ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM IDAHAN DI LAHAD DATU KEPERCAYAAN DAN PANTANG LARANG MENUAI SARANG BURUNG

PENGENALAN
Kaum minoriti Idahan yang kebanyakannya
tinggal di Lahad Datu di pantai timur Sabah mempunyai pengetahuan mendalam
terhadap sistem ekologi yang menampung sebahagian daripada ekonomi mereka,
seperti menuai sarang burung. Mereka mewujudkan sistem kawalan bagi menghadkan
penuaian sarang burung serta sistem penggiliran hak menuai dalam kalangan
kerabat mereka agar spesies burung yang menghasilkan sarang yang boleh dimakan
tidak pupus. Sistem kawalan ini juga meletakkan sarang burung di bawah milik
bersama komuniti dengan cara penuaian yang sistematik agar sumber ini
berterusan dan dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
KEPERCAYAAN DAN PANTANG LARANG MENUAI SARANG
BURUNG
Beberapa pantang larang berkaitan tingkah laku
dikenakan sewaktu berada di dalam gua bagi membantu memastikan keadaan yang
tertib dan teratur sewaktu menuai. Kerja-kerja menuai dilakukan dalam keadaan
senyap dan percakapan dihadkan kepada perkara yang perlu sahaja.
Kaum ini percaya kepada kuasa suprabiasa dan
roh nenek moyang mereka. Gua sarang burung di kawasan Madai dahulunya digunakan
sebagai tempat pengkebumian dan masih terdapat beberapa buah keranda di situ.
Kini gua tidak lagi digunakan untuk maksud tersebut namun kawasan berkenaan
tetap dianggap kudus dan perlu diberi penghormatan. Justeru, segala pantang
larang berkaitan merupakan penghormatan kepada roh nenek moyang mereka yang
dianggap sebagai penunggu gua. Sebelum memeluk agama Islam mereka memberi sajian
nasi kunyit, ayam putih, pasu tembikar dan kambing kepada roh nenek moyang
mereka.
Ketika memasuki gua penuai meminta izin
terlebih dahulu daripada roh nenek moyang dengan menyatakan bahawa
penuai-penuai adalah anak cucu mereka dan meminta agar tidak diganggu ketika
membuat penuaian. Sewaktu memasuki gua hendaklah tidak memakai tegawih
atau serawang (penutup kepala berupa terendak besar dibuat daripada daun
pandan).
Andai terdapat tanda-tanda atau kejadian
ganjil kerja-kerja memanjat dihentikan seketika agar tiada bahaya yang
menyusul. Bersin sewaktu memasuki gua dianggap petanda buruk dan orang itu
mesti berpatah balik serta tidak boleh menuai pada hari tersebut. Percakapan di
dalam gua juga menggunakan makna berlapis atau istilah khusus. Contoh, perkataan
esok diganti dengan lusa, frasa mahu pulang ke rumah diganti dengan mahu naik
ke bubun derain.
Tempoh berkabung daripada menuai sarang burung
untuk kematian ialah dua hari. Jika berlaku kemalangan di dalam gua, seperti
orang terjatuh dari bumbung gua, maka kerja-kerja menuai di seluruh kawasan gua
dihentikan selama tiga hari. Kecuali sarang burung, benda-benda di dalam gua
termasuk najis burung, walaupun harga pasarannya agak mahal, juga tidak boleh
diusik atau dibawa keluar. Mereka di kawasan Gua Madai juga tidak membela
kucing, kerana binatang ini adalah musuh utama burung yang sedang membiak
terutama pada musim menetas.