan ini di mana terdapat rasa lemak daripada santan, pedas daripada lada api dan masam daripada belimbing buluh itu sendiri. Keseimbangan inilah yang akan menaikkan lagi selera pengunjung dalam menikmatinya. Penggunaan serai dan daun kunyit telah membantu dalam meningkatkan lagi aroma yang wangi dalam masakan ini. Tambahan lagi, warna kuning yang dihasilkan daripada penggunaan kunyit hidup tersebut telah menambahkan lagi seri pada masakan ini. Namun begitu, terdapat juga cara yang tersendiri dalam memecahkan telur itik tersebut agar kuningnya tidak pecah dalam masakan. Tekniknya adalah di mana sewaktu hendak memecahkan telur, hendaklah memecahkannya satu persatu dalam mangkuk agar kita dapat bentuk yang cantik dalam masakan tersebut. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika Masak Cili Api Telur Itik dan Belimbing Buluh ini mendapat permintaan yang tinggi dalam setiap kedai-kedai makan di sekitar Negeri Sembilan ini.

06-7631149

Lembaga Muzium Negeri Sembilan, 

Jalan Sungai Ujong,

70200 Seremban, Negeri Sembilan.