ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU DUSUN SUBPAN: PERTUNANGAN DAN PERKAHWINAN

PENGENALAN
Suku Dusun Subpan menetap di sepanjang Sungai
Segama di Daerah Lahad Datu di pantai timur Sabah. Mereka menyara hidup dengan
bercucuk tanam seperti menanam padi bukit, ubi kayu dan pisang serta memburu
binatang dan menangkap ikan.
MERISIK
Acara ini dilakukan setelah keluarga pihak
lelaki mendapat mimpi yang baik selama tiga malam, dan juga perempuan yang
hendak disunting masih bujang. Rombongan merisik dihantar oleh keluarga pihak
lelaki.
MEMINANG DAN BERTUNANG
Andainya perempuan tersebut belum baligh
hantaran tunang adalah seutas gelang kuning, wang tunai RM1.00 dan seekor ayam
betina. Jika sebaliknya hantaran wang tunai RM1.00 dan seekor ayam betina
sahaja. Biasanya pihak lelaki perlu menunggu selewat-lewatnya tiga hari untuk
jawapan peminangan tersebut. Pinangan diterima apabila barangan pinangan tidak
dikembalikan dalam tempoh yang ditetapkan. Pihak lelaki dimaklumkan akan
penerimaan peminangan melalui wakil, sekali dengan makluman mengenai hantaran
pinangan wang tunai RM50 dan sebentuk cincin yang biasanya dibungkus dengan
saputangan. Bakal pengantin lelaki memberikan belanja tunang setiap bulan
sehingga majlis perkahwinan.
MANGADAA-ADAA DAN MAJLIS PERSANDINGAN
Sehari sebelum majlis perkahwinan kedua belah
pihak mengadakan majlis yang dipanggil mangadaa-adaa iaitu memukul gong
secara serentak antara pihak lelaki dan perempuan. Upacara ini mestilah
serentak bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Persandingan
diadakan pada waktu siang diikuti majlis keramaian.
Dahulunya apabila perselisihan pendapat
menyebabkan kedua belah pihak tiada persetujuan bersama maka persandingan
terpaksa ditangguhkan sehingga subuh, dan sehingga diselesaikan oleh ketua kampung.
Pasangan pengantin perlu berjaga sepanjang malam kerana dipercayai untuk
mengelak diri daripada musibah atau nasib malang seperti kematian.
Kini, suku ini lebih memilih jenis perkahwinan
musilom atau mutarang yang tidak begitu banyak pantang larang. Majlis
persandingan dan keramaian diadakan serentak pada waktu siang atau malam
berserta acara memotong kek perkahwinan. Pakaian pengantin juga lebih moden
dengan lelaki berkot sementara gaun pengantin bagi pengantin perempuan.
MAJLIS MANANDOH
Di hari ketiga perkahwinan diadakan majlis manandoh
dan majlis manukab batol (meminum tapai di dalam tajau), didahului
pasangan pengantin, diikuti keluarga pengantin serta para tetamu. Majlis ini
diiringi pukulan beberapa peralatan muzik tradisi, dan diserikan dengan
tarian-tarian mangalai dan gabiluk. Salah satu kegiatan di majlis
ini ialah dalundung (saputangan) pengantin diletakkan di atas bahu
seseorang secara rawak. Ketika inilah para rara\a (gadis) mengelak kerana takut
terkena giliran menari.
Keesokan harinya pasangan pengantin hendaklah
membuka ladang kecil sebagai simbol bermulanya kehidupan sebagai suami isteri.