ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU KADAZAN PAPAR: PANTANG LARANG KAPATAZON (KEMATIAN)

PENGENALAN
Kaum KadazanDusun adalah etnik peribumi
terbesar di Sabah yang dibentuk oleh dua suku utama iaitu Kadazan dan Dusun.
Disebabkan persamaan bahasa dan budaya istilah baru iaitu KadazanDusun
diwujudkan untuk menyatukan mereka.
KOPOGIADAN (BERKABUNG SEBELUM PENGEBUMIAN)
Kopogiadan yang bermaksud menangis bermula
dengan kematian dan berlarutan selama tujuh hari hingga upacara pembersihan
tamat. Mayat diletakkan di bilik hadapan di rumah dan barangan peribadinya
diletak bersebelahannya. Saudara mara serta penduduk kampung datang memberi
penghormatan terakhir. Sepanjang waktu ini anak perempuan yang lebih tua dan
pasangan si mati duduk di tepi keranda dalam keadaan penuh hiba. Pada pagi hari
ketiga setiap yang datang meraung dan menangisi pemergian si mati. Pasangan dan
anak, diikuti oleh menantu dan cucu si mati menggenggam tangan si mati sebagai
tanda perpisahan. Keranda kemudiannya ditutup tanpa dikunci lalu diangkat oleh
saudara mara lelaki dan dibawa ke kawasan perkuburan.
Jika si mati beragama Kristian seluruh
keluarga pergi ke gereja terlebih dahulu untuk upacara penghormatan. Perarakan
ini diringi paluan gong berirama dunsai. Ketika upacara berlangsung keranda
dibuka supaya saudara mara dan sahabat handai si mati boleh melihatnya buat
kali terakhir. Kemudian yang hadir mengiringi si mati ke tanah perkuburan,
termasuk pasangannya dan saudara-mara perempuan.
Adat berkabung kaum KadazanDusun pesisir
pantai seperti di Papar adalah sama seperti mereka yang tinggal di pedalaman,
namun mereka mempunyai pengaruh budaya luar seperti adat masyakarat Cina. Di
Daerah Penampang yang bukan di pesisir pantai dan Daerah Tambunan di pedalaman
Sabah contohnya, yang berkabung perlu berpakaian hitam dan tidak boleh bersolek
atau memakai barangan kemas. Pasangan si mati juga diminta untuk duduk
ditengah-tengah rumah dan tidak dibenarkan keluar rumah, atau masuk ke rumah
orang lain sepanjang tempoh tujuh hari pertama selepas kematian, serta tidak
dibenarkan bercakap dengan sesiapa. Ayam dan khinzir disembelih pada hari
pertama kematian dan diikuti dengan kerbau pada hari kedua atau ketiga.
Sekiranya tiada penyembelihan kerbau maka dunsai tidak dimainkan.
KAPAMAHABANGAN (PENGEBUMIAN)
Upacara pengebumian selalunya dijalankan
sehingga waktu tengah hari. Mengikut tradisi di Daerah Tambunan di pedalaman
Sabah, kaum wanita dan kanak-kanak tidak dibenarkan pergi ke tanah perkuburan
terutama jika si mati ialah suami atau bapa mereka. Dipercayai tombiruo atau
roh si mati akan melekat pada isteri dan anak-anak yang masih hidup dan terus
menghantui keluarga mereka. Pada hari ini yang beragama Kristian tidak mengikut
sepenuhnya amalan ini, namun ibu yang mempunyai anak kecil biasanya tidak pergi
ke kawasan perkuburan.