ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT MELAYU: ADAT TURUN KE LAUT

PENGENALAN
Bagi orang Melayu di pesisiran pantai laut adalah nadi utama mereka sebagai punca rezeki. Justeru, wujud beberapa kepercayaan berhubung dengan laut sehingga masyarakat ini mempercayai bahawa laut adalah dunia lain yang perlu dipatuhi adat dan peraturannya. Namun, seiring peredaran zaman adat dahulu yang kekal hingga sekarang ini dipermudahkan.
Adat Turun Ke Laut diwujudkan semata-mata untuk menjamin kesejahteran dan keselamatan para pelaut semasa berada di tengah lautan atau semasa menangkap ikan di laut, dan masih lagi diamalkan. Adat ini bertujuan sebagai tradisi penyembahan terhadap semangat laut. Ia diadakan setiap tahun dan telah menjadi tuntutan para pelaut untuk mengendalikannya. Sekiranya tidak dipatuhi maka dijangkakan bencana akan menimpa mereka.
Antara adat yang perlu dipatuhi ialah Adat dan Persiapan Diri Semasa Turun Ke Laut, Adat Menurunkan Perahu Baharu, Adat Menurunkan Pukat, Upacara Penyemahan, Adat Semasa Berada Di Tengah Lautan, dan Peranan Juragan atau Tekong Perahu.