ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BERUNAI ADAT PERTUNANGAN

PENGENALAN
Bagi masyarakat kaum Berunai di Labuan,
lawatan ke rumah pihak perempuan untuk urusan pertunangan biasanya dilakukan
berkali-kali, bermula oleh pihak lelaki untuk melamar. Jawapan tidak diperoleh
pada hari yang sama. Setelah jawapan akhirnya diketahui, pihak lelaki pergi
sekali lagi ke rumah pihak perempuan dengan rombongan untuk urusan berkaitan
tanda pertunangan.
PERTUNANGAN
Sebentuk cincin emas dibawa sebagai pembuka
mulut, juga menandakan permulaan pertunangan dengan bayaran antara RM100-RM150.
Kedua-dua pihak kemudian menetapkan mas kahwin yang dipanggil berian dalam
bentuk wang, dan juga barangan sebagai tanda penghargaan kepada perempuan yang
ingin dikahwini.
SEPENGADAK KAIN TERUNA
Sepengadak Kain Teruna terdiri daripada baju
Melayu dan songkok yang akan disertakan bersama hantaran berian dan
dikembalikan kepada pihak lelaki semasa upacara akad nikah. Kain ini tidak
diperlukan, seandainya bakal pengantin lelaki hadir semasa menghantar tanda
pertunangan. Pihak lelaki membawa tanda pertunangan ke kediaman pihak perempuan
dan menyerahkannya kepada wakil pihak perempuan. Bakal pengantin lelaki juga
boleh memberikan cenderamata yang lain kepada bakal pengantin perempuan.
Dalam tempoh bertunang lelaki tersebut hendaklah memberi belanja hangus kepada tunangnya untuk perbelanjaan perkahwinan kelak. Seandainya berlaku langkah dulang (yakni perempuan yang hendak dikahwini mempunyai kakak atau kakak-kakak yang belum berkahwin atau langkah bendul), atau di Sabah, dikenali sebagai langkah sungai (yakni kedua-dua bakal pengantin bukan daripada suku kaum yang sama), maka pihak lelaki dikehendaki membuat bayaran kepada keluarga pihak perempuan dalam amaun yang ditetapkan oleh mereka.