BAJU BELAH

BAJU BELAH

Baju tradisi Negeri Terengganu dikenali sebagai Baju Belah. Potongan Baju Belah ini seakan sama dengan baju kurung yang mempunyai pesak dan kekek. Cuma bezanya potongan tradisi Baju Belah ini dibelah di bahagian hadapan, berleher bulat dengan kemasan kelepek seruas jari dan labuh hingga ke paras lutut. Baju Belah dihiasi dengan butang lima atau tujuh mengikut keselesaan si pemakai. Butang yang biasa digunakan untuk kemasan Baju Belah ini dipanggil Butang Kunang-Kunang Sekebun Bunga. Butang yang dibuat khas untuk Baju Belah. Baju Belah akan dipakai bersama kain susun. Kain susun yang dipanggil Susun Ombak Mengalun ini boleh dipakai pada sebelah kanan atau kiri mengikut kesesuaian si pemakai. Pemakai Baju Belah akan menggayakan baju ini  dengan hiasan selendang dan rantai emas labuh ke paras dada. Hiasan ini menambahkan lagi keindahan Baju Belah tradisi Terengganu.

Baju ini daripda jenis songket mempunyai potongan seperti baju kurung iaitu berpesak dan berkekek tetapi berbelah di bahagian hadapan dan berleher bulat.  Baju ini dipadankan dengan kain sarung songket dengan ikatan ombak mengalun atau tindih kasih.  Pakaian ini sesuai dipakai ke majlis-majlis rasmi dan hari keramaian.

Pola Baju Belah ini bersifat ‘mengurungkan badan’ kerana bajunya longgar, berlenggan besar dan kain susun labuh hingga ke buku lali. Pola ini memudahkan pergerakan dan menutup bentuk badan si pemakai. Baju Belah tidak boleh ketat kerana sesuai dengan konsep baju kurung iaitu longgar, labuh dan selesa. Baju Belah dijahit dengan mengambil potongan lengan dan saiz badan yang betul untuk mendapatkan hasil potongan baju yang menarik dan selesa. Dahulu pemilihan fabrik untuk Baju Belah ini biasanya menggunakan kain Tekat Terekam, kain Tenun, kain Batik dan seterusnya pemilihan fabrik, corak dan warna berubah mengikut zaman. Keselesaan pola Baju Belah menjadikan baju ini sebagai pakaian untuk acara rasmi dan juga pakaian di luar rumah.

Koleksi busana dan teks artikel oleh : Puan Zubaidah Sual / Puan Rosidah Abdullah

JKKN Ibu Pejabat

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Ibu Pejabat

Aras 16, 18, 19, 26, 27, 30 dan 34,

Lot 1001, Menara TH Perdana,

Jalan Sultan Ismail,

50250 KUALA LUMPUR.

Telefon         :  03-2614 8200