BAJU KURUNG IBU SOKO

BAJU KURUNG IBU SOKO

Baju Kurung Ibu Soko merupakan busana tradisional Negeri Sembilan. Ibu Soko merujuk kepada wanita atau perempuan yang berilmu dan berpengalaman tentang peradaban serta kehidupan perjalanan adat khususnya tentang salasilah kelompok kekeluargaannya.

Baju Kurung Ibu Soko ini mempunyai leher Telok Belanga jahitan Tulang Belut dan mempunyai kain ikatan Tindih Kasih. Potongan baju ini pula berbentuk kembang payung, berpesak dan berkekek.

Busana yang digayakan ibu soko adalah berbeza mengikut daerah di Negeri Sembilan. Ibu Soko daerah Kuala Pilah dilengkapi dengan sehelai kain samping ikatan ombak beralun di pinggang. Ibu Soko di daerah Jelebu memakai ikatan kain samping pada kedudukan paras dada.

Ikatan kain samping ini mempunyai maksud dan falsafah yang tertentu, iaitu melambangkan tanggungjawab yang harus dipertanggungjawabkan, tidak boleh berbuat semena-mena dalam bertindak.

Ibu Soko sering menggayakan ikatan kepala yang dipanggil telepok panggilan dikenali di daerah Kuala Pilah atau tengkolok di daerah yang lain. Telepok bukannya kain gerus yang dikenali umum tetapi berasal daripada perkataan lepok bahasa daerah negeri yang bermaksud terletak kedudukannya. Bentuk tengkolok ini datar di tengah-tengah bermaksud tempat musyawarah, melenggong ke kiri dan kanan, mencari kata sepakat seperti kata perbilangan ‘bulat air dek pembetung, buat kata dek muafakat’. Ibu Soko sering menggunakan selempang yang melambangkan kebesaran serta tanggungjawab terhadap beban, hak dan kewajipan yang menjadi tanggungjawabnya.

013-2057119

Dato’ Menti Laksamana Alias Bin Zakaria

Aliza Boutique

103, Jalan Angsana 7

Taman Pinggiran Golf

70400 Seremban

Negeri Sembilan