ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BERUNAI ADAT PERKAHWINAN: ISTIADAT BADAK-BADAK MANDI DAN MALAM BERINAI

ISTIADAT BADAK BADAK MANDI
Istiadat di Membakut dalam Daerah Beaufort ini
hanya dilaksana dalam kalangan keluarga bakal pengantin lelaki dan bakal
pengantin perempuan serta berlangsung berasingan. Bakal pengantin ditepung
tawar dengan bedak yang diperbuat daripada tepung beras bersama bunga melur,
kemudian dilulur dengan bedak tradisional ini dari muka hingga ke hujung kaki.
Bakal pengantin disiram dengan air langgir (air yang bercampur limau
nipis) dikelilingi tujuh orang kanak-kanak yang memakai selendang berlainan
warna dan memegang lilin. Bakal pengantin kemudian mematikan lilin-lilin
tersebut dengan menyemburkan air melalui mulut sebanyak tiga kali.
Setelah selesai bersiram bakal pengantin
berkurung tanpa bedak ditanggalkan daripada badan. Sajian untuk mereka
dihidangkan oleh pengangun (Mak Andam) di bilik beangun (bilik
pengantin).
MALAM BEBADAK
Bakal pengantin perempuan digendong ke pelamin
yang tempat duduknya berbentuk empat segi diperbuat daripada baldu bersulam
emas. Di setiap penjuru pelamin diletakkan lilin bewarna kuning. Bedak
tradisional diwarnakan dengan tujuh warna diletakkan di tempat khas. Bagi bakal
pengantin lelaki ianya diiring ke pelamin untuk upacara ini.
ADAT BERINAI/BERPACAR
Upacara ini kebiasaannya berlangsung pada
tengah malam sebelum hari perkahwinan dan di kediaman bakal pengantin
masing-masing. Untuk Majlis Masuk Adat Berinai bakal pengantin berdiri di atas
katil didahului pengangun. Bakal pengantin kemudian disuruh duduk di
atas katil sambil pengangun mengangkat tapak tangannya dengan berhajat
diikuti oleh bakal pengantin. Seterusnya pengangun memegang tangan bakal
pengantin sambil membacakan doa. Bakal pengantin kemudiannya dibawa
mengelilingi katil sebanyak tiga kali kemudian duduk di katil. Selepas itu
orang-orang tua keluarga bergilir untuk mencalit bakal pengantin dengan inai.