KETUPAT SOTONG

KETUPAT SOTONG

Terengganu sememangnya terkenal dengan makanan yang berasaskan hidupan laut, dan salah satunya ialah Ketupat Sotong. Sajian ini cukup popular terutama semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri. Masyarakat setempat menggelarnya tuppat sotong atau sotong sumbak.

Bahan-bahan asas adalah sotong, beras pulut, gula melaka, garam, santan pekat, daun pandan dan sama ada lidi atau pencungkil gigi. Basuh beras pulut dan rendam sebentar dalam setengah cawan santan dan sedikit garam. Kemudian isikan sotong setakat tiga suku penuh dengan beras pulut yang direndam. Tutup badan sotong dengan kepalanya dimasukkan ke dalam badan. Cucuk kepala sotong dengan dua batang lidi atau pencungkil gigi secara bersilang dengan kemas supaya beras pulut tidak terburai semasa merebus.

Susun daun pandan di dalam periuk sebagai alas. Susun semua sotong di atas daun pandan dan masukkan lebihan santan. Tutup periuk, dan bila sotong hampir masak atau santan sudah semakin kurang masukkan gula melaka yang telah dipotong kecil. Masak sehingga kuah menjadi pekat.

JKKN TERENGGANU

Kompleks JKKN Kuala Terengganu, 
20400 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.
Tel : 09 617 8831 Fax : 09 617 8832