ASAM ROM

Masakan yang dikenali dengan pelbagai variasi
nama seperti asam rum atau asam rom atau rong, berasal dari daerah Jerantut di negeri
Pahang. Pada mulanya, penduduk dari kampung sekitar kawasan Hulu Tembeling,
membuat asam rong menggunakan buah perah. Namun disebabkan kesukaran untuk
mencari pokok perah yang hanya boleh dijumpai di dalam hutan tebal, mereka
beralih kepada biji getah. Ladang getah yang banyak dibuka di seluruh Jerantut
memudahkan penduduk kampung menjadikan biji getah sebagai ganti kepada buah
perah. Biji getah muda berwarna hijau
dan bertukar kepada rona coklat gelap, hitam atau kemerahan dengan tompokan
coklat muda apabila sudah matang. Biji getah yang gugur dikutip, dibasuh bersih
dan kulitnya dipecahkan untuk mendapatkan isi atau rong. Bagi mempercepatkan
proses mengeluarkan isi rong, lesung batu akan digunakan untuk mengetuk kulit
biji getah yang keras. Isinya yang berwarna putih, lembut dan kenyal akan
dijemur selama beberapa hari sehingga kering dan kecut sepenuhnya. Ia perlu
dijemur bagi menanggalkan selaput kulit daripada isi rong. Setelah cukup
kering, ia akan ditumbuk atau dikisar bersama garam dan cili menurut citarasa
individu sehingga sederhana hancur. Kemudian ia disimpan di dalam bekas
bertutup seperti tempayan atau balang di tempat yang kering bagi mengelakkan
berkulat dan rosak. Proses penapaian selama beberapa minggu sehingga sebulan
akan menghasilkan rasa kelat-kelat lemak yang enak. Selepas rong sempurna diperam, ia sedia
digunakan sebagai pati tumisan dalam masakan. Teksturnya yang kering berderai
menjadikan ia bahan perencah serba guna yang boleh diubah suai mengikut
pelbagai jenis masakan. Ia boleh dicampurkan ke dalam sayuran goreng, gulai,
asam atau sambal bergantung kepada selera masing-masing.
Gulai asam rong paling enak dimasak dengan ikan sungai seperti ikan patin, kenerak dan baung. Namun ia juga sesuai dimasak bersama daging dan sayur-sayuran seperti labu atau pucuk paku. Ia juga boleh dibuat sambal dengan mencampurkan cili, ikan bilis dan dimakan bersama ulam-ulaman atau ikan kering. Asam rong kini menjadi salah satu masakan warisan yang semakin dikenali di seluruh negeri Pahang dan mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat. Bagi masyarakat Melayu khususnya di Jerantut dan Hulu Tembeling, asam rong adalah makanan yang wajib ada di dalam dapur mereka. Jika masyarakat Korea berbangga dengan kimchi, rakyat Pahang juga boleh berbangga dengan makanan tradisionalnya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Sekiranya anda teringin untuk mencuba asam rong yang asli, bolehlah mula merancang perjalanan ke negeri Tok Gajah.