BAJU MELAYU CEKAK MUSANG DAN SELUAR PAK SEKARAP

Baju Melayu Cekak Musang adalah baju yang mempunyai kolar yang tinggi berkancing lima manakala seluar Pak Sekarap pula merupakan seluar berpotongan longgar agar selesa bila berhadapan dengan musuh di luar dugaan. Manakala sampinnya diikat pada sarung keris yang luarnya disusun lipat Ombak Beralun. Hiasan kepala pula dikenakan dengan Tanjak Helang Menyosong Angin bersama dokoh sebagai penghias dada dan keris di pinggang. Kain yang digunakan untuk membuat pakaian ini adalah dari kain kapas atau kain tenun Pahang mengikut status pemakainya.