BAJU PENGANTIN NEGERI SEMBILAN

Busana yang dipakai oleh pengantin perempuan
dalam masyarakat Melayu adat perpatih di Negeri Sembilan adalah diantaranya Baju
Kurung Labuh, Baju Kebaya Panjang dan Baju Kebaya Setengah Tiang. Material kain
yang sering digunakan ialah kain tenunan songket bunga tabur atau penuh, kain
broked dan kain tenun. Padanan dengan baju ialah kain.
Busana pengantin perempuan digayakan dengan Sanggul
Lintang atau ‘sunting’. Sunting merupakan hiasan kepala yang diperbuat daripada
tembaga atau zink yang dicelup emas.
Terdapat pelbagai bentuk sunting antaranya
bermotifkan bunga, tumbuh-tumbuhan, bentuk unggas dan haiwan seperti burung,
ikan dan rama-rama. Ketinggian pemasangan Sanggul Lintang berdasarkan kepada
kedudukan keluarga pengantin yang biasanya terbentuk tiga atau lima tingkat.
Busana yang dipakai oleh pengantin lelaki
adalah Baju Melayu Cekak Musang berbutang lima. Corak baju bermotifkan bunga
cengkih dan tampuk manggis dari tenunan songket. Pengantin lelaki akan
menggayakan destar Solok Timbo iaitu bahagian lambaian kasih melambai ke arah
kiri telinga. Busana pengantin lelaki dilengkapkan dengan pemakaian keris disisipkan keris pendek
berhulu burung serindit atau pekaka di pinggang sebelah kiri.