KHATIJAH AWANG SENIMAN NEGARA KE-4

Primadona Mak Yong, itulah gelaran yang
melambangkan kehebatan Khatijah Awang, atau lebih mesra dengan panggilan 'Mak
Jah' dalam seni pementasan Mak Yong. Anak keturunan Siam-Melayu ini dilahirkan
pada 13 Ogos 1941 di Kampung Lubuk Kawah, Pasir Mas, Kelantan. Allahyarhamah
Khatijah Awang mula bergiat aktif dalam seni persembahan Mak Yong setelah
berkahwin dengan Zakaria Abdullah iaitu putera kepada Che Kemala Che Muhammad
dan Che Abdullah Awang yang merupakan seorang peran Mak Yong yang terkenal dengan
gelaran Pak Lah, manakala Che Kemala merupakan primadona Mak Yong Diraja.
Kegemilangan Khatijah Awang mula terpancar ketika beliau berusia 29 tahun apabila dipelawa oleh Tan Sri Mubin Sheppard untuk mengadakan persembahan di Pesta Kebudayaan Asia Universiti Malaya. Sebagai langkah untuk memastikan Mak Yong terus kekal di persada seni tanahair, beliau dan suami menubuhkan kumpulan sendiri diberi nama Kumpulan Seri Temenggung (KST) bertujuan untuk melatih anak bangsa generasi baru menyintai seni Mak Yong.
Berkat kegigihan Khatijah Awang bersama KST, mereka telah membuka cawangan di Kuala Lumpur dan mampu mengadakan persembahan ke seluruh negara, juga di luar negara seperti London, New Zealand, Kuwait, German, Paris, Amsterdam, Thailand dan lain-lain. Antara persembahan yang dipentaskan ialah cerita Mak Yong Indera Dewa, Dewa Indera di Bonn, German (1980an), Mak Yong Ramayana di Indonesia (1971), Anak Raja Tangkai Hati di Singapura (1977) The Last Mak Yong di Singapura (1955) dan Cerita Anak Raja Gondang di Singapura (1996).
Penglibatan Khatijah selama 34 tahun dalam kesenian Mak Yong bukan sahaja berjaya mengharumkan nama beliau malah mampu menaikkan taraf seni persembahan ini setanding dengan seni persembahan teater lain. Ketokohan Khatijah diiktiraf bukan sahaja di dalam negara malahan di luar negara.
Sebagai lambang pengiktirafan tersebut khatijah telah dianugerahkan dengan pelbagai anugerah seperti:
1969 – Bintang Radio Kebangsaan
1972 – Pingat Bakti Kelantan (P.B)
1977 – Pingat Pangkuan Negara (PPN)
1987 – Anugerah Performing Arts ASEAN
1988 – Ahli Kelantan (A.K)
Khatijah Awang telah menerima Anugerah Seni Negara ke-4 pada 10 November 1999 yang julung kalinya dianugerahkan kepada tokoh seni wanita. Khatijah Awang kembali ke rahmatullah pada 13 September 2000 setelah menabur bakti dalam meningkatkan seni persembahan Mak Yong sebagai Primadona Mak Yong yang tiada tolok bandingnya.