ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU ORANG SUNGAI: ADAT BERTIMBANG

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU ORANG SUNGAI: ADAT BERTIMBANG

PENGENALAN

Suku Orang Sungai di Pitas di Bahagian Kudat, Sabah yang beragama Islam, segelintirnya masih mengamalkan adat berkaitan kelahiran iaitu Adat Bertimbang.

ADAT BERTIMBANG

Suku ini percaya bahawa melahirkan anak dalam bulan Safar dalam kalendar Islam perlu dielakkan kerana dipercayai bulan ini bersifat panas. Jika berlaku juga maka diadakan upacara bertimbang yakni menimbang berat bayi. Barang-barang diperlukan adalah galu (alu lesung padi), dua helai kain sarung berjahit, dua helai kain sarung tidak berjahit, buah kelapa muda yang telah dibuang kulit, daun kelapa muda, kayu api dan beras. Galu, sebagai pengimbang, digantung melintang menggunakan tali. Kemudian kayu api, beras dan kelapa digantung pada hujung galu manakala bayi diletakkan di dalam kain sarung yang digantung di satu lagi hujung galu berkenaan. Keseimbangan dicapai apabila berat barang-barang yang digantung menyamai berat badan bayi tersebut. Kemudian penimbang dipusing sekali arah ke kanan.

Bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan berzanji mengiringi upacara tersebut. Tukang gunting rambut dan anggota keluarga berpegangan tangan sambil mengibas daun kelapa muda yang telah dianyam berbentuk burung dan bunga, ke arah bayi berkenaan. Tindakan ini bertujuan menghalau benda-benda yang akan mengganggu bayi berkenaan. Selepas bertimbang barang-barang tersebut diserahkan kepada imam termasuk wang sedekah.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052