ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT MELAYU: ADAT BERENDOI

ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT MELAYU: ADAT BERENDOI

PENGENALAN
Berendoi berasal daripada perkataan endoi dalam loghat Melayu Perlis bermaksud buaian untuk menidurkan bayi atau kanak-kanak. Adat ini sebagai tanda kesyukuran keluarga menyambut kelahiran anak. Adat ini juga berkembang di negeri Kedah khususnya daerah-daerah yang bersempadan dengan Perlis seperti Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Kubang Rotan dan Bukit Kerengga.

Berendoi mula berkembang di Perlis sekitar tahun 60-an, diperkenalkan oleh Allahyarham Penghulu Othman dari Bintong, Perlis, yang juga memperkenalkan tarian Canggung semasa pemerintahan Jepun sehingga menjadi tarian identiti negeri berkenaan. Kesenian Berendoi berunsurkan ajaran Islam dan disertai sekurang-kurangnya tiga atau empat orang yang berdikir semasa upacara bercukur rambut bayi yang berusia tujuh hari. Antara pengisian majlis berendoi yang masih kekal sehingga kini ialah:

1.Membelah Mulut

Acara ini dilakukan oleh kalangan ulama, ketua kampung atau pemimpin setempat, dengan mengoleskan pisang ke mulut bayi. Kemudian dioleskan pula cincin yang dicelup ke dalam susu sambil mendoakan agar bayi tersebut petah bertutur, berbudi bahasa, bersopan santun dan sebagainya.

2.Berendoi

Endoiiaitu buaian dihias indah berbunga dan berwarna-warni dengan bayi yang telah dicukur rambutnya diletakkan di dalam endoi ini. Bermulalah nyanyian Berendoi memuji Rasulullah atau yang mengandungi nasihat, semangat dan teladan dengan harapan unsur-unsur tersebut dapat diterapkan kepada bayi berkenaan.

3. Berendoi Di Atas Pucuk Pokok Kelapa atau Bernazar

Acara ini adalah sebagai tanda melunaskan nazar atau membayar niat. Sebagai contoh, impian mendapat anak lelaki tercapai setelah sekian lama memperoleh anak perempuan. Sebab mustahil merealisasikan adat ini di atas pucuk pokok kelapa sebenar maka sebiji kelapa yang berpucuk diletakkan di bawah buaian sebagai simbolik kepada pucuk pokok kelapa sambil dihayunkan, dan bagi menggambarkan betapa tingginya harapan dan kesyukuran ibu bapa terhadap kurniaan cahaya mata yang diidamkan.
Setiap persembahan lazimnya diadakan bersama kenduri kesyukuran dan akikah yang menjadikan hidangan berasaskan daging kambing sebagai juadah utama. Berendoi dimulakan sebaik sahaja jamuan dihidangkan.

Kumpulan Berendoi terdiri daripada beberapa orang lelaki yang memakai baju Melayu berkain pelikat lengkap bersongkok, atau perempuan yang berbaju kurung atau kebaya labuh seragam dan bertudung.
Kumpulan Berendoi memulakan persembahan dengan berselawat kemudian bayi yang diraikan didukung oleh ketua kumpulan dan diletakkan di dalam buaian. Lagu yang sering didahulukan ialah Ya Rabbi dalam Bahasa-bahasa Arab dan Melayu yang liriknya penuh dengan puji-pujian terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Setiap lagu hanya empat rangkap, berbentuk syair seperti contoh berikut:

Kami mula dengan Bismillah,
Menyebut kedua Alhamdulillah,
Pohon nikmat kepada Allah,
Mendapat syafaat Rasulullah

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis

Kompleks JKKN Perlis,
Persiaran Wawasan,
01000 Kangar, Perlis
Telefon: 04-9793600
Faks : 04-9770117