ADAT RESAM REWANG MASYARAKAT JAWA JOHOR

Rewang atau gotong-royong adalah sinonim dalam
masyarakat berketurunan Jawa di Johor. Aktiviti ini lebih meriah bila
masing-masing mencari apa sahaja kerja yang boleh dilakukan. Dahulunya
anak-anak muda berebut-rebut untuk menjadi penanggah ataupun kendarat yang
bermaksud pelayan. Tetapi fungsi tersebut kini kian lama terhakis kerana majlis
kenduri sekarang lebih kepada sistem layan diri serta berpakej termasuk
pramusaji.
Kebiasaannya Rewang dilakukan selepas solat Isyak, atau selesai majlis khatam Al-Quran atau berzanji pada malam sebelum majlis persandingan. Antara hiburan yang dipersembahkan ialah kumpulan kugiran, kuda kepang, barongan, joget lambak dan karaoke. Jamuan sup tulang turut disajikan kepada hadirin.
Dahulunya Rewang turut diserikan dengan persembahan bunga api buatan sendiri sebagai penutup acara. Bunga api diisi di dalam batang buluh berukuran enam hingga tujuh inci. Bahan-bahannya ialah buluh sebagai kelongsong, arang yang diperbuat daripada kayu gajus atau kayu getah, belerang, serbuk putih kalium nitrat yang lebih dikenali dengan panggilan siaw, tahi besi dan tanah busut. Rewang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan serta masyarakat setempat tanpa mengira pangkat, umur atau jantina.